Budaya politik Cina yang tiada pada Melayu

Oleh Arif Atan

Orang Melayu kena belajar cara budaya politik Cina. Mereka pragmatik gunakan kuasa undi untuk tambahkan suara Cina dalam Dewan Rakyat. Hari ini mereka boleh pakat angkat parti X, esok mereka boleh tendang parti X kalau dianggap tidak memberi manfaat kepada kaum mereka. 

Sifir politik Cina jelas. Kesedaran kaum mereka tinggi. Saya ingat lagi dalam Pilihan Raya Kampus di Universiti Malaya tahun 2005 atau 2006, jumlah undi seorang calon Cina dari blok mahasiswa pembangkang paling tinggi.

Pagi hari membuang undi lagi, pelajar Cina lelaki perempuan dengan buku dan botol air besar di tangan riuh bertegur sapa awal-awal beratur panjang. Semangat kaum Cina untuk memilih pemimpin lain macam. Hasilnya, fakulti yang sinonim dengan ramai pelajar Cina memilih calon kaum mereka ketika pola undi Melayu tidak mengenal kaum ditambah ramai pula tidak keluar mengundi.
Tapi disebabkan campur tangan pengurusan universiti, calon Melayu yang kedua tinggi dari blok pro kerajaan diangkat sebagai presiden mahasiswa.

Daftar pemilih baru SPR pun menyaksikan generasi muda Cina lebih banyak mendaftar sebagai pengundi ketika golongan Melayu sembang hingga 'beliau' pun boleh terbang konon sudah bosan dengan politik. Orang Cina tidak pernah bosan untuk menjadikan ruang pilihan raya untuk menambahkan suara kaum mereka sama ada di universiti awam hingga ke ceruk penghujung selatan Benua Asia.

Berbalik pada Tanjung Piai, kalau PH dapat pujuk Bersatu supaya beralah, letak saja calon Cina DAP di Tanjung Piai dengan menyedari realiti selepas PRU-14 adalah berbeza, keputusan PRK Tanjung Piai tentu tidak seperti kelmarin. PH mungkin menang atau kalah tetapi dengan majoriti undi tidaklah sampai lebih 15,000 undi.

Ya. Cina MCA lawan Cina DAP di kawasan Parlimen yang 42 peratus pengundi Cina. Baru padang sama rata.

Sebab budaya politik Cina mahu tambah suara kaum mereka dalam Parlimen. Pedulilah, Wee itu sepanjang jadi wakil rakyat dua penggal sebelum PRU14 dulu bersuara dalam Parlimen pun boleh dibilang dengan jari.

DAP sendiri tidak dapat menongkah arus kesedaran itu dalam cuba membawa naratif budaya politik 'cara tengah' seperti ditekankan Pengerusi DAP Johor, Senator Liew Chin Tong yang juga Timbalan Menteri Pertahanan dalam ceramah di Pusat Perdagangan Pontian pada malam PRK lepas.

Malah, desas-desus menyebut jentera pilihan raya DAP tidak bersungguh pulun pun untuk memenangkan Imam Haji Karmaine sepanjang tempoh kempen khususnya di DUN Pekan Nanas Yang ramai pengundi Cina.

Mungkinkah keadaan itu juga didorong atas kesedaran kaum mengatasi sentimen politik kepartian yang tiada dalam kalangan kebanyakan ahli politik Melayu yang selalu mencanang "jangan rasis"?

PRU-14, pengundi Cina di Tanjung Piai boleh tolak MCA dan berikan kemenangan kepada PH walaupun diwakili Melayu dari parti Bersatu selain aura Tun Dr Mahathir itu sendiri.

Itu pun, majoriti undi setipis kulit bawang ketika segmen 57 peratus pengundi Melayu di Tanjung Piai setia pangkah BN sama ada sebelum PRU-14 dan ketika PRK kelmarin.

Walaupun ditawarkan pilihan seorang Imam dari parti Pakatan Harapan yang menguasai kerajaan negeri dan pusat, tetapi majoriti pengundi Melayu di Tanjung Piai tetap pangkah BN ditambah pula berderet kes menteri dan wakil rakyat Cina dan India DAP yang bermulut celupar.

Lagilah menguatkan naratif Melayu dan Islam terancam ketika jeti-jeti nelayan di perkampungan Melayu di Tanjung Piai begitu uzur lagi usang jauh beza dengan kawasan nelayan Cina di Kukup Laut siap lorong berkonkrit dengan berceracak tiang ke dasar laut selang 2,3 langkah - tanda Wee jadi wakil rakyat dulu walaupun dia tak bising di Parlimen tapi diam-diam buat kerja tumpu projek pembangunan prasarana di kawasan kaum Cina.

PRK kelmarin, pengundi buatkan PH tersungkur di penghujung selatan Benua Asia itu dengan majoriti undi lebih 15,000 - angka yang tak terjangka ramai penganalis politik pun.

Ditambah dengan isu kaum dan agama yang rugilah kalau MCA-BN lepaskan seperti isu tulisan jawi dan ucaptama Tun M dalam Kongres Maruah Melayu, majoriti pengundi Cina di Tanjung Piai, kelmarin sepakat pangkah dacing.

Isu kesedaran kaum juga berbalut sama hadir ibarat pakej dengan keadaan ekonomi semasa. Sebelum dan selepas PRK, saya sendiri sembang-sembang dengan pengundi akhirnya, mereka bercakap soal duit dan perut, tentang apa nak makan.

PH ceramahlah Najib kleptokrat dan sindir rambut Rosmah 24 jam pun, modal itu sudah tidak relevan selepas PH setahun setengah jadi kerajaan termasuk bagi masyarakat di kawasan luar bandar seperti di Tanjung Piai.

Kaum nelayan dan petani sudah beri peluang pun pada PH ke Putrajaya. Mereka mahu lihat apa perubahan kerajaan buat.

Selepas setahun setengah, mereka "tak nampak apa" (ayat pengundi selalu sebut dalam tinjauan lapangan) sekali gus isyarat bahawa aspek penerangan kerajaan lemah, tidak menyeluruh dan tidak membumi ketika banyak langkah dan inisiatif telah, sedang dan akan dilakukan kerajaan PH untuk rakyat.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan