KUALA
LUMPUR, 10 Mei — Penyanyi popular era 1980-an Ben Nathan bakal muncul
dalam konsert pertamanya pada 21 Mei ini selepas bangkit dari kehidupan
sebagai gelandangan.
Konsert "Kasih dan Harapan — Ben Nathan" anjuran Yayasan Artis
1Malaysia (YA1M) dengan kerjasama Jojo Enterprise bakal menghiburkan
peminat di Saloma Bistro, di sini bermula pukul 12 tengah hari.
Presiden YA1M Datuk DJ Dave berkata konsert tersebut bertujuan
mengumpul dana bagi membantu kebajikan Ben dan menunaikan hasratnya
untuk mengeluarkan single-nya di Jakarta, Indonesia.
"Konsert yang akan berlangsung selama satu jam 45 minit itu akan
diserikan oleh beberapa artis tempatan seperti M Nasir, Nash, Fredo,
Ramlah Ram, Sahara Yaacob dan penyanyi remaja Maisarah Ukelele.
"Harga tiket bermula dari RM5,000, RM3,000 dan RM2,000 setiap meja dan
tiket perseorangan berharga RM100 termasuk makan tengah hari.
"Diharap menerusi penjualan meja kami dapat mengumpul RM50,000 bagi
membantu Ben," katanya kepada pemberita selepas sidang media di sini
semalam.
DJ Dave berkata Ben, atau nama Islamnya Ben Adam Abdullah, menunjukkan
perkembangan positif selepas menerima rawatan dari Hospital Kuala Lumpur
(HKL) selama dua bulan.
Malah, pelantun lagu "Stanza Sepi Sekeping Hati" masih menunjukkan
minatnya terhadap bidang nyanyian apabila beliau sering bercerita
tentang muzik ketika berada di hospital.
"Ben sudah semakin sihat sekarang, cuma kini beliau ditempatkan
sementara di sebuah rumah khas dalam pengawasan doktor dari segi fizikal
dan mentalnya," katanya.
Sebelum ini, keadaan Ben menjadi bualan ramai apabila video memaparkan
dirinya dalam keadaan tidak terurus menjadi tular pada Januari lalu.
Penyanyi itu dikatakan sering kelihatan merayau di beberapa kawasan
sekitar ibu kota, namun hasil usaha YA1M dan beberapa pihak termasuk
keluarganya sendiri, Ben dibawa ke HKL bagi mendapatkan rawatan dan
pemeriksaan.
Menurut DJ Dave, apabila video itu tular di media sosial, pihaknya cuba
sedaya upaya untuk berjumpa dengan Ben bagi menghulurkan bantuan.
"Ketika kami berjumpa, keadaan Ben sangat kusut-masai dan tidak
terurus. Agak lama juga kami memujuk beliau supaya potong rambut dan
misai dan akhirnya beliau bersetuju untuk berbuat demikian setelah kami
berjanji untuk membantu beliau," katanya.
DJ Dave turut melahirkan rasa terharu apabila Ben menyampaikan
hasratnya untuk kembali menyanyi serta mahu merakamkan single-nya di
Jakarta.
"Sudah lebih 10 tahun Ben menyepi dari industri seni tanah air dan saya
sangat gembira dengan perkembangan positif beliau yang mahu memegang
kembali mikrofon... Beliau juga turut berhasrat untuk menunaikan umrah,"
katanya. — Bernama.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan