Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
DUA penggal Saudara Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerajui Parlimen Rembau sejak tahun 2008 lagi.
Ketika itu mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana
menteri, dan berulang kali nama Khairy hangat ketika itu apatah lagi
dikaitkan dengan Geng Tingkat Empat oleh Ezam Mohammed Nor yang ketika
itu cukup kerap menyerang Menteri Belia dan Sukan ini.
Sejak itu seluruh negara mengenali Khairy. Perubahan demi perubahan
dibuat Khairy dalam pendekatan politiknya. Walau digambarkan sebagai
negatif diawal keterlibatan dalam dunia politik, namun beliau betah
membuka langkah memberi persepsi baharu kepada anak muda khasnya
hinggalah dia menerajui sebuah kementerian yang benar-benar fokus kepada
keperluan anak muda masa kini.
Kemenangan beliau menewaskan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir semasa
persaingan jawatan Ketua Pemuda Umno membuka langkah lebih luas untuknya
bereksperimen dalam dunia politik.
Kejayaan pasukan negara dalam merangkul 145 emas di Sukan SEA Kuala
Lumpur bulan lepas memberi kredit yang baik kepada Khairy dalam
kariernya selaku menteri walaupun dicelah penganjuran sukan, terdapat
isu bendera terbalik yang mana juga dikatakan membabitkan projek
penerbitan yang dikaitkan dengan orang dekat dengan Khairy.
Masakan kakitangan awam yang biasa telah terbabit dengan penganjuran
program besar boleh membuat kesilapan hingga bendera boleh terbalik
dalam buku program kerana ia membabitkan hubungan diplomatik dengan
negara jiran.
Maka tentunya kerana ada unsur yang sangat tidak menselesakan
penjawat awam dalam urusan penerbitan apatah lagi jika benar telahan
menyebut kroni yang mendapat projek tersebut.
Khairy mungkin sekali popular pasca Sukan SEA Kuala Lumpur kerana
juga terbabit sebagai atlet dan pencapaian negara yang sangat
membanggakan, kerana kejayaan ini boleh menjadi "resume" kepada Presiden
Umno, Datuk Seri Najib Razak menimbang-nimbang pengekalan di Rembau.
Namun usah dilupa, rekod Khairy berbaik dengan musuh-musuh Najib
termasuk berselfie dengan Nurul Izzah semasa penganjuran Sukan SEA bisa
menjolok mata Najib dan sudah tentu maklumat oleh pasukan risik Najib ke
atas Khairy mengenai kegiatan menteri belia itu pasti menjadi kayu ukur
untuk mencari pengganti Khairy di Rembau khasnya dan di kabinet selepas
ini.
Ada sumber yang menyebut bahawa Khairy sendiri menyedari hakikat
bahawa Najib tidak pun meletakkan harapan tinggi kepadanya dalam menjadi
pengikut setia sama seperti dalam kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi, kerana ketidakserasian mereka.
Apatah lagi di Negeri Sembilan perang suku di parlimen tertentu tidak
terkecuali di Rembau sudahpun bermula dalam merebut jawatan siapa bakal
bertanding.
Namun tidak boleh kita nafikan, Najib juga pernah bertemu Anwar
Ibrahim membincangkan satu bentuk kerjasama sebelum PRU13 dalam merangka
kerajaan, apatah lagi ketika itu Najib kelihatan kelemasan dalam dunia
politik.
Mengambil pendekatan yang sama kalaupun Najib mahu menjadikan Khairy
anak emasnya sama seperti Tan Sri Isa Samad, maka mungkin sekali Najib
merancang membawa satu sinergi baharu untuk memperkenal Khairy sebagai
Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu menggantikan Datuk Seri
Mohammad Hassan.
Apatah lagi Mohammad Hassan yang dikatakan bukan berada dalan radar
kumpulan Najib, dan Mohammad Hassan bekas orang kuat Cycle And Carriage
ini katanya orang kuat kepada Tun Mahathir.
Mungkinkah Najib akan mengambil Khairy sebagai galang ganti kepada
Mohamad Hassan dalam menerajui Negeri Adat Perpatih ini? Atau Khairy
akan ditolak ketepi?.
Isu ini sedang berlegar dalam kalangan orang politik di Negeri
Sembilan apatah lagi kita dalam mood standby menanti pilihan raya umum
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan