Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kajian sedang dibuat mengenai mekanisme pelaksanaan subsidi petrol berkenaan yang dijangka akan berkuat kuasa suku ke-2 tahun depan bagi memberi manfaat melangkaui golongan berpendapatan 40% terendah (B40).
“Kita nak kaji macam mana kita boleh perluaskan supaya kita tidak hanya hadkan kepada B40 tetapi yang saya ingin tegaskan yang pakai kereta mewah jangan harap, itu kita tidak akan berikan,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.
Langkah ini dijangka dapat memanfaatkan seramai 4 juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal.
Sementara itu, pemberian subsidi kepada pemilik kenderaan berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah yang diumum turut akan mengambil kira faktor usia kenderaan dan tahap pendapatan rakyat dengan sasaran utama golongan B40.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata ini kerana pihaknya mengambil maklum keadaan dimana ramai rakyat di negara ini yang memiliki kenderaan lama dan maklumat tepat dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diperlukan untuk tujuan itu.
“Berapa ramai sebenarnya rakyat Malaysia memiliki kenderaan usia lebih lama, harus ada ketepatan sebab setiap formula yang kami nak buat nak jamin kelancaran dan implikasinya kepada kewangan kerajaan,” katanya selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2018 di Pasar Awam Kulim, Kulim, Kedah hari ini.
Sehubungan itu, sebagai kementerian yang akan mengendalikan pelaksanaan subsidi itu, pihaknya akan membuat mesyuarat pertama bersama Kementerian Kewangan pada 8 November ini bagi mencari formula terbaik untuk memulakan mekanimse berkenaan.
Pihaknya juga akan turun padang bagi mendapatkan input pandangan rakyat yang merupakan pihak berkepentingan paling penting dalam pelaksanaan mekanisme itu.
“KPDNHEP sudah tentu perlu bersiap sedia dari segi pembinaan sistemnya, bersama Kementerian Kewangan akan terlibat dalam proses perolehannya dan membangunkan sistem…akan ada penglibatan dengan syarikat minyak, pengusaha stesen minyak dan bila kami laksanakan kami mahu jamin ianya proses yang licin dan lancar,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan subsidi itu kelak sebenarnya akan memberi faedah kepada kerajaan iaitu displin fiskal kewangan kerajaan akan menjadi lebih baik kerana setiap sen subsidi yang dibelanjakan kerajaan akan sampai kepada mereka yang memerlukan.
“Jadi golongan T20 saya mohon agar tidak rasa kecil hati sebab T20 tahap pendapatan tinggi…kalau rakyat biasa dia kena beli harga (bahan api) lebih rendah sebab tahap pendapatan berbeza,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan