Semua pihak dalam negara, tidak kira pemerintah atau Raja-raja, perlu
mematuhi undang-undang kerana ia penting dalam proses pemulihan
pemerintahan negara yang sedang dilaksanakan, kata Perdana Menteri Tun
Dr Mahathir Mohamad.
Ketika mengingatkan tentang keluhuran undang-undang yang merupakan
satu daripada Rukun Negara, beliau berkata ketidakpatuhan terhadap
undang-undang boleh menyebabkan huru-hara dan menyukarkan proses
pemulihan.
“Setiap satu perbuatan kita perlu mengikut undang-undang dan
peraturan. Bagi Perdana Menteri atau Raja, menteri atau pegawai
pentadbir atau polis, tentera, segala tindakan perlu mengikut
peraturan-peraturan. Jika tidak mengikut peraturan, maka akan berlaku
huru-hara dalam negara kita.
“Ini amat penting sekali kerana kita sedang cuba memulihkan kerajaan
pemerintah di dalam negara ini. Jika tidak berpandukan kepada
undang-undang, maka pemulihan negara tidak akan berlaku,” katanya ketika
berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana
Menteri di Dataran Perdana hari ini lapor Bernama..
Dr Mahathir berkata kerajaan memerlukan undang-undang yang luhur dan
mulia, serta yang menjunjung keadilan undang-undang yang tidak
menekankan atau mengetepikan mana-mana pihak
Menurut Dr Mahathir, tidak ada mana-mana pihak yang boleh membuat
sesuka hati atau apa sahaja kerana berkuasa walaupun di peringkat Raja
mahupun pemerintah.
Katanya bangsa bertamadun menerima undang-undang dan peraturan untuk kelangsungan hidup dan pembangunan bangsa.
“Kita tahu kita adalah satu bangsa bertamadun. Orang yang bertamadun,
tidak bergerak tanpa peraturan dan undang-undang. Jika kita tidak
iktiraf peraturan atau undang-undang, maka kita tidak boleh mendakwa
kita bangsa bertamadun,” katanya.
Dr Mahathir berkata walaupun Malaysia merupakan negara demokrasi,
perkara utama adalah semua pihak perlu mematuhi undang-undang yang
melindungi rakyat, Raja dan pemerintahan.
Katanya hanya undang-undang yang benar-benar melindungi semua pihak perlu diteruskan dan diamalkan.
“Undang-undang perlu adil kepada semua pihak. Kalau kita tahu
kadang-kadang ada undang-undang yang menekan atau membuat kepincangan
dalam kalangan rakyat, maka ia perlu disemak sama ada adil atau tidak.
Kalau tidak adil, maka undang-undang itu perlu dimansuhkan atau
diperbetulkan.
“Dalam negara kita, banyak pihak berkuasa. Raja sedikit sebanyak
berkuasa. Tetapi kuasa itu terhad mengikut undang-undang negara.
Walaupun kerajaan diberi kuasa, kuasa bukan boleh digunakan
sewenang-wenangnya, dan kuasa itu mesti dilaksanakan mengikut
undang-undang negara,”katanya lagi.
Menurut Dr Mahathir, pengasingan kuasa dalam negara dibahagikan
kepada tiga iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman yang menjadi
keutamaan dalam negara demokrasi, dan tidak ada mana-mana pihak boleh
berkuasa tanpa mengambil kira hak kuasa lain.
“Jika benar berlaku sesuatu bertentangan undang-undang, hakim yang
menentukan benar atau tidak terhadap perkara yang bertentangan dengan
undang-undang. Pihak hakim tidak perlu takut apabila menjalankan tugas
secara adil,” katanya.
Menurut Dr Mahathir, pemilihan hakim dan jawatan tertentu juga akan
diberikan kepada Parlimen untuk menapis calon-calon sebelum dikemukakan
kepada Yang di-Pertuan Agong.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan