PUTRAJAYA -
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Pengerusi PKR
Sarawak, Baru Bian akan mengetuai jentera pilihan raya parti berkenaan
dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.
Anwar berkata, Baru akan dibantu oleh pasukan
dari pusat yang terdiri daripada Naib Presiden PKR, Ali Biju, Tian Chua
dan Dr. A Xavier Jayakumar serta Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri
Saifuddin Nasution Ismail.
“Mereka
akan mula jalankan tugas secepat mungkin untuk merangka strategi
termasuk mengadakan rundingan dengan parti-parti komponen dan
mempersiapkan jentera untuk perjuangan yang berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di sini, hari ini.
Dalam
perkembangan lain, Anwar berkata, PKR akan menunggu hasil siasatan
polis sebelum mengambil tindakan selanjutnya berhubung dakwaan kes cabul
yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan.
Selain
itu, Anwar turut memohon maaf berhubung tindakan Angkatan Muda Keadilan
(AMK) yang menyambut iftar semalam dengan acara pesta yang disertakan
dengan nyanyian lagu dan juga bunga api.
“Saya
memohon maaf dengan keterlanjuran itu, amaran keras juga telah
diberikan kepada AMK supaya menghormati bulan Ramadan dan tidak
menjalankan acara yang menyimpang dari landasan Islam.
“Ketua
AMK menjelaskan bahawa program berkenaan diselenggarakan oleh timbalan
beliau dan saya minta AMK perbaiki kelemahan ini,” katanya.
Dalam
pada itu, Anwar berkata, PKR membantah tindakan provokasi Amerika
Syarikat (AS) ke atas Iran dan mendesak badan antarabangsa terutama
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk
mengadakan sidang tergempar bagi mengelak ketegangan yang boleh menjurus
kepada peperangan.
“PKR menggesa Malaysia
menyatakan pendirian tegas kita dengan menolak provokasi dan ancaman
peperangan kepada seluruh negara Islam yang bergabung di bawah
Persidangan Kerjasama Islam (OIC), yang akan mengadakan sidang
kemuncaknya di Mekah pada 31 Mei ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE
0 comments:
Catat Ulasan