Ketua Dapsy kebangsaan, Howard Lee Chuan How yakin, dengan sokongan padu daripada beliau serta DAPSY dan Akmal Nasir selaku Ketua AMK serta anggotanya, pastinya Pemuda Harapan di bawah pimpinan Saudara Shazni dan Pemuda AMANAH akan berjaya menjadi penggembleng kesemua pihak.
Kesemua mereka mahu kembalikan rakyat dan negara ke landasan yang progresif, aman, makmur ke arah kecemerlangan dengan menewaskan mereka yang memegang tampuk kuasa dan tidak mahu melayan pandangan sesetengah pihak yang mahukan PKR menjadi abang besar dalam PH.
“Saya berharap konsensus dan kesepakatan yang telah dicapai akan dihormati semua pihak, agar kita dapat saling berganding bahu untuk terus bergerak maju menuju persiapan PRU15.
“Kita harus dan akan sentiasa ingat, perjuangan ini adalah demi negara, untuk semua Rakyat Malaysia,” kata Howard dalam satu kenyataannya.
Dapsy percaya, kata Howard, bahawa kesepakatan dan kesedaran orang muda untuk membawa arus pemikiran politik yang lebih segar, menjauhi gaya politik tua yang lapuk adalah jalan yang tepat ke arah usaha meneraju perubahan generasi dalam lanskap politik Malaysia di persimpangan yang getir ini.
“Ini amat perlu demi mengembalikan maruah negara dan memulihkan ekonomi rakyat jelata,” katanya selepas Shazni dipilih sebagai Ketua Pemuda Pakatan Harapan yang baru.
Beliau berpesan kepada anggota Pemuda Harapan, “Di saat pihak lawan sedang bercakaran, kita sepatutnya berusaha untuk membentuk kesepakatan dan kesatuan, baik dari segi pemikiran dan cara kerja; agar musuh yang telah mengkhianati kita dapat ditumbangkan.”
Bagi beliau, jalan ke hadapan tidak boleh diracuni musuh dalam selimut yang akan mengkhianati dari dalam segala usaha kawan-kawan selama ini.
“Saya menyeru seluruh sayap pemuda parti-parti komponen Pakatan Harapan supaya mempersiapkan diri dan organisasi, menjauhi intrig politik yang melelahkan, dan bergerak maju ke hadapan bersama-sama dalam satu pasukan.
“Hati-hati dengan jolokan musuh; jangan mudah melenting, nanti terpelanting,” kata bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu.
Beliau juga berharap segala masalah yang timbul sebelum ini dapat dijadikan teladan agar mereka sentiasa berada di landasan yang sama.
“Biarlah apa yang teleh diselesaikan benar-benar selesai. Jika rumah sudah siap, pahat tak perlu berbunyi lagi.
“Kita tidak ada masa untuk melayan pengkhianatan demi pengkhianatan. Jangan kerana jawatan dan kuasa, kita jadi buta.
“Jawatan bukanlah untuk dibangga-banggakan, sebaliknya ia merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu digalas bersama,” katanya.
Sebelum ini, Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, beliau memilih untuk tidak memperpanjangkan proses pemilihan untuk kepentingan politik PH walaupun ada desakan daripada kepimpinan dan akar umbi AMK untuknya mengambil tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda PH.
Menurutnya, beliau pada masa ini memberi tumpuan untuk memperkukuh dan memperkuat AMK dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Saya percaya AMK yang kuat akan secara langsung dapat membantu Pakatan Harapan khususnya jentera Pemuda PH.
“Justeru, saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada saudara Shazni atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pemuda PH yang baharu,” ujarnya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Akmal menyeru untuk seluruh jentera Pemuda PH daripada semua sayap komponen parti untuk memperkukuh kesatuan memastikan Pemuda Harapan muncul sebagai koalisi gerakan pemuda yang kuat dan jitu.
0 comments:
Catat Ulasan