Kumpulan wartawan bantah cadangan daftar portal

Gerakan Media Merdeka (Geramm) menyatakan bantahan terhadap cadangan mendaftar semua portal media di Malaysia dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Geramm dengan ini menyatakan ketidaksetujuan kami dengan sejelas-jelasnya atas usaha yang dilihat cuba mengebiri dan memandulkan suara media Malaysia yang semakin suram.

“Sebagai permulaan, semua syarikat media di Malaysia telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan telahpun mematuhi segala undang-undang yang mengawal mereka selama ini.
“Semua portal ini juga telah dapat memohon kad media (warna kelabu) yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri serta boleh disiasat polis, boleh disaman, boleh dihadap ke mahkamah, boleh diserbu oleh pihak berkuasa seperti SKMM sendiri,” kata kumpulan wartawan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Geramm membalas Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak yang mencadangkan pada 28 Ogos lalu agar semua portal media atas talian didaftarkan dengan SKMM untuk memudahkan agensi itu memantau jumlah pengunjung satu-satu portal.

Salleh turut dilapor berkata, SKMM akan menentukan proses pendaftaran portal berdasarkan beberapa kriteria. Beliau mengambil contoh Singapura yang melaksanakan polisi sama.

Geramm mengingatkan bahawa kerajaan menjamin tiada penapisan internet di bawah Rang Jaminan MSC (Multimedia Super Corridor) yang bertujuan menggalakkan pertumbuhan syarikat dan industri.
"Jadi dengan ini kami sekali lagi menyeru semua pihak agar mempertahankan suara-suara di luar arus perdana agar dapat terus disampaikan kepada segenap lapisan masyarakat.

"Sesungguhnya media yang bebas itu merupakan aset dan bukan musuh kepada sebuah negara yang telus, jujur serta demokrasi yang baik dan bertanggungjawab," kata Geramm.

Geramm, sebelum ini dikenali sebagai Gerakan Media Marah, adalah kesatuan longgar pengamal media yang lantang bersuara tentang isu-isu kebebasan media di Malaysia.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan