PETALING JAYA: Seorang peguam hari ini berkata pemikiran agama Tun Dr
Mahathir Mohamad tidak timbul dalam soal kelayakan seorang perdana
menteri kerana hal ehwal Islam sudah diatur oleh sistem negara.
Azhar Harun merujuk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan
keberadaan badan-badan bertanggungjawab, serta ketiadaan “hudud” dan
“RUU 355”, dalam manifesto parti memerintah untuk mematahkan hujah
pensyarah sains politik, Kamarul Zaman Yusoff.
Penganalisis terkenal itu di Facebook semalam menegaskan soal usia Dr
Mahathir, 93, bukan penentu kemampuan untuk menjadi perdana menteri,
tetapi pemikiran Islam yang tidak betul “sebab terbesar” beliau tidak
layak.
Azhar memulakan catatannya di Facebook dengan berkata polemik
membandingkan keislaman ahli-ahli politik sebenarnya tidak membawa ke
mana-mana.
“Tulisan tuan profesor menyatakan Dr Mahathir anti-hudud…Kalau Umno
dan PAS betul-betul inginkan hudud, mengapa tidak diperkenalkan hudud
setelah lebih 60 tahun kita merdeka, sedangkan Umno mengepalai sistem
perundungan sejak 1957 lagi?
“Kenapa sekarang dipersalahkan DAP, Pakatan Harapan (PH) dan
pembangkang? Apakah mereka ini yang mempunyai majoriti di Parlimen
selama ini? Atau, apakah hudud sebenarnya soal yang amat sukar dari segi
peruntukan Perlembagaan sehinggakan perlaksanaannya tidak dapat
dilakukan dengan senang-lenang dan selamba?”
Beliau berpandangan soal hudud ini “cuma modal politik hambar” yang
dipergunakan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab dan ketandusan
idea dan isu untuk mengail undi.
“Mereka, termasuk saya, yang mempersoalkan keterlaksanaan hudud
mengikut asas Perlembagaan Persekutuan sering dilabelkan sebagai
anti-Islam dan kafir.”
Azhar juga turut menyentuh isu rang undang-undang Akta Mahkamah
Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau lebih dikenali sebagai RUU 355. Usul
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu mahu meningkatkan hukuman
maksimum bagi kesalahan syariah, seperti khalwat dan mengajar agama
tanpa tauliah, kepada 30 tahun penjara, RM100,000 denda, dan 100 sebatan
rotan.
“Apa yang terjadi pada RUU 355? Berapa kali ianya disenaraikan untuk diperdebatkan di sidang Parlimen dan kemudiannya ditangguh?
“Semuanya hanya sandiwara untuk mengail undi semata. Isu ini akan
diperbesar-besarkan, terutama sewaktu pilihan raya amat dekat, agar
warga Islam dan Melayu dibuai mimpi sebuah negara Islam yang gemilang di
mana Islam ‘dimartabatkan’,” kata Azhar.
Kamarul mengajukan penolakan Dr Mahathir terhadap undang-undang
Islam, khususnya hudud, seperti yang dirakamkan dalam rekod umum,
menyebabkan bekas perdana menteri itu tidak lagi layak menjadi perdana
menteri pada penggal akan datang.
Menurut Kamarul, tiada kefahaman Islam yang betul tidak akan
membolehkan ikrar “memeliharakan pada setiap masa agama Islam”, petikan
daripada ikrar jawatan, yang membolehkan “Islam ialah agama bagi
Persekutuan” dapat dilaksanakan, merujuk kepada Perkara 3(1)
Perlembagaan Persekutuan.
Pensyarah itu turut menyorot perhatian pembacanya kepada manifesto PH
yang tidak menyebut sebarang komitmen untuk memartabatkan Islam dalam 5
terasnya, 60 janjinya dan 5 iltizam gabungan itu.
“Sekiranya sudah ada Perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan,
apakah tidak cukup kalau PH berjanji akan mengikut peruntukan
Perlembagaan Persekutuan dan menghormati prinsip kedaulatan
undang-undang dan keluhuran Perlembagaan?” soal Azhar.
“Tambahan lagi, di manakah hudud di dalam manifesto Umno atau Barisan Nasional, malah PAS sendiri? Di mana RUU 355?”
Azhar seterusnya menjelaskan Perlembagaan Persekutuan sudah
menetapkan ketua-ketua Islam bagi setiap negeri dan Perkara 3(5) pula
menyentuh tentang penubuhan sebuah badan atau majlis untuk menasihati
Agong mengenai perkara berkenaan agama Islam.
“Jadi, tugas dan tanggungjawab perdana menteri mengenai hal-ehwal
Islam bukan terletak dibahunya sahaja. Ada badan lain yang akan
menjalankan tanggungjawab tersebut,” kata peguam itu.
“Dengan itu, dengan hormatnya saya rasa pendapat tuan profesor
mengenai ‘ketidakbetulan’ pegangan Islam Dr Mahathir – kalau pun kita
boleh anggap sedemikian – menjadikan beliau bukan pilihan perdana
menteri yang sesuai adalah tidak benar dan tidak betul sekiranya kita
hayati peruntukan Perlembagaan Persekutuan.”
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan