Sijil ISO Jab Perhutanan Kelantan luput pada 2016

Pada 11 Mac Menteri Alam Sekitar, Tuan Ibrahim Tuan Man, mempertahankan kegiatan pembalakan di Kelantan kerana ia dibuat dengan mendapat sijil ISO.

Bagaimanapun keadaan mungkin tidak semudah itu.

Semakan dibuat Malaysiakini menunjukkan Jabatan Perhutanan Kelantan sebenarnya memang menerima pentauliahan sijil MS ISO 9001:2008 pada 2012.

Ia diberikan kerana amalan pembalakan yang mampan.

Bagaimanapun sijil itu sudah luput pada 2016 dan setakat ini belum ada sebarang petunjuk yang menyatakan ia diperbaharui.

Pada tahun 2016, Sijil Pengurusan Hutan yang diberikan kepada Kelantan juga dibatalkan oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd.

"Penarikan balik sijil ini disebabkan kegagalan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan menyelesaikan masalah ketidakpatuhan utama yang ditimbulkan dalam audit pengawasan," kata kenyataan bertarikh 2016 yang disiarkan di laman web Majlis Persijilan Kayu Malaysia (MTCC).

Menurut MTCC lagi, dengan pembatalan sijil tersebut, Unit Pengurusan Hutan Kelantan tidak lagi memiliki sijil PEFC mengikut Skim Pensijilan Pembalakan Malaysia (MTCS).

Untuk rekod PEFC - atau Program Pengesahan Pensijilan Hutan - adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang mempromosikan pengurusan hutan secara mampan melalui pensijilan bebas pihak ketiga.

Semakan pada pangkalan data PEFC mendapati Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn Bhd - sebuah syarikat milik kerajaan negeri - juga tidak lagi memiliki sijil berkaitan.

Ketika ini negeri yang memiliki sijil FMU yang diperakui oleh MTCC ialah Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan