Oleh LIM HONG SIANG
Dari
satu segi, pengalaman pengajian saya di universiti boleh disimpulkan
sebegini – Kuliah disampaikan pensyarah dalam bahasa Melayu, bahan
rujukan dalam perpustakaan adalah dalam bahasa Inggeris, dan saya
berfikir dengan bahasa Cina. Tidak kurang dalam kalangan lepasan SJKC
berkongsi pengalaman yang agak sama dengan saya, dan kami boleh mendabik
dada untuk berkata, kami tidak bermasalah untuk menguasai beberapa
bahasa pada masa yang sama.
Namun demikian, saya tidak akan sesekali menjadikan pengalaman kami
sebagai rujukan untuk menuntut penggubalan dasar yang spontan. Isu ini
agak rumit, dan masyarakat kita sebenarnya jauh lebih kompleks dari apa
yang mampu kita bayangkan. Anggota dalam masyarakat kita berasal dari
latar belakang yang jauh bezanya, memiliki syarat dan kekangan
masing-masing.
Misalnya, seandainya murid Melayu diperlengkapkan dengan prasyarat
seperti ibu bapa yang tidak kaku lidahnya ketika bertutur dalam bahasa
Inggeris di rumah, pusat tuisyen dan buku rujukan yang berkualiti untuk
mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris, kumpulan rakan yang tidak
kekok atau sindir-menyindir ketika berkomunikasi dalam bahasa Inggeris,
atau mereka biasa terdedah kepada produk budaya bahasa Inggeris seperti
sastera, muzik, filem dan sebagainya – sudah tentu mereka tidak berdepan
dengan masalah besar jikalau dasar pengajaran dan pembelajaran Sains
dan Matematik dilaksanakan.
Tetapi, seandainya guru mata pelajaran Sains dan Matematik mereka pun
belum bersedia untuk mengajar dalam bahasa Inggeris, apakah yang kita
boleh harapkan daripada anak murid ini?
Lebih-lebih lagi, penggubalan dasar perlu mengambil kira keperluan
golongan yang ketinggalan dan terpinggir dari segi ekonomi dan sosial
dalam masyarakat. Anak-anak dari keluarga yang berada di bandar,
memiliki seribu satu cara dan peluang untuk mempersiap-sediakan dirinya,
tetapi bagaimana pula dengan mereka yang hidupnya serba-kurang? Boleh
jadi mereka terus ketinggalan, menjurus kepada amalan ponteng sekolah,
dan lama-kelamaan, berakhir dengan tercicir begitu sahaja.
Jadi, pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa ibunda bukan sekadar
memberi makna dari segi keberkesanannya, tetapi memberi makna tersirat
bahawa pendidikan juga bertujuan untuk merangkumkan seramai anak murid
yang mungkin, agar mereka tidak ketinggalan dan keciciran sepanjang
proses ini.
Hakikatnya, faktor ini antara yang dipertimbangkan untuk mengekalkan
pendidikan bahasa ibunda. Lebih-lebih lagi, keberkesanan pendidikan
dalam bahasa ibunda telah dibuktikan melalui kajian Tabung Kanak-Kanak
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), yang menjalani eksperimennya
di Patani, Thailand.
Dalam satu projek bernama Patani Malay-Thai Multilingual Education
Programme (PMT-MLE) yang dimulakan pada tahun 2007, UNICEF mendapati
bahawa penguasaan bahasa Thai dan mata pelajaran lain oleh anak murid
Melayu Patani boleh dipertingkatkan dengan pengajaran dan pembelajaran
bahasa ibunda di peringkat awal. Kebolehan mendengar, bertutur, membaca
dan menulis dalam bahasa ibunda (Melayu) diasuh secara berperingkat, dan
kemudian dilanjutkan kepada kebolehan yang sama dalam bahasa Thai.
Dengan pelaksanaan program ini, bukan sahaja Melayu Patani
mengekalkan bahasa ibunda mereka, tetapi juga mempertingkatkan
penguasaan bahasa kebangsaan mereka, iaitu Thai. Ia lebih berkesan
berbanding dengan pendidikan yang dimulakan hanya dengan satu bahasa,
iaitu Thai.
Jikalau kes kajian ini dirujuk, barangkali kita akan menjadi lebih
bijaksana untuk menangani isu pendidikan negara kita. Antara matlamat
yang kita setujui, agar pelajar dapat menimba ilmu, dan menguasai bahasa
kebangsaan (untuk murid SJK) dan bahasa Inggeris (untuk murid sekolah
kebangsaan). Pertama, pelajar perlu dipertingkatkan daya pemahaman
mereka, yang mana lebih berkesan jikalau dijalankan dengan bahasa
ibunda. Kedua, setelah daya pemahaman mereka berjaya ditingkatkan,
barulah kita mempertingkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dan Inggeris
mereka.
Hakikatnya, kita berkongsi matlamat yang sama, cuma berbeza pandangan
dalam bab pelaksanaan kaedahnya. Menterbalikkan langkahnya, misalnya
pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di
peringkat awal, tatkala penguasaan bahasa Inggeris mereka masih lemah,
akan berakhir dengan kesudahan di mana penguasaan bahasa Inggeris mereka
tidak ke mana, malah prestasi sains dan matematik pula yang merudum.
Begitu juga untuk mereka yang mempertikaikan mengapa sukatan bahasa
Melayu berbeza di SJKC berbanding sekolah kebangsaan. Teorinya sama.
Sukatan bahasa Melayu di sekolah kebangsaan direka untuk murid yang
bahasa ibundanya Melayu, tetapi sukatan di SJKC direka untuk kebanyakan
mereka yang bahasa ibundanya Mandarin. Anak murid tidak wajar dibebankan
dengan sukatan Bahasa Melayu yang terlalu berat di peringkat awal,
sehingga menghakis keyakinan dan minat mereka dalam mata pelajaran
tersebut. Mereka perlu menguasai bahasa ibunda terlebih dahulu, untuk
membolehkan mereka menguasai bahasa kebangsaan dengan lebih baik
kemudian – sebagaimana Melayu Patani perlu menguasai bahasa Melayu
terlebih dahulu, untuk mereka menguasai bahasa Thai dengan lebih
berkesan kemudian.
Saya bersetuju bahawa setiap warga perlu menguasai bahasa
kebangsaannya, tetapi matlamat ini hanya akan dicapai seandainya kita
menggunakan kaedah yang betul. Jarang-jarang tuding-menuding dengan
emosi dan sentimen boleh menyelesaikan masalah. Jikalau kemarahan boleh
menyelesaikan masalah, untuk apa pendidikan disediakan?
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan