Di seluruh dunia, terdapat 360 juta orang mengalami masalah pendengaran, manakala Malaysia mencatatkan 30 peratus daripada 3.8 juta populasi warga emas, mempunyai tahap masalah pendengaran tertentu.

Lebih membimbangkan, masalah pendengaran di negara ini merupakan salah satu daripada tiga penyakit berkaitan pekerjaan, selain sakit di bahagian bawah belakang dan otot lengan atas.
Sememangnya, gaya hidup moden mendedahkan masyarakat kepada pencemaran bunyi secara berterusan sama ada di tempat kerja atau sewaktu menjalani aktiviti rekreasi.
Ia menjadi salah satu faktor berlakunya masalah pendengaran.

Pada 2015, WHO melaporkan 1.1 bilion remaja dan golongan muda berisiko mengalami masalah pendengaran disebabkan tahap bunyi yang tidak selamat, iaitu pendedahan berterusan kepada alat audio peribadi, kelab, konsert dan tempat kerja yang bising.

Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai masalah pendengaran di negara ini, penyedia penjagaan pendengaran, Nessa menampilkan beberapa penemuan daripada kaji selidik kebangsaan yang dijalankan sejak Januari lalu.

Menurut kaji selidik tersebut, 65 peratus responden tidak pernah melakukan ujian pendengaran dan tiga masalah utama pendengaran dialami rakyat Malaysia ialah dengung di dalam telinga (40 peratus), pening (25 peratus) dan sukar mendengar (22 peratus).

Hampir 50 peratus berkata dengan keupayaan mendengar yang lebih baik, mereka boleh meningkatkan interaksi sesama ahli keluarga dan rakan-rakan.

Presiden Persatuan Kesejahteraan Malaysia, Datuk Dr. Rajbans Singh menjelaskan, proses penuaan yang sihat sangat penting bagi memastikan kesejahteraan dan kualiti kehidupan untuk warga emas.

“Apabila kita semakin berusia, kita kehilangan pelbagai keupayaan fizikal seperti mengunyah dan menghadam, kurang cergas serta lemah daya ingatan, serta pandangan mata dan pendengaran menjadi kurang baik.

“Masalah pendengaran menjejaskan fungsi seharian, komunikasi dan hubungan kita dengan orang tersayang dan keluarga.

“Ramai warga emas yang mengalami masalah pendengaran berasa sunyi kerana mereka tidak dapat berhubung dengan ahli keluarga atau teman-teman, rasa terasing dan cenderung ke arah kemurungan.

“Oleh itu, pendengaran yang lebih baik mampu memberi kualiti kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, Pemangku Pegawai Perubatan di Nessa PTE, Ogan Gurel berkata, kesihatan pendengaran sangat penting kerana mempengaruhi kesihatan otak secara keseluruhan.

Katanya, dengan menjaga pendengaran sama ada mengelak bunyi kuat yang boleh menyebabkan masalah pendengaran atau menggunakan alat bantuan pendengaran, mampu mengubah kualiti kehidupan seseorang.

“Kajian yang dijalankan mendapati masalah pendengaran dikaitkan dengan pengurangan kognitif dalam kalangan orang dewasa. Selain itu, warga emas yang mempunyai masalah pendengaran lebih cenderung menghidap dementia dalam jangka waktu tertentu berbanding mereka yang mengekalkan tahap pendengaran yang baik,” katanya.

Alat bantu baiki kualiti hidup

Kira-kira 90 peratus rakyat Malaysia yang mempunyai masalah pendengaran tidak menggunakan alat bantuan pendengaran meskipun berhadapan dengan kesan fizikal dan psikologi dalam kehidupan mereka.

Ramai yang beranggapan menggunakannya bermaksud seseorang itu ‘tua’ dan ‘kurang upaya’, malah ada yang menganggap bahawa masalah pendengaran merupakan sebahagian daripada penuaan.
Memahami permasalahan tersebut, Nessa tampil dengan penyelesaian penjagaan pendengaran masa hadapan untuk menyesuaikannya dengan gaya hidup moden dengan mengenal pasti tiga aspek utama iaitu stigma, kemudahan dan kos.

Ketua Pegawai Eksekutif Nessa, Olivier Carnohan berkata, alat bantuan pendengaran boleh diumpamakan seperti memakai cermin mata, seharusnya dilihat sebagai satu sistem sokongan untuk membantu melancarkan kesihatan dan kualiti pendengaran.

“Masalah pendengaran adalah sebahagian daripada keadaan semula jadi kehidupan dan tidak dapat dielakkan apabila usia kian meningkat.

“Bagaimanapun, seseorang itu haruslah melakukan pemeriksaan setiap tahun seperti yang mereka lakukan untuk pemeriksaan badan bagi mengenal pasti masalah pendengaran,” katanya.

Nessa merupakan penyedia penjagaan pendengaran yang pertama menawarkan pengujian serta pemasangan dan pelarasan alat bantuan pendengaran dari mana-mana lokasi.