Berjanji tidak akan berlaku lagi

Chicago: United Airlines tidak lagi akan menggunakan polis bagi mengeluarkan penumpang yang terlebih tempahan selepas kejadian seorang lelaki cedera ketika dipaksa keluar dengan kasar oleh tiga polis lapangan terbang di sini, Ahad lalu.

Dalam temuramah dengan rancangan ‘Good Morning America’ stesen televisyen ABC, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) United Airlines, Oscar Munoz, berkata selepas ini anggota penguatkuasa tidak akan terbabit mengeluarkan penumpang yang sudah duduk dalam pesawat.

“Kami tidak boleh berbuat seperti itu,” katanya.

Munoz berkata, beliau berasa ‘malu’ menonton rakaman video kejadian lelaki dipaksa keluar itu dan berjanji menilai semua dasar syarikat itu mengeluarkan penumpang dari pesawat.

AP melaporkan, dalam temuramah itu, Munoz sekali lagi memohon maaf kepada penumpang terbabit, Doktor David Dao dari Kentucky, keluarga mangsa dan penumpang lain yang menyaksikan kejadian itu.

“Itu (kejadian berkenaan) bukan menggambarkan United. Ia tidak akan berlaku lagi dalam penerbangan United. Itu janji saya,” katanya yang menganggap kejadian memalukan itu sebagai ‘kegagalan sistem’.

Ia adalah kenyataan keempat Munoz sejak kejadian yang mencetuskan kemarahan orang ramai serta menjadi perhatian pelbagai agensi berkaitan yang menuntut penjelasan syarikat penerbangan itu.

Selepas rakaman video pertama kejadian itu tersiar di media sosial, Munoz berkata syarikatnya akan berhubung dengan penumpang berkenaan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Beberapa jam kemudian pada Isnin lalu, nada kenyataannya bertukar kepada mempertahankan dengan berkata lelaki berkenaan ‘menimbulkan kekecohan dan ganas’.

Namun selepas media sosial dibanjiri kemarahan orang ramai yang mengkritik syarikat berkenaan serta muncul video lain, pada Selasa, Munoz mengeluarkan kenyataan memohon maaf sebanyak dua kali dengan yang kedua bersama kata-kata ‘Tiada siapa wajar diperlakukan seperti itu’.

Dao, 69, doktor keturunan Vietnam adalah seorang daripada empat penumpang yang diminta turun bagi memberi tempat kepada empat pekerja United Arlines yang perlu ke Kentucky.

Syarikat itu mendakwa kakitangannya beberapa kali meminta dengan baik agar Dao turun dengan rela namun dia enggan, termasuk memberi alasan perlu berjumpa pesakit keesokannya walaupun United menawarkan pampasan sehingga AS$1,000 dan penginapan sementara menunggu penerbangan seterusnya.

Tiga polis lapangan terbang dipanggil dan mereka memaksa Dao turun dengan kasar hingga menyebabkan mulutnya cedera selepas tersembam ke lengan kerusi ketika ditarik dari tempat duduknya.

Berikutan itu, seorang daripada anggota polis terbabit diarah bercuti sehingga siasatan selesai kerana tidak mematuhi prosedur ketika kejadian dan semalam, Jabatan Penerbangan Chicago menyatakan dua lagi anggota polis juga diarah bercuti.

Polis Lapangan Terbang O’Hare, Chicago, adalah anggota Jabatan Polis Chicago namun mereka diuruskan Jabatan Penerbangan Chicago.

Sementara itu, Daily Mail melaporkan United Airlines akan mengembalikan bayaran tambang semua penumpang dalam pesawat berkenaan.

Jurucakap syarikat itu mengesahkan penumpang akan menerima pampasan yang sama dengan harga tiket mereka.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan