Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) menyambut baik keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Edwin Paramjothy bagi membebaskan peguam hak asasi Eric Paulsen dan Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan.
Keputusan itu adalah keputusan yang tepat dan patut dipuji. GHAH berharap semua pendakwaan dibawah Akta Hasutan dapat digugurkan dengan kadar segera, dan berharap Jabatan Peguam Negara boleh memainkan peranan secara lebih proaktif bagi menghentikan semua pendakwaan ini.
Suka untuk kami ingatkan, terutamanya kepada kerajaan Malaysia, bahawa di dalam janji yang dibuat melalui manifesto Pakatan Harapan, pada janji yang ke 27, Pakatan Harapan berjanji akan memansuhkan apa yang dipanggil sebagai ‘undang-undang zalim’, dan dalam senarai tersebut, Akta Hasutan berada di kedudukan teratas.
Memetik buku Harapan pada Janji 27: Menghapuskan undang-undang yang zalim, pada perenggan pertama telah dinyatakan; “Sistem perundangan negara kita telah kerap kali disalah guna oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional untuk menjaga kepentingan politik mereka. Ada di antara undang-undang ini yang diwarisi sejak zaman penjajah British lagi, tanpa dipinda untuk menjadikannya lebih adil untuk rakyat sebuah negara merdeka. Ada juga undang-undang zalim yang diperkenalkan oleh Umno dan Barisan Nasional sendiri.
• Akta Hasutan 1948
• Akta Pencegahan Jenayah 1959
• Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971
• Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984
• Akta Majlis Keselamatan Negara 2016
• Hukuman gantung mandatori dalam semua akta”
Sehingga hari ini, GHAH masih tidak melihat usaha konkrit dari pihak kerajaan bagi merealisasikan perkara tersebut. GHAH bersama organisasi masyarakat sivil yang lain telah berkali-kali menyeru agar moratorium dapat dilaksanakan segera. Namun hal ini tidak berlaku.
Aktivis-aktivis masih disiasat menggunakan akta lapuk ini. Terbaru aktivis mahasiswa Asheeq Ali dan hari ini aktivis sosial Hishammuddin Rais telah disiasat di bawah akta ini.
Sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas terhadap isu ini, GHAH berharap satu dialog terbuka dapat diadakan segera bersama Jabatan Peguam Negara serta pihak kerajaan, bagi membincangkan isu ini.
* Amir Abd Hadi adalah penyelaras Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH)
0 comments:
Catat Ulasan