Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata rakyat perlu menilai kesan daripada gerakan ‘politik sayap kanan’ itu yang mengembangkan perasaan kebencian, kemarahan dan ketakutan ahli terhadap parti politik lawan.
Katanya insiden keganasan di New Zealand boleh berlaku di Malaysia jika rakyatnya, khususnya orang Melayu memilih parti politik yang menggunakan pendekatan ‘politik sayap kanan’.
Katanya Malaysia sedang mengalami kebangkitan fahaman politik sayap kanan itu.
“Rakyat boleh nilai sendiri, yang membawa politik kebencian, kemarahan, ketakutan dan bercakap soal negara ini akan berubah dan kononnya bangsa dia akan dipinggirkan.
“Pengganas New Zealand itu juga guna hujah yang sama, kononnya orang Islam dan lain-lain semakin ramai, budaya orang kulit putih terancam dan akhirnya negara akan dikuasai orang asing.
Masyarakat Melayu kena nilailah,” katanya ketika ditemui selepas program Doctor Run 2019 di Dataran Merdeka di sini, hari ini.
Katanya, insiden serangan pengganas di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 50 orang Islam pada 15 Mac lalu, adalah kesan daripada ideologi politik sayap kanan.
“Itu kesan akhir apabila kamu berjaya tanam kebencian, kemarahan, ketakutan dan sebagainya.
“Mesej kita adalah masyarakat perlu tolak politik sayap kanan dan kekalkan identiti kita sebagai negara yang terbuka serta hormat-menghormati antara masyarakat berbilang kaum dan agama,” katanya.
Himpunan berkenaan turut dihadiri oleh wakil luar negara seperti Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia; Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia; Duta Besar Turki ke Malaysia dan pemimpin pebagai agama.
Khalid juga berkata jumlah kehadiran pada perhimpunan itu tidak penting, asalkan mesej yang disampaikan tersebar pada masyarakat Malaysia dan dunia.
0 comments:
Catat Ulasan