PH perlu tumpu tangani isu rakyat

SEREMBAN: Semua parti komponen Pakatan Harapan (PH) perlu bersatu dan mengekalkan formula yang diguna pakai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk memastikan kemenangan PRU-15, selain berdepan tekanan susulan kerjasama UMNO-PAS.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke, berkata kerjasama UMNO dan PAS pasti memberi tekanan kepada PH, namun tumpuan harus diberi terhadap perjuangan asal dan usaha menyatupadukan rakyat.

“Sekarang kita mesti fokus kepada pelaksanaan. Banyak usaha sudah dibuat dalam menangani isu rakyat, tapi ada banyak lagi usaha dan cabaran perlu dihadapi.

“Penyatuan UMNO dan PAS akan terus memainkan isu perkauman, selain memberi tekanan kepada PH.

“Justeru, kita perlu kekalkan formula PRU-14 dan semua parti (PH) mesti mainkan peranan masing-masing supaya arah tuju perjuangan tidak melencong,” katanya berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan Ke-20, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu, Loke menegaskan DAP akan terus menjadi rakan setia PH untuk meneruskan perjuangan.

“Kita ingin beri keyakinan pada rakan-rakan dalam PH sama ada PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) bahawa DAP akan tetap menjadi rakan setia dalam PH.

“Semua parti mesti memainkan peranan dan kita perlukan sokongan bukan saja dari Semenanjung tapi juga di Sabah dan Sarawak kerana itu adalah formula kejayaan yang membuahkan hasil pada PRU-14.

“Oleh itu, jangan bimbang. Kalau kita terus kekalkan perpaduan dan pastikan rakyat terus diberi perhatian, kemenangan PRU-15 akan menjadi milik kita,” katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan