PKR dapati ada tanda penipuan pilihan raya di Lembah Pantai

LEBIH 50 orang pengundi dari kawasan Parlimen Lembah Pantai didakwa dipindahkan untuk mengundi ke Sungai Besar tanpa pengetahuan mereka.

Ketua Pemuda PKR Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata mereka menemui 10 kes "pengundi hantu" dan empat daripadanya sudah disahkan.

Empat kes berkenaan dikesan membabitkan penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Pantai.

Tiga daripada mereka dipindahkan ke Kampung Tali Air 8 di Sekinchan dan seorang lagi ke Taman Aman di kawasan Parlimen Sungai Besar.

Kes berkenaan dikesan oleh Fahmi dan pasukannya sebulan lalu selepas menjalankan pemeriksaan bantahan draf daftar pemilih oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan Ng Suee Lim.
Ng membantah 490 pengundi baharu yang didaftarkan di Selinchan dari draf tambahan daftar pemilih dalam suku pertama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, Fahmi mendapati terdapat 56 pengundi dari Lembah Pantai berdepan bantahan pada suku pertama dan 53 kes pada suku ketiga.

Mangsa mendakwa mereka didatangi oleh individu yang tidak dikenali ketika mahu memperbaharui kad pengenalan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Pudu.

Salah seorang mangsa, V. Sandana berkata mereka dijanjikan oleh tiga individu bahawa bantuan akan diberikan setiap bulan kepada ibu tunggal dan golongan kelainan upaya, sebagai balasan untuk menyerahkan salinan kad pengenalan dan mengisi borang.

"Ini berlaku di UTC Pudu. Mereka kata kami akan membantu ibu tunggal dengan memberikan bekalan makanan setiap bulan. Dan mereka turut memberitahu saya memandangkan anak saya golongan OKU, saya perlu mendaftarnya," katanya pada sidang media di pejabat PKR Lembah Pantai.

Sandana Mary sudah menetap di Lembah Pantai sejak 40 tahun lalu. 

Seorang lagi mangsa, V. Caroline mendakwa dia diberikan RM20 apabila mengisi borang dan dijanjikan lagi RM100 apabila ke UTC pada hari mengundi.

"Mereka kata bas akan mengambil kami bila pilihan raya, mereka berjanji akan berikan kami RM100.

"Mereka minta kami datang ke Puduraya dan bas akan datang untuk bawa kami ke tempat lain," dakwanya.

Timbul kecurigaan

Fahmi yang juga pengarah Komunikasi PKR berkata pengundi terbabit kini tidak tahu di mana mereka akan mengundi.

"Hampir 490 penduduk dipindahkan ke Kampung Sungai Leman, dan 56 daripadanya adalah dari Lembah Pantai. Kami mengesyaki pengundi yang dipindahkan dari Lembah Pantai dalam jumlah yang besar menggunakan modus operandi itu tetapi kita tidak boleh sahkan (butiran) 440 pengundi lagi."

Katanya sebahagian daripada pengundi ini dipindahan dua kali pada daftar pemilih kerana permohonan mereka pada suku pertama ditolak oleh Ng.

"Apa yang saya bimbangkan ialah 100% pengundi di Sungai Leman adalah orang Melayu.
Bagaimana mereka yang tiada kaitan dengan Sekinchan dipindahkan? Siapa yang bertanggungjawab atas perkara ini?" kata Fahmi.

Beliau turut membangkitkan kecurigaan terhadap peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam perkara ini, berikutan agensi itu cuba mengelak dari mendedahkan salinan daftar pemilih tahun lalu.
"Mereka ini adalah pengundi hantu. Mereka dipindahkan secara salah. Pemeriksaan dengan SPR menunjukkan empat orang ini ditolak oleh Ng.

"Mengapa SPR halang kami mendapatkan salinan daftar pemilih? Adakah ini yang mereka cuba sembunyikan?

Fahmi berkata beliau dan empat pengundi terbabit akan membuat laporan polis hari ini.
Ng yang memegang kerusi Dewan Undangan Negeri Sekinchan sejak 2004, memulakan bantahan pengundi sejak akhir 2016. 

Bantahan itu turut mencetuskan amaran di kawasan pembangkang lain, yang membawa kepada pemimpin parti menjalankan pemeriksaan manual daftar pemilih.
Pada 2008, jumlah pengundi di Lembah Pantai adalah 56,650. Pada 2013, ia meningkat kepada 72,396.

Lembah Pantai kini mempunyai 78,000 pengundi terdiri daripada 56% Melayu, Cina (22%) Indian (18%) dan lain-lain (4%).
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan