Parlimen Kuantan milik siapa selepas PRU14?

KEMENANGAN pembangkang meruntuhkan kubu kuat Umno di kerusi Parlimen Kuantan selama dua penggal berturut-turut mungkin menyukarkan parti terbesar itu untuk merampas kembali kerusi terbabit pada PRU14.

Wujudnya isu alam sekitar di kawasan parlimen itu seperti aktiviti perlombongan bauksit, Kilang Nadir Bumi (Lynas), Taman Perindustrian Kuantan Malaysia - China (MCKIP), Sekolah Kebangsaan (SK) St Thomas, dan beberapa isu lain yang gagal diselesaikan pemimpin di peringkat kerajaan memerintah (BN) memberi nilai tambah kepada pembangkang untuk terus mengekalkan pegangannya di situ.

Ini kerana isu berkenaan memberi kesan mendalam buat rakyat di Kuantan apabila mereka berdepan dengan kesukaran berikutan pencemaran alam sekitar serius, disebabkan kegagalan kerajaan pemerintah menangani masalah tersebut.

Meskipun ada yang menggelar Fuziah Salleh (Ahli Parlimen Kuantan) sebagai wakil rakyat ‘bermusim’ tetapi beliau mendengar keluh kesah mereka dan berusaha menyelesaikan masalah terbabit sehingga operasi perlombongan itu dihentikan buat sementara waktu.

Melihat situasi sedemikian... Adakah BN mampu merampas semula kerusi milik mereka pada PRU14? Atau pembangkang akan terus menguasai kerusi itu?

Timbul persoalan di sini. Tetapi pemerhati politik meramal pengundi tegar akan terus mengundi pembangkang memandangkan banyak isu yang gagal diselesaikan kerajaan BN.

Sebaliknya, untuk BN merampas kembali Parlimen Kuantan, mereka perlu memobilisasi sokongan lebih dengan mengelak dengan menyelesaikan masalah dalaman mereka seperti perebutan untuk menjadi calon dalam kerusi tersebut.

Meskipun ada pemerhati politik berpandangan sedemikian, namun BN perlu bekerja keras jika mahu kembali merampas kembali kerusi itu.
Persoalannya mampukah BN?

BN perlu tampil calon sesuai

Umno Bahagian Kuantan dilihat mampu merampas kembali Parlimen Kuantan memandangkan sebelum ini parti tersebut pernah menakluki kerusi berkenaan, itu pun bergantung langkah yang diambil oleh pemimpin Umno untuk menyelesaikan tsunami politik yang dihadapi sejak 2008.

Sebelum ini, Umno Bahagian Kuantan menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menentukan calon bagi kerusi terbabit pada PRU kali ini.

Ketuanya, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat mahu semua pihak bersikap realistik dan mengutamakan kemenangan parti daripada berebut untuk menampilkan calon daripada komponen mana.

Jelasnya, dengan memahami dan menghormati bahawa soal calon diputuskan oleh pucuk kepemimpinan BN, sudah pasti semua jentera Umno sepakat untuk melakukan kerja turun padang mendekati rakyat bagi ‘membirukan’ semula Parlimen Kuantan.

Tanpa berselindung, beliau beranggapan calon daripada Umno lebih berpeluang cerah untuk membantu BN merampas semula kerusi terbabit berdasarkan kerja kuat jentera parti itu selama ini.
"Kita sepatutnya mengutamakan apa yang paling penting iaitu kemenangan BN. Sebab itu kita mahu kerusi ini ditandingi calon daripada Umno kerana dilihat mempunyai peluang lebih cerah untuk menang.

"Dari satu sudut lain pula, tiada istilah Umno dipinjamkan untuk bertanding di kerusi ini tetapi Umno Kuantan yang lebih awal meminjamkan kerusi itu kepada MCA," katanya di Kuantan.

Beliau bagaimanapun tetap yakin bahawa pemilihan calon BN di situ berasaskan kepada parti dan calon boleh menang.

Selain itu, beliau meminta semua pihak berlapang dada menerima keputusan yang bakal dibuat pucuk pimpinan BN kelak.

Pada PRU12 calon PKR, Fuziah menewaskan calon BN daripada MCA, Datuk Fu Ah Kiow dengan majoriti 1,826 undi.

Kekalahan calon MCA bagi kerusi yang secara tradisinya milik BN itu bukan disebabkan parti lemah, tetapi lebih kepada undi protes penduduk berikutan pelbagai isu dalaman ketika itu.
Namun, pada PRU13, Umno kembali bertanding di kerusi berkenaan menerusi calonnya, Datuk Mohamed Suffian Awang, tetapi masih gagal merampas Parlimen Kuantan yang sekali lagi dimenangi Fuziah dengan majoriti besar.

Melihat peningkatan jumlah majoriti yang diraih Fuziah pada PRU13 iaitu 4,515 berbanding 1,826 (PRU12) menunjukkan rakyat mahukan pembangkang menjadi wakil mereka.

Dalam pada itu, pemerhati politik menjangkakan Fuziah yang telah mewakili Kuantan selama dua penggal sebelum ini pasti tidak perlu bersusah payah berkempen seperti sebelumnya.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan