Penyokong Dr Mahathir lancar kempen Bersatu 'bergelap'

AHLI dan pemimpin Bersatu yang menyokong Dr Mahathir Mohamad mula menukar gambar profil di media sosial mereka dengan logo parti yang dihitamkan, tanda protes terhadap hala tuju parti di bawah presiden Muhyiddin Yassin.

Kempen itu dimulakan malam tadi, selepas logo asal berwarna merah yang dihitamkan mula disebarkan di media sosial.

Antara mereka yang menukar profil di media sosial dengan logo hitam itu ialah timbalan presiden parti Mukhriz Mahathir dan ketua bahagian Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah, yang mempertikaikan tindakan parti memberhentikan keahlian mereka.

Mereka adalah lima ahli Parlimen Bersatu, termasuk Dr Mahathir, yang diberhentikan keahlian atas dakwaan menyertai parti pembangkang dengan duduk di blok pembangkang semasa sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.

Dua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Ulya Aqamah Husamuddin dan Tariq Ismail juga berbuat sama malam tadi
.
Tariq dalam mesejnya di Facebook malam tadi menulis bahawa kempen itu dipersetujui oleh Dr Mahathir.

“Logo Bersatu blackout ini sebagai tanda protes daripada ahli-ahli yang kekal bersatu, berprinsip dan bermaruah sehingga parti dapat dipulihkan kembali ke landas asal perjuangannya,” katanya.

Sementara itu, Ulya yang dihubungi The Malaysian Insight menafikan tanggapan kempen itu tidak mendapat sambutan menyeluruh daripada ahli dan pemimpin Bersatu yang bersama Dr Mahathir.

“Sesetengah mereka tidak menukar gambar profil tetapi berkongsi logo itu di media sosial,” katanya.

“Kalau penyokong Umno pun mula beri komen mengenai kempen ini, maknanya mesej kempen ini sudah didengar,” tambahnya, mengulas reaksi terhadap kempen sejak malam tadi.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, seorang lagi ahli Parlimen yang dikenakan tindakan oleh parti dan sedang mempertikaikan tindakan terhadapnya, adalah antara mereka yang berkongsi logo hitam itu di media sosial.
Pada 9 Jun, Dr Mahathir dan lima pemimpin Bersatu yang bersamanya mengemukakan saman terhadap Muhyiddin dan tiga yang lain.

Mereka mempertahankan kedudukan mereka sebagai ahli dan penyandang jawatan dalam parti, susulan pergolakan dalaman parti sejak tiga bulan lalu.

Dalam saman yang turut dikemukan bagi pihak Bersatu, mereka meminta mahkamah mengisytiharkan Muhyiddin bukan lagi ahli Bersatu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual mendengar permohonan injuksi sementara oleh Dr Mahathir berkait dengan saman ini, esok.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan