10 soalan untuk perdana menteri

 


Oleh Gobind Singh Deo

SAYA merujuk kepada aduan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara dalam beberapa minggu yang lalu berkaitan dua perkara iaitu kartel dan amalan rasuah dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seterusnya bahawa wujud masalah dalam Jabatan Integriti PDRM.

Saya berpendapat bahawa kedua-dua isu ini merupakan masalah serius yang mempunyai kesan negatif kepada PDRM.

Saya berpendapat kerajaan Perikatan Nasional telah gagal menangani masalah ini.

Walaupun perkara ini dalam pengetahuan umum dan dibincangkan secara umum melebihi sebulan, perdana menteri masih belum mengambil sebarang pendirian tegas dalam perkara ini.

Perdana menteri harus memainkan peranan dalam hal sebesar ini untuk meyakinkan rakyat bahawa tindakan akan diambil untuk bersihkan PDRM daripada masalah kartel dan rasuah dan juga untuk kukuhkan lagi Jabatan Integriti dengan segera.

Malangnya, perkara penting sebegini tidak dapat dibahas di Dewan Rakyat kerana negara kita sedang berada dalam darurat di mana parlimen tidak bersidang.

Jika tidak, sudah pasti saya dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang lain akan membangkitkannya di Dewan Rakyat. 

Oleh itu, saya ingin mengajukan 10 soalan kepada Perdana Menteri berkenaan perkara ini:

1. Adakah benar bahawa wujudnya kartel dan budaya rasuah dalam PDRM sepertimana didedahkan oleh KPN? 

2. Adakah ia melibatkan pegawai-pegawai kanan polis sepertimana didedahkan?

3. Sekiranya benar, bukankah rasuah itu perkara dalam bidang kuasa SPRM?

4. Kenapa tiada tindakan oleh SPRM dalam perkara ini?

5. Adakah benar bahawa Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard cuba lindungi salah laku polis sepertimana didakwa?

6. Sekiranya benar, apakah tindakan yang akan diambil dan bila untuk menangani perkara ini?

7. Ada permintaan untuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini dan memberi cadangan berkenaan tindakan yang perlu diambil. Apakah pendirian kerajaan berkenaan perkara ini?

8. Apakah status siasatan dalaman yang diumumkan setakat ini?

9. Adakah kerajaan bersetuju bahawa kes-kes rasuah boleh dan harus disiasat secara dalaman dan adakah ini polisi baru kerajaan PN?

10. Sekiranya tidak, adakah benar bahawa kes ini disiasat secara dalaman oleh PDRM sahaja dan sekiranya ya, kenapa ia berbeza dengan kes-kes lain?

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan