Sidang parlimen 18 Mei hari mendung demokrasi

Oleh Maszlee Malik

 Semalam, 18 Mei 2020, telah berlangsungnya Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 selama satu hari.

Di hari yang penting ini, saya ingin memahat satu lagi babak sejarah agar tidak lupa oleh anak cucu kita tatkala mereka menyelak semula sejarah kesuaman demokrasi negara kita.

Jumaat lalu, setelah Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof

mengeluarkan kenyataan media bertarikh 13 Mei 2020 yang mengumumkan pindaan Urusan Majlis Mesyuarat, saya telah menghantar sepucuk surat rayuan agar usul daripada MP Langkawi yang diterima sebelum ini kekal diterima untuk dibawa ke dalam majlis mesyuarat pada hari ini.

Di dalam surat itu juga saya menyatakan pandangan bahawa terdapat kekhilafan yang jelas dan nyata apabila speaker Dewan Rakyat merujuk kepada Peraturan-peratuan Mesyuarat yang langsung tidak berkaitan dalam Kenyataan Media beliau pada 13 Mei 2020.

Speaker Dewan Rakyat memaklumkan bahawa pindaan Urusan Majlis Mesyuarat dibuat kerana menuruti makluman Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis berdasarkan Peraturan 11(2) dan Peraturan 15(2).
Saya merujuk kepada Peraturan-peraturan ini dan saya dapati, ianya tidak menyebut tentang hak meminda atau menetapkan Aturan Urusan Mesyuarat oleh Ketua Majlis iaitu Perdana Menteri.
Peraturan 11(2) menyebutkan begini:

“(2) Dengan tertakluk kepada syarat-syarat perenggan (1), Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan, sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap Penggal, tarikh-tarikh Majlis akan bermesyuarat dalam Penggal itu:

Tetapi disyaratkan iaitu ketua atau timbalan ketua majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa.”

Tidak disebutkan langsung perihal mengubah Aturan Urusan Mesyuarat, yang disebutkan hanyalah “boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa.”
Peraturan 15(2) pula menyebutkan:

“(2) Urusan Kerajaan hendaklah diaturkan mengikut sebagaimana yang baik pada timbangan Kerajaan dan diberitahu kepada Setiausaha.”

Jelas dituliskan yang boleh diatur mengikut timbangan Kerajaan hanyalah “Urusan Kerajaan”.
Usul yang dibawa oleh MP Langkawi tidak termasuk di dalam “Urusan Kerajaan”. Ianya adalah usul persendirian.

Jika speaker hadkan aturan urusan mesyuarat

Peraturan 14. (1) jelas menetapkan bahawa “urusan-urusan bagi tiap-tiap persidangan mesyuarat hendaklah mengikut aturan seperti di bawah ini kecuali jika Majlis Mesyuarat menetapkan aturan lain…”
Ini bermakna hanya Majlis Mesyuarat (Dewan Rakyat) sahaja yang berkuasa untuk menetapkan aturan selain daripada apa yang jelas termaktub dalam Peraturan 14 (1).

Andainya, pihak kerajaan sangat-sangat ingin Aturan Urusan Mesyuarat dipinda kedudukannya, Peraturan 14 (2) yang membenarkan satu usul daripada menteri untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, usul ini juga tidaklah sampai boleh menafikan agenda-agenda lain dilangsungkan selama mana waktu mesyuarat mengizinkan.

Saya juga menyatakan, sekiranya speaker menarik semula tindakan menghadkan urusan mesyuarat, ia akan dikenang dalam sejarah demokrasi negara sebagai tindakan yang telus dan menjunjung demokrasi berparlimen kita.
Sabtu lalu, saya telah menerima sepucuk surat balas daripada speaker Dewan Rakyat. Permohonan rayuan saya ditolak namun surat ini tidak menjawab perkara-perkara yang dibangkitkan tentang Peraturan-peraturan Mesyuarat.

Saya sedar, ini hanyalah usaha kecil saya sebagai anggota Dewan Rakyat, namun saya puas kerana sekurang-kurangnya, saya telah melakukan sesuatu yang termampu, mengikut lunas undang-undang sedia ada.

Semalam, persidangan telah pun berlangsung seperti yang telah ditetapkan, namun sejarah akan memahatkan 18 Mei sebagai tarikh mendung demokrasi negara kita.

Kepada mereka yang ingin merujuk Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, boleh klik pada pautan di sini.

Saya kepilkan di sini salinan surat saya kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk manfaat semua.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan