Siapa MB Pakatan Harapan Johor

1. Kami mengambil maklum berita yang tersebar mengenai isu calon Menteri Besar Johor mengaitkan nama saya, Salahuddin Ayub dan Pengerusi Amanah Johor Hj Aminolhuda Hassan seperti mana dilaporkan portal http://www.beritadaily.com/cracks-in-johor-amanah-over-mbs-post/.

2. Kami ingin tegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) Johor ketika ini berada pada kedudukan sangat kukuh dan bersedia mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada bila-bila masa.

3. Disamping nama kami yang cuba diketengahkan menerusi portal berita tersebut, saya ingin mengingatkan bahawa kami turut mengemukakan tokoh-tokoh besar yang lain seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ADUN Jorak Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan tokoh pejuang rakyat Sdr Hassan Karim sebagai pemain utama di Johor menjelang PRU14. 

4. Hal ini membuktikan iltizam serta keseriusan PH Johor dalam merealisasikan perubahan di negeri paling selatan ini seterusnya memastikan Johor menjadi penyumbang yang signifikan untuk perubahan di peringkat nasional.

5. Ia menunjukkan kesepaduan PH diperingkat negeri dan nasional untuk berhadapan UMNO BN di Johor. Sekaligus, ia merupakan kontras kepada kompas perjuangan BN negeri yang dilihat tiada kesepaduan, tidak rukun dan tidak selari dengan kepimpinannya di peringkat pusat yang diterajui Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak yang terpalit pelbagai skandal.

6. Dengan ramainya tokoh-tokoh yang dikemukakan PH untuk berpencak di Johor juga, ia mematahkan propaganda Menteri Besar merangkap Pengerusi Barisan Nasional Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang cuba mengheret perlawanan antara PH-BN di Johor sebagai pertembungan survival antara kuasa politik Melayu vs Cina dalam kerangka lapuk perkauman sempit tajaan mereka.

7. Rakyat khususnya bangsa Johor boleh menilai keseriusan dan iltizam PH ini untuk menerajui Johor kearah tatakelola berkerajaan yang lebih baik, demokratik dan beramanah dalam membela nasib rakyat.

8. Kami juga yakin dengan strategi meletakkan Johor sebagai medan pertempuran paling sengit menjelang PRU14, PH akan memberikan lebih banyak ruang lagi kepada tokoh-tokoh utama kami untuk menyumbang di Johor.

9. Adapun isu berkaitan calon Menteri Besar, hal ini sekiranya berbangkit dan menjadi satu keperluan , ianya akan diputuskan menerusi mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PH dengan berteraskan semangat muafakat dalam kerjasama politik yang dibentuk.

10. Mana-mana pihak boleh sahaja membuat spekulasi. Namun kami tegaskan, keutamaan PH adalah memenangi PRU14 yang akan datang untuk mengangkat semula maruah dan membela nasib rakyat yang gagal digalas oleh UMNO BN.


Salahuddin Hj Ayub
Timbalan Presiden Amanah
Naib Presiden Pakatan Harapan

YB Hj Amiolhuda Hj Hasan
Pengerusi Amanah Negeri Johor
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan