PRK Kimanis: PH kalah kerana Media Sosial?

Oleh ISMAIL HASHIM YAHYA

Seperti Pilihan Raya Kecil (PRK) Tangjung Piai dengan isu tularan video sembang santai Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang didakwa berkata dia seorang terkontang-kanting melawan “puak-puak DAP” dalam usaha melindungi kepentingan Melayu, maka PRK P176 Kimanis, Sabah tidak terlepas daripada tularan video dan isu tempatan di media sosial.

Mungkin terdapat kalangan mereka yang tidak bersetuju dengan tajuk artikel di atas kerana ia bukanlah rumusan atau punca besar kepada kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Kimanis yang kesudahannya ketiadaan memori  manis yang bagaikan memori masam yang pahit ditelan.

Ternyata dalam PRK Kimanis seperti di Tangjung Piai yang menjadi antara penyebab kekalahan PH adalah jentera dan komunikasi kerajaan yang tidak berkesan dalam menangani isu semasa.  Sekali lagi PH seolah-olah tiada jawapan dalam menangani tularan mesej dan visual di media sosial.

Ia ternyata menjadi duri dalam daging kepada PH dan BN ternyata telah menggunakan kesempatan ini untuk mempengaruhi pengundi terutamanya  pengundi atas pagar sama ada untuk tidak mengundi atau beralih kepada mereka.

Isu hangat yang tular di media sosial dalam PRK Kimanis ini ialah kekeliruan antara kad pengenalan pemastautin sementara (MYKAS) yang didakwa sebagai PAS Sementara Sabah (PSS).Ini sehingga membuatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terpaksa membuat penjelasan di Twitter.

Bahkan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.juga turun padang membuat sidang media memberi penjelasan berhubungan dengan Pemegang PSS yang masih dikategorikan sebagai warga asing tanpa dokumen perjalanan dan tidak layak memohon permit masuk, taraf pemastautin tetap dan kewarganegaraan,

Beliau berkata pengeluaran PSS bagi menyelesaikan isu kepelbagaian dokumen kepada warga asing yang ada di Sabah, sekali gus memudahkan operasi penguatkuasaan.

Apa yang menjadi perdebatan hangat antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Karim Bujang dan calon Umno (BN) Mohamad Alamin, adalah pelaksanaan PSS yang dijangka berkuat kuasa pada Jun 1 dan ia sangat hangat dibicarkan di media sosial.

Tetapi malangnya pengundi Kimanis tidak berminat dengan penjelasan mengenai program PSS dan  sudah membuat keputusan  dan difahami di media sosial bahawa konsep PSS ialah hak mereka akan sama dengan keistimewaan yang akan diterima oleh pelarian.

Ini ditambah lagi pelbagai manipulasi, fitnah, angkara dusta, fakta mengelirukan yang dimainkan oleh netizen pembangkang di Sabah.

Oleh kerana telah dikaburi oleh elemen-elemen di atas, netizen yang merupakan pengundi di Kimanis sudah tidak mendengar dan tidak berminat dengan sebarang penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri dan JPN Sabah mengenai proses pemberian PSS kerana  ia sudah tidak penting bagi mereka lagi dan akhirnya kesimpulan netizen seperti yang dijelaskan di atas ialah status mereka akan sama dengan orang asing.

Ini kerana isu PSS yang kerajaan PH hendak dijadikan sebagai dasar  bagi membantu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah menjadi isu sensitif bukan saja di PRK Kimanis ini juga bagi rakyat Sabah.

Rakyat Sabah tidak ingin sepenuhnya perlaksanaan PSS pada Jun 2020 ini kerana bimbang ia akan menyebabkan kebanjiran warga asing terutamanya dari Filipina ke Sabah

Di samping itu, rakyat Sabah juga bimbang, warga asing akan menjadikan PSS sebagai dokumen sokongan untuk mendapatkan taraf Permastautin Tetap (PR) atau pun warganegara Malaysia. Ini telah menjadi isu tularan di media sosial.

Dalam hubungan ini, Warisan  agak lemah dan masih tidak berupaya memberikan penjelasan mengenai isu ini, lantas menyebabkan BN berjaya menang selesa pada PRK Parlimen Kimanis.

Warisan dan PH ternyata lemah di media sosial dan mereka dilihat tidak berjaya menangkis segala kekeliruan dan tohmahan yang dibuat pembangkang.

Satu lagi insiden ialah Karim dimarahi seorang penduduk tempatan sehingga rakaman videonya menjadi tular di laman sosial. Video berdurasi 28 saat itu, difahamkan diambil oleh orang awam, dengan jelas menunjukkan Karim sedang berbual dengan lelaki berkenaan sebelum beliau tiba-tiba diherdik.

Rakaman video menunjukkan beliau dimarahi oleh penyokong Warisan sebenarnya telah diputarbelitkan pengamal media sosial sedangkan beliau sedang berkempen dan melawat salah seorang kenalannya yang sedang sakit di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Membakut.

“Dengan niat untuk ziarah, kami berjalan menuju ke rumah beliau. Sebelum kami sampai, anaknya yang bernama Pinsul meluru, dengan suara yang agak tinggi, dan saya agak terkejut dengan reaksi sebegitu.

“Dia memarahi saya dengan perkara yang saya tidak tahu. Rupa-rupanya, dalam kumpulan kami itu, ada dua orang individu yang menurut Pinsul, menyuruh dia bekerja tetapi tidak memberinya gaji,” katanya.

Terdahulu, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut mengalami senario sama apabila gambar beliau sedang memberi sedekah kepada penduduk di Sandakan disensasikan segelintir pihak sehingga mengandaikan kejadian itu berlaku ketika kempen PRK Kimanis.

Bagaimanapun, Mohd Shafie menafikan perkara itu dan menempelak tindakan yang dipercayai dilakukan pihak lawan untuk menimbulkan provokasi.

Dalam PRK Kimani ini, Karim sendiri mengakui mempunyai masalah dengan media sosial yang sering mensensasikan isu tidak relevan khususnya melibatkan dirinya sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Sementara itu, Karim turut menyentuh sikap tidak profesional dalam kalangan pengamal media dan media sosial yang sengaja menghebahkan khabar angin tanpa berlandaskan fakta.

Walaupun belum dilakukan post-mortem terhadap sebab dan punca kekalahan di Kimanis, isu komunikasi tetap merupakan duri dalam daging dan boleh menjadi isu penghambat kepada PH dalam PRK dan juga pilihan raya akan datang.

Bahkan Naib Presiden PH dan Menteri Pertanian,  Datuk Seri Salahuddin Ayub pernah berkata isu komunikasi dikesan sebagai penyumbang terbesar yang menjadi punca kekalahan PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Beliau berkata, kegagalan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan media sosial menyebabkan rakyat termasuk pengundi di Tanjung Piai tidak dapat melihat kejayaan PH mentadbir kerajaan dalam tempoh setahun enam bulan. Dan perkara ini berulang lagi di Kimanis.

“Kekuatan media sosial kita juga perlu ditingkatkan kerana orang kampung misalnya makcik-makcik yang kita anggap tidak boleh guna telefon pintar, kini sudah mahir,” katanya.

Menurutnya, PH tidak dapat menyampaikan apa jua komunikasi kepada peringkat paling bawah menjadi antara kelemahan sangat ketara.

“Ini trend pemodenan teknologi,” katanya lagi.

Apabila diminta mengulas keperluan jentera parti menerangkan dasar-dasar kerajaan susulan kekalahan PH dalam beberapa lagi PRK lain sebelum ini, Dr Mahathir mengakui ada ketika parti gagal berhubung dengan rakyat untuk menerangkan perkara itu selain menceritakan pencapaian kerajaan.

“Ya, kita dapati kadang-kadang kita tak pandai nak berhubung dengan rakyat. Nak menceritakan tentang apa yang telah kita lakukan, kejayaan yang telah kita capai, ” katanya.

Perkara yang sama juga turut disebutkan oleh Presiden PKR dan ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa langkah berkesan perlu dilakukan PH bagi memenangi hati rakyat.

Bagi penulis faktor kekalahan tersebut perlu diteliti dan dibincangkan dalam Majlis Presiden supaya ‘ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan’ yang disifatkan sementara itu, dapat dirungkai, Isu media sosial haruslah ditangani dengan segera supaya ia tidak menjadi barah. Apakah PH perlu menubuhkan pasukan cybertrooper atau pasukan gempur siber yang bertujuan menjelaskan dan menjawab segala tohmahan, fitnah dan manipulasi isu yang dimainkan pembangkang.

*Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel) dan juga Felo Institut MASA.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan