Majlis Aqiqah di Putrajaya gimik orang terdesak

Oleh Mohd Sayuti Omar

MALAM tadi sekumpulan 22 ahli parlimen Umno telah bertandang ke rumah Azmin Ali di Putrajaya. Antara nama disebut Sembrong (Hishammuddin Hussein), Tanjung Karang (Noh Omar), Arau (Shahidan Kassim), dan lain-lain.

Turut sama bertandang lima orang ahli parlimen Keadilan. Daripada lima ahli MP Keadilan yang dikenal pasti ialah Kamaruddin Jaafar, (Bandar Tun Razak), Abdul Rashid Ahmad (Batu Pahat).

Walaupun pertemuan itu diadakan di kediaman Azmin tetapi ia katanya diorkastrakan bersama dengan Hishammuddin Hussein (Sembrong). Bagaimana pun Hishammuddin pagi ini telah menafikan yang beliau bertanggungjawab membawa 22 ahli parlimen Umno itu dengan menegaskan dia sedia disiasat. Oh.


Pertemuan itu menjadi viral sejak tengah malam tadi lagi. Pertemuan itu cepat menular dan diberi berbagai respon baik di lobi parlimen maupun di kedai-kedai kopi di seluruh pelusuk negara. Seorang rakan dari Kelantan menelefon saya memberi tahu kejadian itu. Demikian rancak dan glamurnya dunia politik kita.

Ia bagaikan satu kejadian menggemparkan pula. Sejajar itu berbagai spekulasi dibuat ekoran pertemuan itu mengikut naluri dan fahaman masing-masing. Saya tidak mahu membuat terjemahan dengan apa yang berlaku, tetapi hanya ingin menarik (flash back) apa yang disebut-sebutkan sebelum ini.

Kaitan dengan Tanjung Piai.
Ada mengaitkan pertemuan itu ekoran kekalahan calon Bersatu (PH) Karmanine Sardini di Tanjung Piai 16 November lalu. Kononnya kekalahan itu dijadikan alasan untuk desak Dr Mahathir berundur. Tekanan terhadap Dr Mahathir itu menyebabkan pertemuan itu diadakan konon bagi  mempertahankan Dr Mahathir?

22 MP itu dikira sebagai pendekar dan pencacai di barisan hadapan yang diheret untuk mempertahankan Dr Mahathir?

Andaian dan agakan itu boleh jadi iya boleh jadi tidak. Memang ada individu bimbang dan cemas dengan kedudukan Dr Mahathir yang terkesan dengan keputusan Pirake di Tanjung Piai itu. Mereka yang bergantung nyawa dengan Mahathir tentu resah dan tidak lalu makan dan tidak lena tidur kalau berlaku sesuatu kepada Mahathir.

Mahathir pula dalam memberi reaksi kepada kekalahan memalukan di Tanjung Piai itu mahu postmortem dibuat dengan menyeluruh dan jujur. Apa ditakuti dan ini cuba dibendung, takut ada sesuatu yang mengejutkan berlaku pada mesyuarat Majlis Presiden PH yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Sekiranya postmortem itu dibuat secara jujur dan Dr Mahathir sedia menerimanya, sudah tentu beliau perlu berundur sebagai PM sebelum tiba masanya. Tindakan Mahathir itu dikira satu tidak tepat dan mengambil kira semua situasi. Tindakan itu juga sebagai langkah menyelamatkan kerajaan. Belum ada analisa terperinci dengan kekalahan di Tanjung Piai itu, apakah punca besar kekalahan itu. Namun umum meletakkan tanggungjawabnya kepada Dr Mahathir sebagai pengerusi PH dan perdana menteri.

Rancangan sia-sia.
Berbalik kepada pertemuan di Putrajaya itu, sekiranya ia berselindung di sebalik untuk mempertahankan Dr Mahathir ia pertemuan itu tidak memberi apa-apa impak. Pertemuan itu  tindakan dikira cerdik bagi penganjurnya, tetapi tidak kepada Mahathir. Saya yakin Dr Mahathir tidak menyuruh berbuat demikian atau pun mengambil apa-apa benefit daripadanya.

Sebagai seorang yang berfikiran praktikal dan berpolitik secara rasional, Dr Mahathir tidak mudah menerima politik menjunjung, bodek dan ampu. Dr Mahathir tidak mudah terpancing dengan cara itu kerana begitu stailnya. Seorang doktor tidak akan mudah akur dan mempercayai jampi serampah para bomoh, dan ia selalu bertindak secara praktikal menurut lunas-lunas ilmu saintifiknya.

Bagi yang kenal politik Dr Mahathir, kekalahan memalukan PH di Tanjung Piai itu tidak memberi apa-apa erti dan makna pun kepadanya. Dr Mahathir secara peribadi tidak mengalami apa-apa kerugian dengan kekalahan itu. Nothing lost, jadi untuk apa dia memberi reaksi berlebihan. Dengan kehilangan satu kerusi Tanjung Piai ia tidak menjejaskan kedudukannya yang masih disokong. Edah untuk beliau memegang jawatan itu juga masih ada enam bulan lagi.

Sekiranya ada sesiapa hendak jadikan kekalahan itu bagi modal untuk mendesaknya turun, ia hanya sia-sia sahaja. Kerja itu persis menanam angin yang akan menuai badai sahaja. Dr Mahathir tidak pernah mengaku kalah dengan asakan dan desakan. Bahkan beliau sendiri berkata, desakan boleh menjadikan dia agresif. Mungkin juga dengan kekalahan di Tanjung Piai itu beliau jadi bertambah sihat tanpa melakukan pemeriksaan susulan terhadap sakitnya.

Sejarah memberi tahu kita bila masa kita dengar Dr Mahathir akur kepada tuntutan? Sepanjang 22 tahun beliau jadi Perdana Menteri, fasal pertama, sekalipun beliau tidak memandang, mengambil kira dan mendengar tuntutan-tuntutan dibuat ke atasnya.

Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah adalah orang yang secara baik kemudian berpakat menentang Dr Mahathir agar beliau berundur apabila kerajaan dipimpinnya bermasalah dan Dr Mahathir dikira memberi damage buruk kepada kerajaan. Ada Dr Mahathir dengar dan diendahkan? Tidak, sebaliknya ia berakhir dengan dua-dua orang itu terpelanting dan "terguai-gai" di awanan setelah menentangnya.

Begitu juga dengan Anwar Ibrahim, tuntutan dan desakan dari dalam terhadap Mahathir tidak menjadi. Dr Mahathir baharu turun apabila beliau sendiri menghendaki demikian setelah meletusnya asakan dari rakyat, Reformasi. Apabila beliau sudah mengambil keputusan, sukar untuk mencegahnya.

Justeru itu, pertemuan di rumah Azmin malam tadi bukan tujuan untuk mempertahankan Dr Mahathir yang tidak perlu pun dipertahankan kerana Dr Mahathir ada kekuatan dan kedegilan tersendiri. Saya tidak tengok dari sudut itu. Dan kalau itulah maksudnya ia tidak mencapai maksudnya. Dr Mahathir sendiri tidak seronok dengan apa yang berlaku.

Kenali Azmin.
Dengan mengenal cara dan seni Azmin berpolitik, pertemuan malam tadi adalah gimik semata-mata. Ia untuk menimbulkan kegemparan yang kosong. Itulah yang Azmin mahu dengan pertemuan di rumahnya itu. Ia mahu umum melihat beliau ada kekuatan dan sokongan.

Sebagai orang terdesak, Azmin melakukan dan boleh melakukan apa-apa sahaja. Azmin kini diasak dengan pelbagai masalah yang belum selesai. Isu video lucah Haziq sangat-sangat menghantuinya. Sokongan terhadapnya dari dalam parti semakin mengurang. Seorang demi seorang rakan dan kawan bersamanya, telah mufaraqah dan sedar serta cemuh dengan political animal nya. Sokongan padu ditunjukkan oleh Keadilan di seluruh negara kepada Anwar sebagai presiden, meresahkannya. meresahkannya.

Cuma dalam hal itu beliau bernasib baik kerana mempunyai rakan dan jiran yang baik seperti Hishammuddin yang juga terdesak. Hisham kini sedang menghadapi zaman malap dalam Umno kerana sikap yang diambilnya tidak mahu sama-sama membangun parti selepas kehilangan kerajaan. Tindakannya tidak mahu mempertahankan jawatan dalam perhimpunan agung Umno dilihat sikap bertanggungjawab bekas Naib Presiden itu.

Menyimpulkan pertemuan sekumpulan wakil rakyat di kediaman Azmin malam tadi, adalah sebagai pernyataan apa disebut sebelum ini, kononnya ada 29 orang wakil rakyat Umno akan bergabung dengan Dr Mahathir. Mereka akan meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu. Penghijrahan itu diketuai Ahli Parlimen Samborang (Hishammuddin), yang telah pun mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Dr Mahathir.

Bagaimana pun usaha Hisham itu yang digelar pula sebagai cuba membentuk kerajaan pintu belakang gagal apabila timbul beberapa kejadian mengejutkan. Ini termasuklah terbongkarnya video lucah Haziq yang wataknya mirip Azmin. Pembongkaran video lucah itu benar-benar mengejutkan Azmin dan juga Hishammuddin. Dan paling mengejutkan sampai tidak terkata ialah Dr Mahathir Mohamad.

Apapun usaha dan rancangan kolaborasi Hishm dengan Azmin tidak terhenti disitu sahaja. Keraguan kepada keduanya timbul dalam parti masing-masing. Mereka yang setia kepada parti, baik Keadilan maupun Umno marah dan menyifatkan perbuatan Azmin dan Hisham itu sebagai pengkhianat dan belok.

Ada yang bimbang dan cemas dengan rancangan untuk bentuk kerajaan dari pintu belakang oleh Azmin dan Hishammuddin itu. Saya awal-awal sudah membaca akan kewujudan neratif baru politik negara ini membabitkan kolaborasi Azmin dan Hishammuddin. Citra ini ada satu nukilkan dalam buku baru saya; PENJARA BUKAN PUSARA.

Sebenarnya mereka yang tahu membilang angka tidak perlu cemas. Usaha mereka berdua itu walaupun mendapat restu Dr Mahathir sekali pun ia tetap tidak akan berjaya.

Ini bukan ombongan atau kenyataan untuk menyedapkan hati. Dengan mengambil kira kesemua 22 orang ahli parlimen itu benar-benar ikhlas bersama Azmin dan Hishammuddin, apabila dicampur dengan kerusi milik Bersatu kini (26) dan dicampur dengan kerusi milik Pam 18, dan dicampur dengan empat orang ahli Parlimen Keadilan yang bersimpati dengan Azmin, jumlah kerusi baru

 Ia boleh dihitung mengenai jumlah angka untuk membentuk kerajaan bahu itu. Yang jelasnya tidak semua ahli Parlimen Umno bersama Hishammuddin. Dan tidak semua ahli parlimen Keadilan bersama Azmin.

Dengan mengambil kira semua yang hadir di pertemuan malam tadi sedia bersama, jumlah MP hanya baharu 27 orang. Angka ini kalau dicampur dengan jumlah kerusi miliki Bersatu kini sebanyak 29 ia baharu jadi 56 orang. Katakan Pam sedia untuk mendukung kerajaan baru itu, dengan mengira 18 orang wakil Pam baru berjumlah 74 kerusi. Katakan Warisan juga bersedia baharu ada 83 kerusi. Apakah dengan jumlah itu mampu untuk mendukung Dr Mahathir kekal sebagai PM kemudian melantik Azmin sebagai Timbalan Perdana Menteri?

Kita telah tegas berkali-kali, apa-apa motion, atau perubahan dalam parlimen tidak mudah berlaku sekiranya ia tidak membabitkan ahli parlimen DAP dan Amanah. Baik kumpulan mendukung Dr Mahathir, atau pun kumplan menyokong Zahid Hamidi maupun kumpulan menyokong Anwar, mereka tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya wakil DAP dan Amanah tidak bersama mereka.

Dalam kata lain yang menjadi kunci rahsia dan kunci hikmat sama ada untuk mempertahankan kerajaan yang ada hari ini atau untuk membentuk kerajaan baru secara dari pintu belakang ia memerlukan sokongan daripada 53 anggota parlimen daripada DAP dan Amanah.

Ertinya mana-mana pihak pun yang cuba membaiki kerajaan yang ada kini memerlukan sokongan DAP dan Amanah. Dan realiti hari ini kesemua ahli parlimen DAP dan Amanah masih jujur kepada janji asal dan mereka setia kepada akad yang dibuat sebelum ini. DAP dan Amanah adalah the king maker.

Makanya, pertemuan di Putrajaya malam tadi hanya sebagai pertemuan majlis Aqiqah cucu Azmin ke empat sahaja tanpa ada apa-apa kesan politik menggemparkan. Kegemparan dan rasa takut hanya kepada mereka sedia kala takutkan hantu, dimana bila terjeropak dengan tunggul kayu pun mereka sangkakan hantu.

Kepada Azmin diharap akan mengadakan kenduri lebih besar lagi selepas ini.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan