Muhyiddin tiada pilihan, nasihat Agong buka Parlimen atau letak jawatan, kata Pakatan


 

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin tiada pilihan selain menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin atau letak jawatan, kata Pakatan Harapan (PH) .

Melambat-lambatkan urusan itu, kata tiga presiden parti dalam PH, hanya menunjukkan bahawa Muhyiddin tidak lagi layak untuk menerajui kerajaan.

“Sekiranya perdana menteri terus berlengah atau memberi alasan untuk melewatkan sidang Parlimen, ia bukan sahaja bermaksud beliau telah mengetepikan pandangan Tuanku itu, malah ia memberi gambaran bahawa perdana menteri telah hilang keyakinan untuk terus mentadbir.

“Dan jika perdana menteri tetap bertegas enggan menasihati Tuanku segera, beliau harus mengambil tindakan terhormat dengan mengundurkan diri,” kata Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan.

Kenyataan dikeluarkan bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Mereka berkata “teramat jelas” bahawa Muhyiddin perlu menjunjung titah dan menasihati Al-Sultan Abdullah secepat mungkin.

Kelmarin, Muhyiddin berkata Parlimen boleh bersidang semula seawal-awalnya pada September atau Oktober ini, iaitu pada fasa ketiga pelan pemulihan negara keluar daripada pandemik Covid-19.

Fasa ketiga pelan pemulihan yang dijangka dapat dicapai pada hujung Ogos menetapkan kes jangkitan Covid-19 diturunkan sehingga bawah 2,000 sehari, sementara 40% penduduk sudah menerima dua dos suntikan vaksin dan sistem kesihatan awam berada di tahap selesa.

Selepas mengadakan perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu semalam, Yang di-Pertuan Agong bertitah Parlimen perlu bersidang segera untuk membahaskan ordinan darurat serta pelan pemulihan negara.

Al-Sultan Abdullah juga berpandangan ahli-ahli Parlimen boleh berbincang mengenai peruntukan kerajaan untuk meringan kesempitan rakyat serta memulihkan semula ekonomi negara.

Pendirian Yang di-Pertuan Agong disokong oleh Raja-Raja Pemerintah yang turut berpendapat dewan-dewan undangan negeri juga perlu bersidang segera.

Sidang Parlimen dan DUN digantung selepas darurat diisytiharkan berkuat kuasa bermula 11 Januari hingga 1 Ogos ini.

Dalam pada itu, Raja-Raja Pemerintah semalam juga sependapat tempoh darurat itu tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos ini
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan