Manifesto Harapan luar biasa


SHAH ALAM - Manifesto Pakatan Harapan (Harapan) yang dibentangkan baru-baru ini secara keseluruhannya dilihat dapat menangani isu-isu semasa yang dihadapi rakyat sekiranya berjaya dilaksanakan kelak.

Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, bagaimanapun ia masih perlu ditambahbaik dengan penerangan lebih terperinci mengenai langkah lain yang akan dilakukan bagi memansuhkan perkara-perkara yang dinyatakan dalam manifesto.

Beliau berkata, sebagai contoh, Harapan mahu mansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tapi tidak diberitahu perincian mengenai apa yang akan dibuat selepas ia dihapuskan.

Katanya, GST adalah salah satu sumber pendapatan negara dan tahun lepas sahaja ia menyumbangkan sebanyak RM43.8 bilion pendapatan untuk negara dan tidak mustahil boleh bertambah sehingga RM60 bilion dalam masa tiga tahun akan datang.

"Jika kita tengok kerajaan mengalami defisit fiskal bermakna perbelanjaan melebihi pendapatan dan kalau lihat komitmen dan hutang perlu dibayar kerajaan persekutuan meningkat kepada RM30 bilion pada tahun lepas.

"Jadi sekiranya GST dihapuskan, mungkin perlu ada penerangan, apakah sumber lain yang boleh diguna oleh Harapan untuk tampung kekurangan apabila GST tiada?," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Ahmed Razman berkata, jika hendak digantikan dengan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST), ia tidak pernah mencapai pendapatan sepertimana yang diperoleh daripada GST.

"Jika terdapat hujah bahawa ia akan ditampung dengan mengawal ketirisan, apakah Harapan yakin yang ketirisan itu boleh melebihi 40 bilion ringgit?

"Kalau ketirisan itu cuma lima bilion sahaja, mesti ada lagi pendapatan tambahan untuk memastikan kerajaan sekurang-kurangnya dapat lebihan setiap tahun," katanya.

Katanya, disebabkan itu, manifesto Harapan ini perlu ada penerangan yang lebih jelas tentang perancangan jangka panjang segala skim yang diperkenalkan itu.

"Apa yang membezakan manifesto itu dengan manifesto gabungan parti lain?

"Semua orang boleh janjikan bulan dan bintang tapi setiap manifesto itu perlu diperincikan dengan menyatakan pelan strategik yang realistik," katanya memberitahu rakyat kini sudah matang dan boleh menilai apa yang baik dan buruk untuk mereka.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan