Isu Azam Baki: Ismail Sabri perlu letak jawatan


Oleh Mohd Sayuti Omar

 ISU yang mengaitkan Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki yang mengaku telah memberi pinjaman akaun CDS kepada adiknya, Nasir Baki untuk memiliki jutaan saham awam benar-benar mengoyak integriti kerajaan Ismail Sabri Yaakob yang sudah pun dipersoalkan keberadaanya bila transisi kepimpinan negara kepadanya diragui dari segi angka.

Azam dikaitkan dengan pendedahan pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada 30 April 2015 bernilai sekitar RM772,000 pada masa itu.

Pegangan sahamnya dalam Gets Global Berhad susut kepada 1,029,500 pada 31 Mac 2016. Namun ia bernilai sekitar RM340,000 pada masa itu.

Pengerusi SPRM itu juga memegang 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

Meskipun ada usaha untuk menjernihkan keadaan dan membersihkan Azam daripada "skandal" itu, tetapi nampak ianya semakin serabut. Ia jadi macam pukat robek yang rusuk sudah terkena air penuh dengan sampah sarap dan carik barit. Berbelit-belit tenggelam punca. 

Mulanya Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) memberi penjelasan untuk "membaptiskan" Azam  Baki daripada segala noda dan dosa. Pengerusinya Abu Zahar Ujang telah membuat kenyataan dengan mengundang sama Azam Baki dalam satu sidang akhbar khas yang dianggap sebagai telus dan berani. Sidang akhbar itu diadakan apabila isu Azam itu mulai heboh dan mendapat perhatian dunia.  

Pinjaman tanpa faedah.

Dalam sidang akhbar itu Azam secara telus menjelaskan pembelian saham itu seolah tidak dalam pengetahuannya, sebalik akaunnya digunakan oleh adiknya Nasir Baki untuk memberi saham awam itu. Beliau menegaskan yang beliau tidak mempunyai apa-apa kepentingan.  Akaun CDS miliknya digunakan oleh Nasir yang diberi pinjaman tanpa faedah. Konotasi yang hendak dihebahkan saham itu bukan miliknya. 

Abu Zahar membuat perakuan LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam itu. Bagaimana pun selang 24 jam kemudian, enam orang ahli lembaga itu; Ismail Omar, Azman Ujang, Akhbar Satar, Dr Hamzah Kassim, David Chua Kok Tee dan Dr Mohamad Agus Yusoff menafikan yang mereka bersetuju (berpuas hati dengan penjelasan Abu Zahar) sebaliknya menganggap apa disebut Abu Zahar itu sebagai pendapat peribadinya. Bukan pendapat majoriti ahli LPPR. Di sini bolehlah difahamkan yang ahli LPPR tidak menerima pengakuan dan penjelasan Azam itu.  

Perkembangan itu menyebabkan ikhtiar untuk mensucikan Azam gagal dan semakin menjadi perhatian umum. 

Kemunculan dan keberanian enam ahli LPPR yang menafikan perkara itu ia mula menetaskan persoalan dan pertanyaan berpanjang dan lebih besar lagi. Minda umum mula diasak dengan pertanyaan dan mula membuat andaian ada sesuatu yang tidak kena yang cuba disembunyikan. 

Mengapa dalam kalangan ahli LPPR sendiri bercanggah pendapat? Apakah di sini ada usaha untuk melindungi Azam oleh pengerusi LPPR? Atau Abu Zahar dan mereka sewaktu dengannya ada motif dan kepentingan dalam melindungi Azam itu? 

Sehubungan itu berbagai pihak membuat desakan dan gesaan agar pihak berkuasa (kerajaan) bertindak ke atas Azam. Penjelasan dan pengakuan Abu Zahar dan Azam itu ditolak mentah-mentah. Dan ia menjadi lebih gawat dan bertubi-tubi lagi apabila berbagai pihak, baik pemimpin Ngo, wakil rakyat, penguam, bekas pendakwa dan sebagainya turut sama mendesak agar kes Azam dituntaskan sesegera mungkin.

Tidak muktamad.

Ia menjadi lebih lantang lagi apabila Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang menjalankan siasatan ke atas Azam menerusi Akta Perindusterian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) tidak dapat muktamadkan apakah Azam melakukan kesalahan ataupun tidak memiliki saham berkenaan di bawa seksyen 25 (4) SICDA. Ertinya siasatan itu tidak ada konklusi tepat dan ia tidak dapat diterima. 

Antara individu atau profesional yang memberi reaksi dan mempersoalkan kenyataan SC itu adalah ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang. Kata Kit Siang mencemuhi kenyataan SC itu dengan mengatakan hanya mereka yang dungu sahaja mempercayai penjelasan daripada SC itu.

Sehubungan itu Kit Siang meminta kabinet mengarahkan Azam bercuti daripada jawatan Pengerusi SPRM sementara siasatan dijalankan ke atas secara menyeluruh. Kit Siang memberi amaran jika kabinet tidak berbuat apa-apa menunjukkan mereka bersetuju bahawa SC sudah membebaskan Azam daripada sebarang kesalahan. 

Justeru katanya, rakyat Malaysia berhak menganggap kabinet sedia ada ini terdiri daripada menteri-menteri dengan standard intelek yang rendah dan tidak mempunyai kemampuan pemahaman.

Bekas ahli LPPR Dr Edmund Terence Gomez juga turut memberi reaksi kepada pernyataan SC itu. Baginya kenyataan SC semalam sungguh mengejutkan dan tidak boleh diterima kerana SC tidak menyatakan sebab atau hasil (keputusan) siasatannya secara muktamad. 

"SC yang tidak menyatakan sebab mengapa ia tidak dapat secara muktamad menentukan kesahihan dakwaan terhadap Azam menimbulkan persoalan yang sangat membimbangkan. Mengapa semua usaha untuk memulakan siasatan terhadap dakwaan ini tidak menghasilkan siasatan yang mendalam dan terbuka?" tanya beliau seperti dilapor. 

Seorang peguam Haniff Khatri Abdula menyarankan wajar Azam bercuti sementara siasatan dijalankan. Dan beliau juga melihat Peguam Negara perlu memuktamadkan kes ini selepas SC membuat kenyataan mendapati Azam tidak melanggar SICDA. Dapatan oleh SC itu perlu disahkan oleh peguam negara sebagai badan pendakwaan.

Melihat isu Azam ini berpanjangan dan menjadi polemik ia boleh memberi kesan negatif kepada negara. Kegagalan menuntaskan isu Azam ini memperlihatkan kelemahan dan ketidakberdayaan Ismail Sabri sebagai perdana menteri. Beliau sepatutnya tidak membiarkan isu ini berterusan dipolemikkan kerana ia boleh mendatangkan masalah dan mencemarkan negara. 

Jawatan atau kedudukan Azam Baki itu bukan persis kedudukan seperti ketua cawangan Umno di Pahang atau Johor kerana ia akan menjadi perhatian dunia luar untuk melihat wibawa dan integriti negara ini khasnya terhadap pimpinannya sebagai PM dari aspek pentadbiran dan pengurusan serta menangani isu-isu membabitkan maruah dan integriti negara itu. 

Sekiranya Ismail Sabri membisu dan berhenti setakat mengatakan Azam tidak bersalah dengan berpandukan kepada kenyataan SC itu, apa lagi berasakan isu ini sengaja dipolemikkan nampak sangatlah kependekan akal Ismail Sabri sebagai perdana menteri. 

Integriti negara.

Tentu situasi ini tidak boleh dibiarkan kerana ia boleh mengoyak keharmonian dan integriti negara di mata dunia. Sekiranya Ismail Sabri tidak ada keberanian dan akal untuk mengatasinya wajarlah beliau berundur secara terhormat. Tidak patut berlamaan menjadi bangkai. 

Dan sekiranya Ismail Sabri yang kini sudah merasai kelazatan dan nutrisi menjadi PM enggan berbuat demikian, elok  kalau pembangkang menamatkan MoU yang mengandungi tujuh subjek ditanda tangani sebelum ini yang sepatutnya berakhir kira-kira enam bulan lagi. Menjadi tanggungjawab pembangkang untuk memelihara integriti negara dan mengirimkan perosak dan banjingan negara  ke dalam penjara.  

Negara lebih penting dan perlu diselamatkan daripada mana-mana individu sama ada Azam Baki dan Ismail Sabri atau sesiapa. Kesejahteraan negara juga lebih utama daripada mempersiapkan agenda politik mana-mana individu. Rakyat perlu memahami keperluan dan hakikat ini.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan