Saya bukan penganut Islam dan sekali-sekala turut mengambil minuman beralkohol atau dirujuk dalam bahasa Inggeris sebagai “social drinker”, tetapi saya melihat isu larangan untuk 2 kilang arak beroperasi sepanjang tempoh PKP tiada kena-mengena dengan bangsa atau agama.
Saya fikir sebahagian pandangan terhadap keputusan kerajaan menarik balik kelulusan untuk syarikat minuman keras beroperasi, khususnya dari rakan-rakan yang bukan beragama Islam adalah satu salah faham. Isu pokok adalah dasar, bukan bangsa atau agama.
Pada saya, keputusan kerajaan itu adalah berteraskan soal pematuhan kepada PKP yang jelas memperuntukkan hanya pengeluaran barang keperluan penting tidak terbabit dalam larangan berkenaan.
Dalam aspek pematuhan PKP, semua pihak harus memberi kerjasama dan kerajaan perlu membuat keputusan yang konsisten, menguat kuasakan peraturan dengan adil dan saksama.
Kita akui arahan dalam PKP sememangnya menjejaskan ramai orang dan banyak pihak, tetapi dalam masa-masa sukar seperti sekarang, semua pihak wajar memberikan kerjasama, bertolak ansur dan bersatu-padu dalam memerangi musuh yang tidak kelihatan.
Bukan sahaja kilang minuman keras, operasi kilang sarung tangan getah iaitu produk yang sangat diperlukan dan mendapat permintaan tinggi pada musim penularan wabak Covid-19, turut mendakwa terjejas kerana diarah mengecilkan operasi sepanjang PKP bagi mengekang penularan virus berkenaan.
Berdasarkan laporan berita sebelum ini, kilang pengeluaran pelbagai barangan lain berasaskan getah juga diarah menghentikan sementara operasi sepanjang PKP, termasuk juga pengeluaran kondom walaupun syarikat pengeluar menganggap ia juga antara barang keperluan yang penting.
Dalam krisis ketika ini, ayuh semua kita patuhi peraturan, ketepikan dahulu kepentingan sendiri, bersatu-padu memburu kemenangan dan peperangan ini.
0 comments:
Catat Ulasan