Tidak Ada Alasan Untuk Kefanatikan Agama

Saya bertegas menentang retorik fanatik agama atau kaum yang terus memecahbelahkan perpaduan rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen Pasir Puteh YB Nik Muhammad Zawawi Salleh yang memberi komen terkait kitab Injil baru-baru ini adalah sikap yang kurang bijak, tidak peka dan mencerminkan pemahaman Islam yang rendah etika tatkala berbahas dengan penganut-penganut agama lain, dalam konteks ini ia merujuk pada agama Kristian.

Saat kita paculkan dialog antara umat Islam dan Kristian, ia sewajarnya dipaksikan pada semangat persaudaraan seperti yang ditegaskan Allah SWT yakni, "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu" (Surah Ali 'Imran :64) yang menyeru persaudaraan atas asas mentaati Tuhan yang satu.

Jika niat beliau adalah untuk mengajak orang ramai untuk memahami Islam, adalah mustahak untuk menggunakan "kebijaksanaan dan nasihat yang baik" (An-Nahl: 125) yang bermaksud saling menghormati antara satu dengan yang lain.

Jika perkataan kita itu menimbulkan perseteruan dan kesalahfahaman, maka jalan terbaik adalah menonjolkan kerendahan hati dengan mengakui kemungkinan terdapat kesalahan dalam pendekatan kita itu.

Kita mampu membawa dan mencipta kerukunan dengan memperteguh akhlak dan teladan Rasul yang menegaskan tentang aspek kasih sayang dan sikap belas kepada jiran-jiran kita tanpa mengira agama. Dan ini ditonjolkan sendiri oleh Nabi Muhammad SAW melalui kata-kata dan sikapnya.

Perdana Menteri dalam perutusan kemerdekaan menyatakan bahawa, "Bersatu padu dengan semangat waja, mari bersama kita pertahankan kemerdekaan negara" seharusnya mencerminkan komitmen beliau dalam memperkukuh perpaduan dan menolak faham kefanatikan.

Al Quran memerintahkan 'fa yusari'una fil khayrat' yang bermaksud berlumba-lumbalah dalam mengerjakan kebaikan. Saranan saya kepada rakan-rakan Muslim yang berkhidmat di sektor awam agar berlumba-lumbalah dalam membanteras kemiskinan dan membendung jurang pendapatan yang semakin melebar. Ini antara nilai kebaikan yang telah diamanahkan oleh pengundi kepada kita.

Rakyat Malaysia juga sedar bahawa dalam usaha kita dalam mendepani tantangan-tantangan seperti pengangguran, kemunduran ekonomi, tahap pendidikan yang semakin merudum, kebejatan dan kefanatikan agama bergantung pada sikap kita dalam memastikan prinsip keadilan, kesaksamaan dan sikap belas kepada semua dipraktikkan. Tidak harus ada yang terkecuali dari hukum, dan keadilan mesti ditegakkan.

Anwar Ibrahim
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan