MENGANGGAP
DAP sebagai musuh utama PAS ketika muktamar tahunan PAS lalu,
menjadikan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng lantang menyatakan PAS
sebuah parti yang sesat.
Kenyataan itu disuarakan ekoran
ucapan bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Yusni Mat Piah,
ketika muktamar tahunan PAS yang diadakan di Kompleks PAS Kedah di Kota
Sarang Semut.
Bertegas menyatakan PAS tidak sesat, sebaliknya
istiqamah berpegang dengan perlembagaan parti, Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat, Kamaruzzaman Mohamad mengungkapkan erti ‘kawan dan lawan’
yang bersesuaian dengan landasan Islam ketika temubualnya bersama
wartawan ANIS NAZRI, 5 Mei lalu.
WARTAWAN: Sejurus selesai
muktamar PAS baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
menyatakan bahawa PAS adalah parti yang sesat apabila sudah tidak
mengenali kawan dan lawan. Apa pandangan saudara berhubung dakwaan itu?
KAMARUZZAMAN MOHAMAD: PAS tidak pernah sesat dari prinsip dan
perjuangan kerana PAS sentiasa dipandu dengan perlembagaannya
sebagaimana termaktub dalam fasal lima iaitu tujuan PAS itu diwujudkan.
Jika dilihat perlembagaan itu, pertamanya PAS bertujuan untuk
memperjuangkan ke arah wujudnya dalam sesebuah negara itu satu cara
pemerintahan yang menuju kepada Allah, membentuk satu masyarakat ke
jalan Allah.
Sehingga hari ini, itulah yang masih PAS pegang. Jadi tidak timbul isu PAS sudah sesat.
Keduanya pula, PAS diwujudkan untuk mempertahankan kuasa bagi menjamin
kesucian Islam dalam mencapai matlamat menuju sebuah negara yang
bergerak atas landasan yang dicorakkan Allah.
Sehingga hari ini PAS
masih mempertahankan segala apa sahaja yang berkaitan dengan hukum Islam
agar ia dapat dilaksanakan sebaiknya.
Jadi, saya tidak nampak di mana sesatnya PAS seperti yang dikatakan Guan Eng.
Mungkinkah
beliau tidak memahami konsep kawan dan lawan itu dari aspek politik dan
Islam hingga mengeluarkan kenyataan sedemikian?
Prinsip
asas kawan ini perlu difahami dengan jelas. Seorang kawan itu ialah
apabila berkawan, dia akan menghormati kita, dan bersama dengan apa yang
kita perjuangkan. Dia hormati pendirian kita, pandangan kita. Itu
kawan.
Prinsip PAS sangat jelas. Sesiapa sahaja yang bersama dengan perjuangan dan tujuan PAS, maka ia adalah kawan.
Tetapi, ada juga musuh yang bersama dalam satu hal yang diperjuangkan,
tetapi tidak bersama dalam satu hal lain,itu boleh kita katakan rakan.
Namun, jika lawan pula, siapa sahaja yang menentang perjuangan kita,
dan tidak menghormati pendirian kita, maka ia bukan lagi kawan kita.
Secara jelasnya DAP sudah sekian lama cuba untuk membantah perjuangan
kita, malah mereka bukan sahaja membantah tapi cuba menghalang kita
untuk melaksanakan apa yang kita perjuangkan demi kesucian Islam.
Jelas itu bukanlah seorang kawan tetapi adalah lawan.
Perkara itu yang terpaksa dihadapi PAS hari ini. Bukan sahaja kita
dapat mengenali, tetapi kita berhadapan dengan wajah sebenar mereka yang
kini sudah terbongkar.
Bagi pandangan saudara, mengapa
Guan Eng mengeluarkan kenyataan sedemikian? Adakah kenyataan itu
menunjukkan bahawa parti itu bergantung kepada PAS?
Saya
fikir mereka begitu terdesak untuk menggambarkan PAS seolah-olah
tersalah langkah dengan kononnya salah memilih kawan, sedangkan seperti
kita katakan awal tadi, kita tahu siapa kawan dan lawan.
Tetapi,
insya-Allah, PAS tidak begitu (tidak salah langkah), sebaliknya PAS akan
kelihatan lebih tegas dan sangat berprinsip dengan perjuangan sehingga
sanggup bertegas dengan bekas kawan kita, yang dahulunya bersama dalam
Pakatan Rakyat.
Dari dahulu lagi, prinsip PAS, cara PAS jelas.
Sesiapa yang ingin bersama PAS, memperjuangkan apa yang diperjuangkan
PAS, kita sentiasa mengalu-alukan.
Namun, apabila mereka cuba
menentang Islam, kita sanggup untuk tidak bersama mereka. Saya yakin
dengan prinsip ini, ia boleh menjadi harapan kepada rakyat untuk terus
berpegang dan istiqamah bersama PAS.
Jadi, PAS tidak pernah sesat kerana tidak pernah lari dengan perjuangan dan prinsip yang dijunjung selama ini.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan