KUALA LUMPUR: Mana-mana individu disabitkan bersalah bawah Rang
Undang-Undang (RUU) Akta Antiberita Tidak Benar boleh dikenakan denda
maksimum sehingga RM500,000 dan penjara 10 tahun, menurut RUU berkenaan.
Menurut RUU itu, jika kesalahan berterusan selepas seseorang disabit
bersalah, denda selanjutnya adalah sebanyak RM3,000 bagi setiap hari
kesalahan itu berterusan.
Akta berkenaan mentafsirkan berita tidak benar sebagai sebarang
berita, maklumat, data dan laporan yang sebahagian atau sepenuhnya
palsu, sama ada disiarkan dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio
atau apa-apa bentuk lain.
Akta itu akan digunapakai jika sebarang berita tidak benar dikaitkan dengan Malaysia atau rakyat Malaysia.
Selain itu, untuk individu atau mana-mana pihak yang menyiarkan
berita tidak benar walaupun kesalahan itu bukan dilakukan oleh rakyat
Malaysia dan dilakukan di luar negara, tindakan juga boleh dikenakan
bawah akta tersebut.
Sebelum ini, Dewan Rakyat sudah meluluskan RUU tersebut untuk bacaan
kali pertama setelah dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Pihak pembangkang sudah meminta kerajaan mewujudkan jawatankuasa khas
Parlimen untuk memformulasi RUU itu dan pada 4 Februari, Azalina
dilaporkan berkata pihak berkepentingan dalam RUU itu adalah ahli
organisasi bukan kerajaan, peguam, penyarah dan juga ahli Parlimen
Barisan Nasional dan pembangkang.
Ancaman ke arah penggunaan undang-undang itu sudah pun dibuat, yang
terbaru adalah daripada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia,
Datuk Seri Jailani Johari yang berkata sebarang maklumat berkaitan 1MDB,
yang belum disahkan kerajaan akan dianggap sebagai berita palsu.
Katanya, berita palsu adalah maklumat yang disahkan tidak benar,
terutamanya oleh pihak berkuasa atau pihak yang dikaitkan dalam berita
itu.
Dua minggu lepas, dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat oleh
Kementerian Komunikasi dan Multimedia, sejumlah 91 kes melibatkan
penyebaran dan penerbitan berita palsu di laman sosial media direkod
tahun lepas.
Sebanyak 54 kes diselesaikan, sementara itu, 11 kes lagi dibawa ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan