Perdana Menteri berkata, Pakatan Harapan (PH) berdepan ‘masalah dari dalam’ pada malam 9 Mei lalu sebelum membentuk kerajaan pada peringkat Pusat.
Beliau berkata, terdapat cubaan daripada pemimpin Umno dan Pas untuk menarik Ahli Parlimen Melayu-Islam dari PH bagi membentuk kerajaan.
“Jadi, terdapat idea menghimpunkan wakil rakyat beragama Islam daripada Umno, Pas dan PH supaya mereka mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan Melayu-Islam,” katanya dalam temubual dengan Mekong Review seperti dilapor bharianonline.
Dr Mahathir berkata, keputusan mengejut PRU-14 menyebabkan pemimpin Barisan Nasional (BN) mengambil langkah terdesak untuk terus kekal berkuasa.
“Jika mereka (Ahli Parlimen Melayu-Islam) berjaya dipujuk menyeberang ke Umno dan Pas, mereka akan memperoleh majoriti untuk menubuhkan kerajaan, ini yang menyebabkan kelewatan dalam mengumumkan kemenangan kami.
“Dari luar, peralihan kerajaan itu kelihatan lancar tetapi tidak dari dalam. Kami berdepan pelbagai kesusahan termasuk cubaan menafikan kemenangan kami, tetapi pengakhirannya baik,” katanya.
Dr Mahathir berkata demikian mengulas tindakan politik yang menyebabkan pengumuman keputusan rasmi PRU-14 tertangguh sehingga dikritik hebat oleh penganalisis politik.
“Kami tahu kami sudah menang pada jam 8.30 malam tetapi kami tidak mendapat pengumuman rasmi sehingga kira-kira jam 2 pagi kerana dalam tempoh berkenaan terdapat banyak usaha dan cubaan yang tidak dapat dilihat oleh orang ramai. Kami tahu dan kami tahu dengan lebih banyak selepas itu,” katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama Ahli Parlimen PH yang cuba ditarik oleh Umno dan PAS pada malam berkenaan.
Dr Mahathir berkata, PH tidak menjangkakan kemenangan pada PRU-14 kerana kerajaan terdahulu sangat berkuasa dan berupaya mengekalkan kuasa menggunakan ugutan dan rasuah.
“Saya fikir jika mereka (BN) kalah mereka tidak akan menerima keputusan itu, tetapi margin kekalahan mereka amat besar sehinggakan tidak tahu apa lagi yang boleh mereka lakukan.
“Ramai yang menyatakan sokongan kepada pembangkang dan ada juga individu yang menasihatkan kerajaan ketika itu supaya menerima saja keputusan pilihan raya,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran dihadapi kerajaan PH sejak 9 Mei lalu, Dr Mahathir berkata, usaha berterusan sedang dilakukan untuk membuat perubahan dan memperbetulkan kesilapan yang dibuat oleh BN.
“Apabila sebuah negara tiba-tiba menjadi demokratik, ia tidak boleh mengendalikan kebebasan yang datang dengan demokrasi dan kerana itu ia cenderung untuk kembali kepada cara lama.
“Kejayaan Malaysia adalah kerana peralihan kuasa yang berlaku tidak membabitkan keganasan, kami tidak membawanya ke jalanan, kami tidak mensabotaj, kami tidak membunuh orang. Kami membuat perubahan melalui pilihan raya,” katanya.
Mengakui terdapat kesalahan pada pentadbiran lalu, Dr Mahathir berkata kerosakan yang berlaku tidak seteruk ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Di bawah Najib, kerajaan musnah. Pertama mereka meminjam dengan banyak dan kini kami berdepan kesusahan untuk membayarnya semula.
“Kedua, semua jentera kerajaan dibeli dengan wang supaya mereka setia kepada (bekas) Perdana Menteri, termasuk berkempen untuk parti pemerintah ketika pilihan raya lalu,” katanya.
Berita penuh https://malaysiadateline.com/mahathir-dedah-wujud-cubaan-terdesak-pada-9-mei/
0 comments:
Catat Ulasan