Imelda Marcos 2.0 Diva Kleptokrat

Oleh MUHAMMAD SYAFIQ AZMI

Bagi pejuang demokrasi sudah tentu mereka mengenali sosok bernama Indra Gandhi. Beliau bukan sahaja tercatat sebagai negarawan malah Indra merupakan satu-satunya Perdana Menteri Wanita dalam sejarah pentadbiran negara India. Beliau menjadi idola oleh rakyat India dan bagi masyarakat India yang miskin, Indra dianggap sebagai “ibu” mereka.

Tapi malangnya Indra dibunuh oleh pengawalnya sendiri pada tahun 1984 ketika usianya 66 tahun. Selain Indra kita mungkin harus meneliti nama Ibu Teresa seorang biarawati yang diberi sanjungan dunia atas keprihatinannya dalam pentas kemanusiaan. Didepan matanya sudah terbentang peluang untuk hidup enak dan punya masa yang panjang untuk berdoa. Tetapi Ibu Teresa lebih memilih untuk bersama kemiskinan, orang yang sakit, kebuluran dan kematian.

Sama seperti Indra yang tamat pengajian di Universiti Oxford sebenarnya punya pertimbangan yang wajar untuk memilih masa depan yang tidak terikat dengan memikirkan kemiskinan dan peperangan selain dari dirinya, namun sang Ibu Teresa juga memilih jalan yang sama bagi melunaskan tuntutan jiwa yang dekat dalam membantu masyarakat dan rakyat.

Selain dari ikonis wanita yang bersifat merakyat, kepedulian dan adil, terpahat juga nama-nama mereka yang juga mengharu birukan keadaan. Lantas nama Imelda Marcos lalu menusuk kedalam kotak pemikiran penulis. Kemewahan yang melatari dirinya terpancar dari hujung rambut hingga ke kulit telapak kakinya.

Koleksi kasutnya yang ribuan itu saja bisa membuat kita pusing dan terkejut dengan jumlah dan nilainya. Belum ditambah dengan rencam berlian yang ada dalam simpanannya. Malah Imelda turut dibayangkan sebagai pemilik permata berlian terbanyak didunia. Kekayaan dan kemewahan Imelda tidak terhenti di situ saja.

Jika dihitung seluruhnya termasuk lukisan pelukis yang mahsyur, barang-barang seni, saham dan sebagainya jumlahnya boleh dinilai sehingga mencecah milion dolar Amerika Syarikat. Bayangkan Imelda pernah dikhabarkan berbelanja gila-gilaan hingga rak berisi permata hampir kosong semua diborongnya.

Begitulah Imelda Marcos yang menjadi simbol pembaziran yang juga merupakan isteri kepada mantan Presiden Filipina Ferdinand Marcos yang dibuang negeri selepas berlakunya krisis kepimpinan sekitar tahun 1986. Dia yang menjadikan kedudukannya sebagai wanita pertama Filipina sebagai alasan mengapa beliau perlu mempamerkan kemewahan dan kecantikannya walhal dalam masa sama ramai rakyat Filipina masih terperangkap dalam kemiskinan. Imelda seenaknya memakai kasut yang bertatahkan emas tetapi rakyatnya hanya sempat berkaki ayam.

Perjalanan hidup Imelda Marcos yang dilihat saling mempergunakan kelebihan dan kedudukannya dengan Ferdinand Marcos sang suami sebagai suatu formasi yang bijak. Ferdinand membutuhkan sokongan rakyat untuk diangkat sebagai Presiden Filipina pada 1966 yang lantas melihat kecantikan dan pesona Imelda sebagai kelebihan untuk mendapatkan undi. Sebagai balasannya Imelda boleh bersuka ria diatas kemenangan suaminya atas sokongan yang terhasil dari dirinya itu.

Sebenarnya di Indonesia ada seorang penulis yang bernama Achmad Munif telah menghasilkan sebuah karya yang bertajuk “Kisah 40 Perempuan yang Mengubah Dunia”. Nama Indra Gandhi, Ibu Teresa dan Imelda Marcos menjadi nama wanita yang dimaksudkan oleh penulis didalam bukunya.

Cuma persoalan yang harus timbul kini dalam benak dan bentak minda rakyat Malaysia apakah akan muncul Imelda Marcos 2.0? Perjalanan kisahnya hampir sama dari segi kemewahan dan posisinya. Mempergunakan kedudukan suami sebagai jalan pintas memberi gambaran semangat dan karisma bobrok Imelda Marcos meresapi idea dan tindakannya yang akhirnya memangsakan rakyat.

Semenjak Imelda Marcos era TN50 menduduki takhta selaku isteri kepada perdana menteri ke-6, ianya memberi dampak buruk kepada ekonomi rakyat bahkan dia dilihat sangat kebal dan kalis pada undang-undang. Beratus kotak dan ada berpuluh tas tangan berisi wang serta 100 kilogram jongkong emas yang bernilai RM100 juta dirampas dikediaman mereka.

Nilai itu sekaligus membuka mata rakyat yang sebelum ini terkesima dengan perwatakan mereka sehingga ada golongan ulama juga diperbodohkan apabila mereka juga dilihat cuba untuk mempertahankan perbuatan bekas perdana menteri itu dan isteri dengan pelbagai “hujah” agama.

Konklusinya rakyat Malaysia pasca PRU ke 14 bakal dilihat dan diangkat seperti mana rakyat Filipina pada tahun 1986. Merekalah yang bertanggungjawab membongkar penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin utama negara. Walau pedih menerima penipuan dan wayang yang dipacak oleh pimpinan dan kerajaan terdahulu, rakyat yang bertanggungjawab kepada sejarah ini akan dikenang oleh generasi mendatang sebagai mereka yang memulihkan kuasa dari kerakusan pembaziran.

Jika Imelda Marcos digelar simbol pembaziran oleh dunia, Imelda Marcos 2.0 wajar dan layak menerima gelaran diva kleptokrat oleh bukan saja rakyat negaranya, malah ianya perlu dikenang oleh warga dunia sebagai sisi gelap sesebuah pemerintahan.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan