Menang tapi kalah

Oleh HISHAMUDDIN RAIS

Pepatah Bugis ada menyebut: Kuasa datang dari tiga hujung - hujung lidah, hujung kemaluan dan hujung keris.

Najib yang juga dinobatkan sebagai Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil pasti tahu lebih mendalam akan asal usul dan makna pepatah Bugis ini.

Dalam tulisan saya minggu lalu saya menyatakan bahawa hujung lidah yang dimaksudkan oleh pepatah ini ialah dakwaan labun Mappadulung. Labun tentang duit 2.6 bilion ringgit derma tok arab. Labun tentang ekonomi Malaysia makin rancak dan mampan. Labun khusus untuk mak cik dan pak cik Felda tentang saham FGV yang dijanjikan naik.

Juga Mappadulung yang bersumpah bahawa dia tak pernah kenal minah Mongolia yang slim, berambut panjang lagi cun yang memakai nama Altantuya Shaaribu.

Mengikut pepatah Bugis ini, kuasa juga datang dari hujung kemaluan. Tentang ini saya tafsirkan sebagai sambutan peminat setia penyanyi pop Ziana Zain apabila album “Madah Berhelah” muncul pada tahun 1991.

Mengikut pepatah Bugis ini kuasa juga datang dari hujung keris. Babak keris inilah yang ingin saya rungkai minggu ini. Bab keris 'meris' ini bukan hanya milik Hishammuddin Hussein sepupu Mappadulung. Keris juga adalah permainan Mappadulung.

Pada hemat saya, tanpa perlu belajar sains politik di Universiti Havard, sosok yang paling afdal dan paling memahami ehwal hal kuasa keris ini pastilah Mahathir Muhamad. Ini kerana si Mahathir ini telah berkuasa selama 22 tahun. Bayangkan sosok mana pun yang berkuasa selama 22 tahun pasti memiliki keris yang besar. Lebih besar daripada kemaluan sendiri.

Dari pembacaan saya, pepatah Bugis ini amat-amat tepat. Ia menggunakan pendekatan ahli falsafah sains sosial yang bernama Karl Marx.

Buktinya, pengerusi Mao Zedong, anak murid kepada Karl Marx, pemimpin Parti Komunis China pernah berkata bahawa kuasa muncul daripada laras senapang.

Di China tidak ada keris maka Mao Zedong membuat metafora dengan menggunakan senapang. Maknanya masih sama.

Kuasa yang ada pada Mappadulung ini pastilah kuasa politik. Kuasa politik ini boleh diterjemahkan sebagai kuasa ekonomi. Kuasa politik dan kuasa ekonomi ini boleh melanggan penterjemah cun dari Mongolia atau pun boleh melanggan penyanyi pop selangsing Ziana Zain.

Bila saya membuka bab kuasa ini maka tidak dapat tidak saya akan membuka kitab berkenaan pilihan raya. Pilihan raya yang saya maksudkan pastilah PRU14 yang akan datang. Ini kerana kuasa Mappadulung datang dari sokongan undi pilihan raya.

Pada 21 Julai 2017 yang lalu portal Malaysiakini telah menerbitkan induk berita: Dr M yakin menang, tapi dakwa Najib akan 'menipu’.

Ini satu berita yang amat-amat penting. Ini tajuk berita yang memiliki seribu makna. Tajuk berita ini jika dibaca oleh Mappadulung dia akan menggelupur takut. Jika berita ini dibaca oleh Rosmah Mansor ada kemungkinan berat badan si Rosmah akan susut sebanyak tujuh kilo.

Parti menang 

Parti yang akan menang yang dimaksudkan oleh Mahathir Muhamad ialah Pakatan Harapan. Ini satu pakatan politik baru terdiri dari parti PKR, DAP, BERSATU dan AMANAH.

Pakatan ini telah menggantikan Pakatan Rakyat yang telah menjadi arwah apabila parti Islam PAS jatuh cinta dan membuat hubungan sulit dengan United Malays National Organisation.

Jangan sesekali kita lupa, Mahathir Muhamad pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun. Maka saya amat yakin sosok ini tahu semua selok belok kuasa. Sosok ini juga tahu dari kemaluan siapa kuasa dapat dinaikkan atau diturunkan.

Mahathir Muhamad pengerusi Pakatan Harapan ini pasti tahu bahawa kuasa juga datang dari hujung keris.
Dari laporan Malaysiakini si Mahathir ini cukup yakin akan sokongan rakyat. Dari laporan berita yang kita baca, Mahathir telah ke hulu ke hilir berkempen memperkenalkan parti BERSATU kepada anak semua bangsa.
Mahathir telah keluar masuk kawasan Felda. Berselfie dengan cucu-cicit warga Felda. Mahathir menjelajah dari Langkawi hingga ke Pontian dalam usaha untuk menjatuhkan Najib.

Dalam usaha untuk memastikan Parti Ketuanan Melayu hilang kuasa. Untuk memastikan Najib dan Rosmah ditangkap, didakwa dan dibicarakan. Najib, menurut Mahathir adalah pencuri.

Pada ketika ini amat-amat jelas tujuan Mahathir Muhamad memimpin Pakatan Harapan hanya satu - merancang untuk menjatuhkan Mappadulung daripada tampuk kuasa.

Mahathir mahu menyinggkirkan Najib. Mahathir mahu menamatkan kuasa Parti Ketuanan Melayu yang pernah dipimpinnya pada satu ketika dahulu.

Ketika Mahathir dalam kerajaan, ketika Mahathir bersara tapi masih lagi bersama Parti Ketuanan Melayu, saya telah menulis beberapa kali untuk memberi pencerahan tentang makna dan tanda pilihan raya.

Saya secara hitam putih telah merakamkan bahawa sebenarnya, pada hakikatnya Pakatan Rakyat telah menang dalam PRU13 dahulu. Seharusnya pada 6 Mei 2013 yang duduk di Putrajaya ialah Saudara Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan campuran baru.

Pakatan Rakyat telah mendapat 52 peratus jumlah undi popular. Di mana-mana negara pun dalam dunia ini kecuali di Arab Saudi - yang tidak pernah ada pilihan raya - kerajaan akan bertukar.

Tetapi ini tidak berlaku di Malaysia. Walau pun kalah undi tapi United Malays National Organisation tetap berkuasa.

Kenapa ini berlaku? Kenapa dengan 52 peratus undi dimenangi kerajaan tidak bertukar? Sabar. Ini saya takrifkan sebagai politik Dunia Ketiga. Biar saya beri pencerahan.

'Mahazalim' tahu

Mahathir Muhamad yang pada satu ketika dahulu dipanggil Mahazalim tahu kenapa semua ini berlaku. Mahathir tahu jawapannya. Mahathir tahu semua selok-belok pengundian yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Malah Mahathirlah yang menjadikan SPR sebagai budak suruhan United Malays National Organisation.

Hakikatnya semua putar alam, semua cakar-makar, semua kerenah SPR ada dalam saku Mahathir. Justeru Mahathir berani mengumumkan kepada alam semesta - kepada anak semua bangsa di Malaysia - bahawa dalam PRU14 nanti Pakatan Harapan akan menang.

Tapi awas! Najib akan menipu. Ini amaran dari Mahathir. Najib akan menipu? Mappadulung akan menipu apa? Tipu bagaimana?

Pada 2 November 2016, kita semua terkejut apabila Malaysiakini melaporkan Abdul Rashid Abdul Rahman akan dilantik sebagai naib pengerusi parti BERSATU yang dipimpin oleh Mahathir.

Ini Rashid bukan sebarang Rashid. Ini Rashid anak didik Mahathir Muhamad. Rashid inilah yang memastikan Mahathir Muhamad dan gerombolan Ketuanan Melayu terus menang di setiap PRU dan pilihan raya kecil. Si Rashid ini ialah bekas pengarah SPR dari tahun 2000 hingga 2008.
Hal putar memutar dikatakan bukan satu yang asing untuk Rashid yang telah dinobatkan dengan darjah kebesaran Tan Sri.

Saya cukup yakin dengan ilmu si Rashid. Tetiba pada 14 Februari 2017, si Rashid ini telah membocorkan satu berita penipuan.

Bekas Pengerusi SPR ini telah mengumumkan kepada dunia bagaimana United Malays National Organisation telah menipu jumlah anggota parti mereka. Parti Ketuanan Melayu ini mendakwa memiliki anggota seramai tiga juta. Tetapi Tan Sri ini telah berkata anggota United Malays National Organisation sebenarnya hanya satu juta.

Apa makna kenyataan ini? Apa makna pertelingkahan angka jumlah anggota ini? Maknanya undi yang datang untuk memenangkan United Malaya National Organisation datang daripada tempat lain.

Parti Ketuanan Melayu tidak ada ahli dan tidak ramai yang menyokong. Ini bukan fitnah Hisahamuddin Rais. Ini kenyataan rasmi dari bekas Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. Amin.

Apakah penipuan sahaja yang akan dilakukan pada PRU14 nanti. Sabar dulu. Ingatkan kembali pepatah Bugis itu, kuasa datang dari hujung keris.

Dalam alam Melayu keris ini adalah senjata yang maha penting. Malah dalam adat perkahwinan di Negeri Sembilan, jika pengantin lelaki ditakdirkan tidak dapat hadir di hari perkahwinan, sebilah keris boleh menjadi wakil. Pengantin perempuan boleh bersanding bersendirian dengan sebilah keris diletakkan di sebelah.

Apa sangkut paut keris naik pelamin di Negeri Sembilan dengan keris Bugis? Sabar dulu, semua bersangkut paut dengan Mappadulung yang akan menggunakan keris untuk terus berkuasa dalam PRU14 nanti.

Bekas pengarah SPR

Juteru, Mahathir telah membocorkan rancangan Najib. Pembocoran ini menjadikan Mappadulung gelabah. Najib tahu bahawa Mahathir tahu segala selok belok menipu. Ini ditambah pula dengan adanya bekas pengarah SPR bersama dalam parti Mahathir.

Tetiba pada 30 Julai yang baru lalu si Najib telah membuat ancaman. Mappadulung telah mula menakut-nakutkan orang ramai. Bakal pengundi telah ditakut-takutkan dengan kacau bilau porak- peranda.

Tetiba Mappadulung membuat rujukan kepada Arab Spring. Tetiba nama arwah Saddam Hussein disebut-sebut. Tetiba jika rakyat menukar kerajaan akan terjadi kacau bilau seperti di Iraq.
Ini jawapan Mappadulung kepada Mahathir yang telah membocorkan rancangan Najib dalam PRU14 yang akan datang ini. Tetapi apa sebenarnya yang tersirat di belakang berita ini? Tunggu minggu hadapan.

HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan