ARTIS Fahmi Reza tetap akan menentang dan tidak tunduk walaupun setelah direman sehari hari ini, berkata dia tidak akan berhenti membuat sindiran di media sosial.
Fahmi yang dibebaskan petang ini berkata dia bersedia dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghina institusi diraja selain tidak akan berhenti menghasilkan seni mengkritik penguasa.
“Sebagai artis grafik yang membuat banyak satira politik atas nama seni, saya tak akan berhenti membuat grafik yang mengkritik penguasa,” tegasnya kepada wartawan hari ini setelah dibebaskan dari balai polis Dang Wangi.
Fahmi dibebaskan sekitar pukul 5.58 petang hari ini.
Dia ditangkap malam tadi dirumahnya dan dibawa ke balai polis di Kuala Lumpur di mana polis diberi perintah reman sehari oleh majistret pagi ini.
Fahmi disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia berkaitan hantaran yang berkongsikan senarai Spotify miliknya yang diisi dengan lagu-lagu bertema cemburu merujuk pada komen “Dengki ke?” oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di akaun Instagramnya minggu lalu.
“Hantaran dan senarai lagu Spotify saya tidak akan dipadam dan saya bersedia menghadapi sebarang tuduhan yang akan dikenakan terhadap saya di mahkamah.
“Penguasa boleh cuba tangkap atau dakwa saya berkali-kali tapi saya tak akan menyerah atau padam sebarang hantaran saya,” tegas Fahmi setelah dibebaskan.
Gambar Raja Permaisuri diletak sebagai gambar utama dalam senarai lagu Spotify Fahmi dan dikongsikan oleh artis grafik itu dalam media sosialnya.
Tindakannya itu dipercayai merujuk kepada jawapan “Dengki ke” Raja Permaisuri dalam komen Instagram yang bertanya apakah cef di istana juga mendapat suntikan vaksin tanpa ikut giliran seperti keluarga diraja yang lain, berdasarkan laporan Asia Sentinel.
Susulan itu, pengguna media sosial mula menggunakan tanda pagar #dengkike yang kemudian trending di media sosial.
Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba menafikan rencana tersebut manakala pihak istana masih belum menjawab tuduhan itu.
Selepas dibebaskan, Fahmi juga berkata polis telah merampas komputer riba, pengecas, dua telefon, modem dan penghala (router) semasa ditangkap.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhil Shaari dari PAS membuat laporan polis terhadap Fahmi, dengan tuduhan dia telah menghina monarki.
0 comments:
Catat Ulasan