Oleh Arif Atan
Akhbar Mingguan Malaysia hari ini menyenaraikan pecahan kerusi
pembangkang di Dewan Rakyat dengan hanya meletakkan Pakatan Harapan dan
Bersatu bersama wajah ketua parti masing-masing.
DAP mempunyai 37 kerusi, diikuti PKR (28), Amanah (6) dan satu kerusi
lagi Bersatu. Tanpa memasukkan 15 kerusi dimiliki Pas, akhbar pro
Umno-BN itu melalui ruangan Awang Selamat menganggap DAP lebih dominan
termasuk dari segi bilangan kerusi di Dewan Rakyat.
Menurut Awang, Mahathir perlu tunduk mengikut rentak Penasihat DAP,
Lim Kit Siang yang kononnya merupakan pemimpin 'de facto' pembangkang
dengan keputusan besar dan penting ditentukan parti berlambangkan roket
itu.
Bercakap bagi pihak Pas, akhbar pro Umno-BN itu secara terbuka
menyanjung tinggi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang lantaran
menolak pelawaan untuk bekerjasama dengan PPBM.
"Prinsipnya tetap sama. Pas tidak akan bekerjasama dengan parti yang
ada hubungan dengan DAP dan PAN (Amanah). Awang tabik Hadi kerana
konsisten menolak DAP dan tidak gentar dengan segala tekanan," katanya.
Sementara itu, Mingguan Malaysia turut memuatkan laporan penuh
mengenai Himpunan Rang Undang-undang (RUU) 355 semalam termasuk reaksi
peserta dan kronologi syor pindaan akta tersebut pada halaman tengah di
muka surat 12 dan 13.
Berlatarkan warna ungu dan hijau, kandungan laporan bagi program
bermula petang sehingga malam itu dilihat bernada positif tidak seperti
yang lazim berlaku terhadap siri himpunan BERSIH.
Ini termasuklah lebih separuh di halaman 13 dipenuhi foto peserta
himpunan antaranya sedang menunaikan solat, melaungkan takbir dan
bergambar dengan penyanyi Datuk Jamal Abdillah.
Dilihat seolah-olah sudah mampu menggantikan lidah rasmi Pas,
Harakah, artikel pengarang kanan Mingguan Malaysia bertajuk, "Pas:
Antara perjuangan dan kerjasama" di ruangan Rencana Muka 6 menjadi bukti
Pas pada masa ini bukan lagi parti pembangkang yang dimusuhi Umno-BN.
Penulisnya, Zulkiflee Bakar berpendapat Abdul Hadi membuat kenyataan
tegas untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu yang dianggapnya
mengamalkan politik makan keliling.
"... (Bersatu) berbaik dengan DAP dan pada masa sama mahu bekerjasama
dengan Pas. Jika Pas terperangkap dengan taktik politik itu, yang rugi
adalah Pas," tegasnya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan