Oleh Wong Chen
Perjuangan Pakatan Harapan dalam isu pendidikan percuma tetap
diteruskan dalam membawa arus reformasi pendidikan tinggi dan industri
pekerja.
Di Malaysia, hampir 77 peratus pekerja mempunyai tahap
kelulusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan juga kebawah. Hal ini
disebabkan oleh kekurangan peluang mereka untuk melanjutkan pengajian ke
peringkat tertiari, antaranya disebabkan oleh faktor kekangan kewangan.
Impaknya, majoriti pekerja terpaksa menghabiskan masa dan
tenaga untuk bekerja dalam sektor produktiviti rendah, di mana hasil
pendapatan yang diperoleh mereka tidak sepadan dengan kenaikan kos sara
hidup.
Pada masa yang sama, graduan-graduan di universiti
tempatan menghadapi keadaan ekonomi semasa di mana lebih kurang 273,000
graduan sedang menganggur.
Lebih teruk lagi, sebahagian mereka
memerlukan wang untuk membayar hutang pinjaman pendidikan, antaranya
adalah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Pendidikan percuma telah dilaksanakan di sebahagian negara-negara Nordic
seperti Denmark dan Finland. Asasnya adalah, pendidikan percuma dapat
menghapuskan kitaran ganas kemiskinan, melalui peluang yang diberikan
kepada anak muda dari kelompok berpendapatan rendah untuk menempatkan
diri dalam kerjaya yang berpendapatan lebih tinggi berbanding keluarga
asalnya.
Pendidikan percuma merupakan pelaburan terbaik kerajaan
untuk menghasilkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan inovatif,
seterusnya memberi pulangan hasil lebih tinggi kepada kerajaan dalam
bentuk cukai pendapatan.
Malangnya, Kerajaan Barisan Nasional
tidak memahami idea ini, bahkan sanggup memotong peruntukan Bajet
Kementerian Pengajian Tinggi dengan membiarkan pelbagai program-program
yang tidak berfaedah untuk terus memperoleh peruntukan.
Kertas
kerja baharu yang disediakan oleh pihak saya menunjukkan bahawa
berdasarkan data bilangan pelajar dan kos pengajian semasa, kerajaan
hanya memerlukan belanja tambahan sebanyak RM1.77 bilion setahun untuk
melaksanakan pendidikan percuma.
Manakala merujuk pada
pengumpulan Laporan Ketua Audit Negara dan juga data National Oversight
& Whistleblowers (NOW), KPT mempunyai anggaran tahunan ketirisan
sebanyak RM1.92 bilion.
Dengan mensifarkan ketirisan, saya
percaya Kerajaan Pakatan Harapan mampu menyediakan pendidikan percuma
untuk pelajar universiti awam tempatan.
Kajian saya juga
mencadangkan bahawa Kerajaan Persekutuan seharusnya menukar pinjaman
PTPTN bagi universiti awam sebanyak RM2 bilion setahun terus kepada
geran pemberian.
Dengan kadar pembayaran semula peminjam yang
terlalu rendah iaitu sekitar 14 peratus, mereformasikan PTPTN adalah
perkara penting dalam mengurangkan beban anak muda, seterusnya
mewujudkan Malaysia sebagai model negara berkebajikan.
Dengan
kajian ini, maka semakin jelas polisi Pendidikan Percuma dapat
diadaptasikan apabila Pakatan Harapan memperoleh mandat untuk mentadbir
negara pada masa yang akan datang. Selain memperkenalkan polisi ini,
Pakatan Harapan juga komited dalam mengkaji status autonomi universiti,
kerelevenan Akta Universiti dan Kolej Universiti dan juga kebolehpasaran
graduan.
Perkara-perkara penting sebegini tidak dipedulikan
oleh Barisan Nasional yang semakin jelas terarah kepada korupsi, rasuah
dan tatakelola buruk.
Hasrat saya adalah rakyat lebih bijak dalam memilih pihak terbaik untuk menerajui pentadbiran negara pada PRU 14.
Kewajaran mereformasikan polisi pendidikan merupakan keutamaan yang
penting dalam menentukan hala tuju negara untuk jangka masa panjang.
Proposal yang saya dan rakan-rakan sediakan mengenai penghapusan
ketirisan dan juga tukar PTPTN untuk universiti awam terus kepada
pemberian boleh diakses di laman berikut: http://www.wongchen.com/…/Free-public-higher-education-Look…
YB Wong Chen
Ahli Parlimen Kelana Jaya
Parti KEADILAN Rakyat
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan