Dianggap tindakan berlebihan, PM Anwar perjelas sebab kunjungan ke Turkiye

 


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan beliau berlepas ke Turkiye selepas ada pihak yang beranggapan tindakan yang diambil oleh Malaysia itu sebagai berlebihan.
 
Perdana Menteri berkata, keputusan untuk mengunjungi negara itu dibuat atas dasar persahabatan istimewa yang terjalin antara Malaysia-Turkiye, dan kemusnahan teruk yang dialami akibat gempa bumi yang melanda negara berkenaan.

Jelas beliau lagi, Turkiye juga sebelum ini menyalurkan bantuan langsung dalam membantu usaha kerajaan Malaysia. 
 
"Memang ada bertanya mengapa dalam kes ini Malaysia mengambil langkah yang agak ke depan dan berlebihan.
 
"Saya ingin menjelaskan pertama kadar kerosakan itu agak skala besar yang jarang berlaku sebelum ini melainkan tsunami yang melibatkan bandar Aceh (Indonesia).
 
"Keduanya, persahabatan yang istimewa bukan sahaja peribadi tetapi dua negara.
 
"Ketiga, maklumat yang kurang diketahui negara Turkiye sebenarnya sebelum ini telah memberikan bantuan langsung dan tidak langsung kepada beberapa usaha kerajaan termasuk mencecah ratusan juta ringgit dan ini jarang berlaku dalam hubungan dua hala kita dengan negara-negara lain.
 
"Sebab itu Kementerian Luar Negeri mengambil inisiatif tambahan dalam hal ini," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
 
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, dana bantuan kemanusiaan Malaysia bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria setakat ini mencecah RM50 juta.
 
Daripada jumlah tersebut, Anwar berkata, sebanyak RM40 juta disalurkan kepada Turkiye, sementara RM10 juta lagi disumbangkan kepada Syria.
 
Menurut Anwar, sebahagian sumbangan tersebut diterima daripada syarikat tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan universiti awam.
 
"Sebanyak RM2,000 disumbangkan oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) melibatkan pelajar dan staf; jumlah terbesar ialah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang menyumbang lima juta euro (RM23.5 juta), diikuti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Yayasan Albukhary sebanyak RM10 juta.
 
"Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) sebanyak RM4.4 juta.
"Selain itu, Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar antara yang memberikan sumbangan terawal iaitu sebanyak RM4.4 juta," kata Perdana Menteri.
 
Perdana Menteri pada Selasa malam berlepas ke Turkiye bagi menyatakan sokongan moral kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan rakyat negara itu yang dilanda gempa bumi awal minggu lepas sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan