Oleh Azhar A Samah
BAGI anak kecil, kenakalan mereka dapat dikawal jika mata ibu dan
bapanya tidak lekang daripada memerhatikan mereka sepanjang masa, namun
berubah sepenuhnya apabila ‘mata’ itu sudah tiada di depan mereka.
Bagi kita yang sudah dewasa, ‘mata’ yang ada di sekeliling kita, sama
ada di jalan raya, di dalam bangunan atau pejabat, pastinya sedikit
sebanyak mengekang kebebasan untuk berbuat apa sahaja.
Dalam erti kata
mudah, perangai atau sikap kita akan berubah atau menjadi lebih baik
jika kita diperhatikan.
Kehadiran polis, kamera di lebuh
raya atau ada kamera litar tertutup (CCTV) akan membuatkan masyarakat
memilih menjadi lebih bertamadun kerana berasakan mereka sedang
diperhatikan. Secara lahiriah, pastinya kes jenayah akan berkurangan
jika ada CCTV atau polis di kawasan itu.
Pengumuman
kerajaan baru-baru ini untuk menggunakan kamera badan pada pegawai
penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen
Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menangani
salah laku, khususnya dalam bilik tertutup atau ketika soal siasat
dijalankan adalah langkah ke depan dalam mengurangkan syak wasangka
rakyat dalam kes membabitkan kematian tahanan dalam lokap, salah laku
mahupun salah guna kuasa.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad sendiri yang mengumumkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai
Anti Rasuah (JKKMAR) bersetuju melaksanakan penggunaan kamera di badan
bagi memperkasa kecekapan dan integriti pegawai penguat kuasa berikutan
aduan salah laku individu yang berurusan atau yang disiasat, termasuk
dakwaan dipukul. Namun, ia hanya dilaksanakan jika sumber kewangan
kerajaan mencukupi.
Ketika cadangan ini dibangkitkan,
sudah ada pihak yang mempertikaikannya. Hujahnya, pasukan penguat kuasa
tidak harus diperlakukan seperti penjenayah dan ‘robot yang tidak boleh
dipercayai’. Malah, individu itu melihat anggota polis, imigresen dan
kastam adalah manusia bermaruah dan ada harga diri dan jangan dimalukan.
Bagi ketua penguat kuasa yang mewakili PDRM pula, beliau mahu cadangan
penggunaan kamera di badan dilaksanakan secepat mungkin bagi
menghindarkan anggotanya difitnah oleh masyarakat. Pada masa yang sama,
pastinya masyarakat mahu juga mendengar maklum balas daripada pengurusan
imigresen dan kastam mengenai cadangan itu, selain agensi
penguatkuasaan lain yang banyak berurusan dengan rakyat seperti pihak
berkuasa tempatan (PBT).
Video viral membabitkan perlakuan
yang dilihat kurang wajar oleh pihak berkuasa PBT ketika menjalankan
tugas penguatkuasaan ke atas penjaja di utara tanah air, baru-baru ini,
seharusnya mendesak penggunaan kamera di badan dipercepatkan di PBT.
Dalam tempoh ‘bertenang’ sehingga cadangan ini dilaksanakan, sewajarnya
ada pihak membuat kajian keberkesanannya, termasuk mencari data
kejayaan di negara yang sudah melaksanakan penggunaan kamera di badan
bagi mengelakkan salah percaturan seperti yang dilakukan dalam
pelaksanaan ‘kotak hitam’ ke atas lori dan bas, kononnya mahu mengawal
kelajuan kenderaan pengangkutan bagi mengelakkan kehilangan nyawa
pengguna jalan raya.
Malah, kajian di Amerika Syarikat mendapati
penggunaan kamera di badan atau tidak menggunakannya dalam kalangan
anggota polis tidak memberikan kesan yang signifikan.
Namun, ada
kajian memperlihatkan ia membantu dalam membendung keganasan dan salah
laku.
Keganasan polis ke atas pemuda kulit hitam, Michael Brown di
Ferguson, Missouri, Amerika Syarikat pada 2014, menyaksikan hampir 95
peratus jabatan polis di situ menggunakan kamera di badan dan kesan
ketara ialah mereka yang memakainya dikesan ‘lebih tenang’ ketika
menjalankan tugas.
Kajian dalam kalangan polis di Railto,
California pada 2012 juga menunjukkan petanda positif apabila
pelaksanaan kamera di badan dapat mengurangkan hampir 50 peratus
penggunaan ‘unsur keganasan’ seperti belantan, pistol elektrik Taser dan
pistol.
Soal harga kamera itu perlu diambil kira, namun kos
penstoran data perlu diteliti kerana ia adalah kos terbesar yang perlu
ditanggung kerajaan.
Hakikatnya, bukan mudah untuk melaksanakan
penggunaan kamera di badan kerana ia bukan sahaja membabitkan kos
tinggi, malah isu perundangan, apatah lagi jika peruntukan perundangan
atau mekanisme penyelesaian pertelingkahan dalam negara masih lemah dan
kabur. Apapun, bak kata pepatah Inggeris, first thing first dan
pelaksanaan penggunaan kamera di badan belum mendesak, apatah lagi
integriti pasukan penguat kuasa, khususnya PDRM masih dihormati dunia.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan