Oleh Adam Adli
Seminggu
yang lalu, saat keadaan masih kucar-kacir, saya dihubungi teman
jurnalis dari CNN Indonesia, Saudara Sandy. Tentulah untuk bertanyakan
duduk letak perkara yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur. Selesai
bertukar maklumat, beliau sambung dengan pertanyaan – anak muda
bagaimana? Apakah tiada respon atau gimik seperti dulu-dulu? Beliau
merujuk kepada yang pernah beliau saksikan dengan mata sendiri sekitar
awal dekad dahulu – pasca PRU13. Aksi jalan raya, protes serba protes
yang terus menerus mewarnai ibu kota – yang kesemua digerakkan oleh anak
muda tempatan.
Saya jawab jujur dengan beliau – bahawa dalam situasi hari ini, saya
sendiri mengambil ketetapan yang agak berbeza. Kalau menurut Amir Hadi,
teman dari Liga Rakyat Demokratik, sikap saya ini adalah faktor usia.
Katanya saya sudah tua – atau mungkin sendiri memilih untuk menjadi tua
sebelum umur. Wallahualam.
Saya terangkan kepada Sandy, tentulah ada yang menginginkan dan malah
sudah pun memulakan beberapa aksi atau gimik seperti masa lampau. Tidak
dinafikan, keadaan sebegini memang iklim yang lazimnya sesuai benar
untuk dipanggil aksi sedemikian, tetapi entah kenapa ada yang tak berapa
kena. Akhirnya memang, tiga kali protes dipanggil di Kuala Lumput, tiga
kali juga kelihatannya tidak begitu disambut oleh rata-rata orang.
Malah sampai menjadi bahan jenaka orang-orang tua di media sosial,
perkara yang amat mengecewakan.
Saya sambung bahawa mungkin dalam situasi hari ini, satu-satunya
perkara baik yang boleh dibuat oleh politikus adalah dengan tidak
mengheret rakyat untuk ikut bersama. Krisis ini dimulakan oleh mereka,
maka biarlah mereka yang selesaikan. Tidak adil rakyat biasa yang sudah
sedia hidup hanya cukup makan diajak untuk bergelumang sekali. Sandy
memahami apa yang saya jelaskan. Beliau respon kembali dengan mengatakan
mungkin yang seharusnya berlaku adalah anak muda turun ke jalan bersama
sepanduk berbunyi “biar kami saja, biar tidak gaduh!”. Ringkas saya
jawab setuju disusuli ketawa.
Setuju saya itu bermaksud, memang sudah masa anak muda sahajalah yang
mengambil alih keadaan. Bukan hanya dengan aksi tipikal seperti tunjuk
rasa, sebaliknya lebih dari itu.
Ketika politik negara diperkotak-katikkan politikus-politikus tua
melalui percaturan masing-masing yang kononnya penuh dengan silat dan
seni politik untuk kepentingan mereka, mengapa pula anak-anak muda
diharapkan untuk bertempur di bawah semata-mata bagi pihak mereka?
Perebutan kuasa antara politikus-politikus tua ini tidak langsung
membawa sebarang manfaat buat yang lebih muda. Sudah berdekad sebenarnya
wajah-wajah yang sama menjadi latar kepada politik negara. Lihat sahaja
bagaimana rata-rata anak muda memandang politik; jelik, memualkan,
kotor. Salah siapa kalau bukan orang yang mengisi ruang politik
tersebut.
Bukankah pelik dan aneh kalau di sekolah dan universiti, atau melalui
kitab-kitab ilmu politik yang ditelaah anak-anak muda ini, diceritakan
bahawa politik adalah disiplin yang menuntut pemahaman falsafah dan
ideologi yang tinggi. Tapi bila ditoleh kepada politik di depan mata,
yang tersaji adalah sebaliknya.
Politik kita diisi dengan kebodohan dan tindak-tanduk yang tak
langsung mencerminkan keberadaban. Politik kita tidak diwarnai dengan
wacana dan perdebatan, sebaliknya pengkhianatan dan perpecahan. Bukan
falsafah dan dasar yang diratib politikus kita, sebaliknya fitnah dan
pembohongan. Permusuhan dan persaingan sehingga membawa rebah jadi
manifestasi kepada kerakusan mereka. Inilah wajah politik orang-orang
tua kita. Inilah yang diperhatikan oleh anak-anak muda sehingga mereka
lari dari politik.
Sebab itu pilihan yang sepatutnya ada buat anak muda sekarang bukan
lagi soal menyokong atau menolak sesiapa, sebaliknya mencipta pilihan
sendiri – termasuklah mengambil alih kepimpinan politik dan negara
daripada terus dirosakkan orang-orang tua korup di atas sana. Di saat
orang tua merobohkan negara, anak muda harus ambil alih untuk membinanya
semula.
Ini sedang dilakukan di seluruh dunia hari ini, kenapa tidak kita di
sini? Kalau ada yang menganggap anak muda tidak cukup matang untuk
memimpin negara, anggap sahaja rabun mereka sudah terlalu kuat dimamah
usia. Belum cukup matang adalah lebih baik dari reput menunggu roboh,
atau busuk menunggu berulat.
0 comments:
Catat Ulasan