Ketua Wanita MCA: Saya tak pernah kata laporan forensik rogol hilang

Pengerusi Wanita MCA, Heng Seai Kie sedia bekerjasama dalam siasatan polis ke atas laman Facebook yang mendakwa pihak berkuasa itu menghilangkan laporan forensik berkaitan kes rogol yang didakwa melibatkan exco Perak, Paul Yong.

Heng juga menegaskan beliau sendiri tidak pernah mendakwa laporan itu telah hilang.

"Pada 27 dan 29 Julai, saya mengeluarkan kenyataan akhbar dalam Bahasa Cina, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, untuk memberikan pandangan saya mengenai isu di mana laporan siasatan dikembalikan kerana laporan perubatan dan forensik tidak dilampirkan.

"Ini berikutan laporan media ketika itu, di mana polis tidak melampirkan laporan perubatan dan forensik ketika menyerahkan kertas siasatan ke pejabat pendakwa raya, yang menyebabkan laporan siasatan dipulangkan.

"Dalam kenyataan itu, saya juga menyebut bahawa ini adalah 'keterlaluan', bahawa 'kelewatan sedemikian akan menghalang proses kehakiman', dan dengan itu jika benar, mendesak Ketua Polis Perak, Razarudin Husain 'untuk memberikan maklumat yang tepat dan meminta maaf kepada mangsa dan orang ramai '." katanya.

Heng menegaskan bahawa beliau menyatakan pandangan yang sama dalam kenyataan semua tiga bahasa.

"Ia tidak pernah langsung menyebut laporan perubatan dan laporan forensik hilang.

"Selain itu, pihak yang disiasat bukanlah saya, tetapi laman Facebook '1 Malaysia Tolak DAP' yang menyiarkan dakwaan itu. Namun begitu, kerana pihak polis telah meminta saya membantu siasatan mereka, saya bersedia sepenuhnya untuk bekerjasama," kata Heng.

Beliau berkata adalah penting bagi orang ramai terus memantau tindakan polis dalam siasatan berkenaan.

Ini kerana katanya, kes itu melibatkan kepentingan awam dan polis Perak harus memberi maklumat terkini tentang siasatan mereka secara telus.

Yong sebelum ini dituduh merogol pembantu rumah warga Indonesia namun Adun Tronoh itu menafikan dakwaan tersebut.

Exco itu hadir ke balai polis Jelapang pada 9 Julai untuk membantu siasatan dan ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau memegang jawatan sebagai exco Perak yang bertanggungjawab terhadap perumahan, kerajaan tempatan, pengangkutan awam, urusan bukan Islam dan kampung baru.-M/kini
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan