Pimpinan PAS perlu berlaku adil kepada ahli

Oleh RAJA BAHRIN SHAH

 Selepas berita mengejutkan penarikan balik saman PAS ke atas Sarawak Report, kita digemparkan pula dengan pengakuan seorang ustaz muda PAS bahawa beliau dan 40 lagi yang menyaksikan sendiri pengakuan Anggota Parlimen Bachok Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang PAS ada menerima wang daripada Umno.

Dr Mohammad Atiullah Othman mengaku pada bulan Oktober 2016, beliau mengalami peristiwa "paling hitam" dalam hidup diri beliau.

Buat kali pertama beliau mendakwa menjadi saksi hidup suatu pengakuan "menerima suapan".
Beliau berkata Ustaz Zaharuddin Muhammad turut hadir bersama beberapa orang lagi pimpinan kanan PAS dalam peristiwa itu.

Berita tergempar kedua dalam beberapa hari ini pasti amat mengecewakan ahli dan penyokong PAS.
Saya sangat bersimpati terhadap mereka kerana kebanyakan penyokong PAS sangat setia kepada pimpinan mereka. Dakwaan ini akan menambahkan kekecewaan mereka terhadap pimpinan yang menafikan menerima wang Umno tetapi pada masa sama meminta mereka berkorban memberi sumbangan yang kononnya untuk membela maruah parti.

Kini bukan saja tuduhan menerima wang Umno tersebut makin kelihatan benar, tetapi saman tersebut dihentikan sebelum perbicaraan dimulakan. Bukankah Islam menuntut kita mencari kebenaran dan keadilan?

Carilah kebenaran melalui perbicaraan mahkamah yang PAS sendiri telah pilih dan iktiraf. Berlaku adillah kepada mereka yang telah menderma wang ringgit dan keringat serta serta penat lelah untuk mengetahui kebenaran melalui perbicaraan tersebut. Apa yang perlu diselindungkan?

Sepertimana hari Dr Mohd Atiullah menyaksikan pengakuan Nik Abduh tentang menerima wang Umno menjadi sejarah hitam kepadanya, sudah tentu ramai penyokong PAS akan merasa amat pedih menerima berita serta realiti tersebut.

Tanpa restu penyokong

Kami yang dahulunya bersama PAS telah cuba menegur di peringkat awal isu hubungan sulit PAS dan Umno timbul. Kami telah dilempar pelbagai kecaman dan disingkir daripada barisan pimpinan. Kami juga dituduh sebagai pengkhianat.

Dengan saman terhadap Sarawak Report diselesaikan di luar mahkamah, tanpa Sarawak Report perlu mohon maaf atau memadamkan artikel yang mengandungi dakwaan itu, dan kini pengakuan Dr Mohd Atiullah tentang menerima wang Umno, siapakah pengkhianat yang sebenarnya ?

Anggota biasa PAS telah berpuluh tahun ditindas dan dizalimi Umno. Selepas Umno mentadbir semula Terengganu daripada PAS pada 2004, tanah yang dianugerahkan kepada penyokong PAS telah di ambil balik oleh kerajaan negeri ketika itu. Penyokong PAS Terengganu tidak boleh lupa semua itu. Bukankah Umno telah menzalimi dan mengkhianati penyokong PAS?

Sekarang makin jelas dan terserlah pakatan sulit dan penerimaan wang Umno oleh pimpinan PAS tanpa pengetahuan serta restu penyokong mereka. Pada masa sama penyokong PAS diminta menderma lagi untuk kes mahkamah di London yang dengan tidak semena-mena diselesaikan di luar mahkamah.

Pucuk pimpinan PAS perlu memberi penjelasan terperinci tentang isu penyelesaian luar mahkamah itu dan dakwaan Dr Mohd Atiullah tentang pendedahan Nik Abduh dalam soal menerima wang Umno.

Jika penyokong PAS di tuntut wala' kepada pimpinan mereka, pimpinan mereka pula perlu ikhlas dan berterus-terang kepada mereka yang telah berkorban harta benda dan tenaga selama ini.

Pemimpin Islam perlu berlaku adil dan menjadi contoh yang baik kepada pengikut serta rakyat mereka seperti Khalifah Umar Abdul Aziz yang mempunyai banyak persamaan dari segi kepimpinan dengan Almarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat.


RAJA BAHRIN SHAH ialah anggota Dewan Negara, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta pengerusi PH Terenganu.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan