Sami, pelacur dan perangkap media


Oleh Lim Hong Siang

Seorang sami yang terkenal melawat ke Thailand, terus didatangi wartawan sebaik sahaja turun dari kapal terbang. “Adakah anda datang untuk melanggan pelacur di Thailand?” 

Sami itu tersenyum dalam hati. Dia masak dengan perangai wartawan. Dia tahu wartawan-wartawan di depannya sedang menunggu-tunggu kesempatan untuk mengenakan dia.

Sami itu mencongak dalam hatinya. Jikalau dia jawab tidak, maka dijangkakan tajuk besar di muka depan akhbar adalah “Sami nafi datang untuk melanggan pelacur di Thailand”.

Pembaca yang peka sudah tentu dapat menghidu sesuatu yang tidak kena di sebalik penafian ini. Biasanya apa yang dinafikan, itulah yang berlaku, bukan?

Namun demikian, sami itu juga sedar, andainya dia berdiam diri, media boleh meletkan tajuk “Sami tidak nafi datang untuk melanggan pelacur di Thailand.” Lagi dahsyat kesannya.

Jadi sami yang enggan terjerat ke dalam perangkap media cuba menangkis soalan dengan soalan.
Sambil mengukir senyuman di wajahnya, sami itu buat-buat tak tahu dan bertanya, “Thailand ada pelacur?”

Maka sami itu pun beredar menuju ke destinasi seterusnya, mengandaikan dirinya telah berjaya memboloskan diri dari perangkap media.

Tetapi sami itu hampir pengsan apabila dia melayari laman media kemudiannya, kerana berita lawatannya telah diviralkan dengan tajuk, “Thailand ada pelacur? Tanya sami sebaik turun dari kapal terbang”.

Ini kisah jenaka untuk mereka yang mengambil kursus kewartawanan.

Media tidak muncul dalam “vakum” (kekosongan); dan media mempunyai agenda yang tersendiri.
Hakikatnya, reaksi dan kenyataan yang sama, boleh diberi tafsiran yang pelbagai mengikut sudut yang berbeza.

Setiap soalan yang ditanya, setiap tajuk yang diperbesarkan, boleh mempengaruhi persepsi audiensnya.

Mereka yang tidak fasih dengan permainan media, akan dipermainkan dan dimangsakan.

Jenaka ini diungkit semula apabila Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dimangsakan sekali lagi dengan isu warna stokin.

Dalam lawatannya ke Jabatan Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) baru-baru ini, Dr Maszlee diajukan soalan oleh wartawan mengenai isu warna stokin.

Dilayan sahaja soalan itu dengan jawapan yang “standard”, berbunyi “Kita sedia maklum mengenai perkara ini dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas perbincangan dengan pihak berkepentingan selesai” – berakhir dengan tajuk besar “Perbincangan mengenai warna stokin sedang dilakukan”.

Dan berita ini perlu dibaca dalam konteks, iaitu kontroversi yang tercetus pada Julai lalu, apabila Dr Maszlee dipetik untuk membuat pengumuman tentang warna kasut sekolah, yang bakal ditukar dari putih ke hitam.

Dua jam Dr Maszlee berbicara mengenai falsafah dan matlamat pendidikan, menekankan nilai kemanusiaan, menyatakan komitmen untuk mempertahankan kebebasan akademik, menggesa rakyat menguasai bahasa yang pelbagai, malah menyentuh pendidikan khas, satu topik yang jarang-jarang mendapat perhatian umum dalam forum tersebut.

Namun semua ini ditenggelamkan dengan hanya satu isu, iaitu “kasut hitam”.

Sememangnya media mempunyai kebebasan untuk memilih tajuk atau isu yang ingin ditonjolkan.
Dan mustahil semua topik perbincangan dimasukkan ke dalam satu tajuk yang hanya merangkumi beberapa perkataan.

Masalahnya, ada segelintir media menonjolkan hanya isu “kasut hitam”, tanpa menyentuh perkara-perkara lain yang diungkit Dr Maszlee.

Jadi saya sedikit terganggu apabila laman media sosial melambak dengan komen-komen netizen yang berbunyi, “Tak ada isu lain ke?”, “Bukankah lebih penting jikalau dibincangkan bagaimana untuk mengurangkan berat beg sekolah?” – sedangkan Dr Maszlee sendiri mengungkit hal berat beg dalam forum tersebut, dan berisytihar untuk mengurangkan berat beg agar murid lebih ceria dan gembira sepanjang pembelajaran di sekolah.

Dua punca yang menjurus kepada fenomena ini.

Pertama, media lebih mengutamakan isu remeh, kerana isu bodoh sebegini mampu melonjakkan angka view dan like.

Kedua, sikap pembaca yang hanya membaca tajuk, dan tidak mempunyai kesabaran untuk menghabiskan berita yang lengkap.

Ia berakhir dengan maki-hamun terhadap Dr Maszlee yang kelihatan bodoh, sedangkan sikap media dan pembaca juga harus dipertanggungjawabkan dalam hal ini.

Saya semakin bimbang dengan trend yang menjadi-jadi ini, khususnya selepas 9 Mei 2018.
Pakatan Harapan yang telah menguasai kerajaan persekutuan, kelihatan seolah-olah melepas tangan apabila berita sedemikian menular di media.

Saya tidak bersetuju untuk menyekat atau menekan media, tetapi penjelasan dan penerangan wajib diusahakan untuk menghakis persepsi negatif yang dibentuk lantaran laporan media yang tidak memberi gambaran sepenuhnya.

Dari satu segi, media adalah kaca mata untuk kita melihat dan mengenali dunia ini.
Apabila media lebih berminat kepada isu-isu yang remeh, dunia kita diperkecilkan, dan kita diperbodohkan.

Saya tidak terkata apa-apa ketika membaca komen yang memaki Dr Maszlee sebagai menteri yang bodoh, dan saya tidak pasti apakah pensyarah wartawan itu bangga apabila anak muridnya memasang perangkap untuk membuatkan menteri kelihatan bodoh.
https://denyutreformasi.blogspot.com/
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan