Siapa bakal kuasai Dun Gemencheh?
TAMPIN – Bila sebut sahaja PPRU ke-14, semuanya sudah penat berteka-teki bilakah tarikh penting berkenaan akan diumumkan.
Pasti ada kalangan rakyat sudah tidak sabar memilih pemerintah yang benar-benar mereka inginkan untuk membantu mereka di kala keadaan ekonomi dunia khususnya negara mereka sendiri kini tidak menentu.
Mungkin juga ada yang tidak sabar untuk menyumbang undi rosak semata-mata geram melihat pertelingkahan antara parti terutamanya parti yang baharu setahun jagung ditubuhkan.
Namun, yang nyata, pengundi yang bijak adalah pengundi yang 'memangkah' mengikut akal dan fikiran bukanlah emosi semata-mata.
Undinya itu pula boleh menyumbang kepada kemenangan calon bukannya ditambah pada bilangan undi rosak.
Seperti mana di Parlimen Tampin diterajui Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, terdapat tiga Dun di mana salah satu daripadanya iaitu Dun Repah sudah digenggam selama dua penggal oleh calon DAP yang kini merupakan Adun Repah, S Verapan melalui tiket Pakatan Rakyat (PR).
Dua lagi Dun iaitu Gemas dan Gemencheh pula masih kekal cemerlang kemenangannya oleh calon BN yang kini masing-masing diterajui oleh Datuk Abd Razak Ab Said dan Datuk Mohd Isam Mohd Isa.
Lima calon BN, tiga Bersatu, Pas masih tanda tanya
Daripada ketiga-tiga Dun, kerusi Dun Gemencheh sentiasa menjadi kerusi panas sejak dari dahulu lagi memandangkan ramai anak tempatan yang tercalon dan tidak kurang juga mahu diangkat sebagai calon.
Bagi calon BN sahaja, lima nama termasuk wakil rakyat telah dihantar ke pucuk pimpinan parti untuk diputuskan.
Bahkan, buat pertama kali dalam sejarah di Dun Gemencheh, pertembungan tiga penjuru antara BN, Pakatan Harapan (Harapan) melalui Bersatu dan juga Pas bakal berlangsung dalam PRU14 ini.
Pada PRU13, Mohd Isam berjaya mengekalkan kemenangan kerusi berkenaan apabila mendapat undi sebanyak 7,782 menewaskan calon Pas, Mohd Noor Yassin yang hanya mendapat undi 4,757 dengan majoriti 3,025.
Peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 83.60 peratus, di mana hanya 12,859 daripada 15,390 pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab mereka.
Peratusan keluar mengundi ini meningkat hampir 10 peratus berbanding pada PRU 12 yang hanya mencatatkan sekitar 73.7 peratus keluar mengundi iaitu hanya seramai 10,219 daripada 13,870 pengundi.
Bagaimanapun, jika dibandingkan melalui PRU12, majoriti kemenangan berkenaan sebenarnya menurun
sebanyak 216 pengundi dan undi rosak pula bertambah sebanyak 26 bilangannya iaitu dari 260 kepada 286 undi rosak.
Ada yang menyatakan majoriti ini menurun disebabkan trend pengundi muda baik Melayu atau bukan Melayu yang pulang ke kampung dan memilih PR sebagai calon harapan mereka.
Figura Tun M jadi taruhan
Sehingga kini, difahamkan, seramai 16,004 pengundi telah didaftarkan di Dun Gemencheh dan kali ini, trend pengundi muda bukanlah ukurannya, namun figura Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) yang menjadi taruhan.
Jadi tidak pelik apabila anak Tun M sendiri, Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah hadir bagi merasmikan Bilik Gerakan Parlimen Tampin/ DUN Gemencheh di Gemencheh pada November tahun lalu.
Bahkan, isteri Tun M iaitu Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pernah hadir dan diraikan dengan cukup meriah dalam satu majlis komuniti di Pekan Gemencheh Julai, tahun lalu.
Tindakan Tun M untuk bersama-sama pembangkang dan kini berpayung di bawah Harapan telah menjentik hati pengikut setia Tun M.
Rata-rata yang berada di kawasan tanah rancangan sudah berura-ura untuk menyumbangkan undi buat Bersatu.
Ada kajian tak rasmi oleh anak peneroka sendiri apabila mereka menyatakan satu Pusat Daerah Mengundi (PDM) di tanah rancangan bakal melalui laluan getir walaupun sebelum ini, BN menang di PDM berkenaan pada PRU13.
Malah, salah seorang daripada tiga calon anak jati Gemencheh yang dihantar namanya untuk diputuskan pucuk pimpinan Bersatu dikatakan merupakan seorang wanita yang pernah bertugas sebagai Pegawai Khas Tun M bagi majlis rasmi di luar negara.
Dua nama lagi yang disebut-sebut ialah Ketua Penaja Bersatu Tampin, Norizan Ahmad dan seorang lagi anak tempatan.
Bagi Pas yang kini bertanding di atas tiketnya sendiri, antara calon yang disebut-sebut bakal naik ialah Abd Razakek Abd Rahim yang sebelum ini bertanding di kerusi Parlimen Tampin pada PRU13.
Selain figura Tun M, isu persempadanan semula lokasi PDM di DUN Gemencheh juga menarik perhatian.
Persempadanan semula mungkin beri kesan?
Pada hujung 2016, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemukakan cadangan persempadanan semula membabitkan penukaran nama peti undi N36 iaitu daripada Dun Repah ditukar menjadi Dun Bukit Rokan.
Selain itu, SPR juga mengetengahkan cadangan membabitkan empat kawasan iaitu Bukit Rokan Utara, Bukit Rokan, Kampung Rokan dan Sungai Jernih yang sebelum ini di bawah Dun Gemencheh diubah ke kawasan Dun Repah atau nama barunya Dun Bukit Rokan.
Manakala, kawasan Ladang Regent, Taman Batang Melaka dan Kampung Punggur di keluarkan dari Dun Repah dan dimasukkan ke dalam Dun Gemencheh.
Cadangan ini bukan hanya mendapat bantahan daripada pembangkang, bahkan BN juga mempersoalkan pertukaran nama Dun dan kawasan Rokan Utara, Bukit Rokan, Kampung Rokan dan Sungai Jernih dikeluarkan dari Dun Gemencheh.
Bagaimanapun, bagi cadangan kawasan Ladang Regent, Taman Batang Melaka dan Kampung Punggur dikeluarkan dari Dun Repah dan dimasukkan ke dalam Dun Gemencheh itu disambut baik memandangkan kawasan berkenaan lebih dekat dengan Pekan Gemencheh.
Oleh itu, kali ini akan menyaksikan pertambahan kawasan PDM di Dun Gemencheh termasuk persempadanan yang terbaru dikatakan Sungai Kelamah bakal dimasukkan di bawah Dun berkenaan.
SPR dalam satu kenyataan media di laman web rasminya kelmarin memaklumkan urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu telah pun selesai dijalankan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 113(10), Perlembagaan Persekutuan.
SPR telah pun menyerahkan Laporan Akhir berkenaan kajian tersebut kepada Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Abd Razak untuk tindakan beliau selanjutnya.
Apa yang pasti, walau ada pelbagai perubahan, yang diamanahkan di Dun Gemencheh dalam PRU13 telah menjalankan tugasnya sebagai wakil kepada rakyat dan meneruskan tradisi khidmat terus kepada masyarakat dari kepimpinan terdahulu.
Kemudahan Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh yang sudah diusahakan sejak lebih lapan tahun lalu sudah gah didirikan di tepi jalan utama Gemencheh-Gemas.
Walaupun masih belum beroperasi secara rasmi, kemudahan berkenaan sangat dinanti-nantikan oleh penduduk setempat.
Bahkan kemudahan dewan terbuka Ladang Regent bernilai RM300,000 juga sudah boleh dimanfaatkan oleh penduduk setempat.
Sini sana baik BN mahupun Harapan, semuanya sudah mula menggerakkan PDM masing-masing siang malam mengikut rentak, cumanya, Pas sahaja yang masih lagi belum menunjukkan rentaknya kali ini di Dun Gemencheh.
Apa pun, penentu siapa menang kerusi DUN Gemencheh tetap di tangan anda selaku pengundi. Tepuk dada, tanyalah selera.
0 comments:
Catat Ulasan