Oleh Muhammad Syafiq Azmi
Allah melalui firmanNya di dalam surah ke-60, Al-Mumtahanah ayat 8:
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil
kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan
tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah
mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
Ini bermakna tidaklah menjadi kesalahan orang bukan Muslim itu
dilayan seadilnya selagi mereka tidak memerangi agama Islam. Juga dalam
huraian ayat tersebut memberi maksud Muslim tidak pernah ditegah sama
sekali untuk memberi layanan yang baik kepada mereka yang bukan Muslim.
Menurut Dr Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya “Fiqh Daulah Menurut
Perspektif Islam”, mengikut syarak tiada suatu pun dalil yang melarang
namanya Muslim untuk mengambil teori ilmiah serta penyelesaian amali
yang datangnya dari bukan Muslim.
Lihat saja dalam peperangan Badar, bagaimana tawanan perang yang
mempunyai kebolehan membaca dan menulis diberikan ruang untuk mengajar
anak-anak orang Muslim, sekalipun mereka musyrik.
Di dalam pengisahan perang Khandak, Nabi Muhammad sendiri mendengar
pandangan untuk menggali parit yang merupakan antara strategi perang
orang Parsi.
Ini kerana hikmah merupakan sesuatu (barang berharga) yang hilang
daripada umat Islam. Di mana sahaja dia menjumpainya, maka dialah orang
yang paling berhak dan layak dengannya.
Ayat 8 dalam surah al-Mumtahanah di permulaan tulisan penulis boleh menjawab persoalan kepada tajuk perbincangan di atas.
Selain memberi layanan yang adil kepada bukan Muslim dalam pelbagai
aspek, adil yang dimaksudkan juga boleh diterjemah dengan kesanggupan
perkongsian kuasa di antara Muslim dan bukan Muslim.
Keberadaan mereka di dalam dewan Parlimen ataupun Dewan Undangan
Negeri bagi konteks politik Malaysia, ia adalah perlu untuk mereka
menjadi wakil kepada suara rakyat di bawah.
Ini juga adalah jalan untuk mereka terus merasakan mereka adalah
sebahagian daripada sistem negara yang mereka menjadi warganegaranya
yang sah mengikut lunas undang-undang dalam Perlembagaan. Khuatir dengan
kesenjangan kesatuan yang masih samar kewujudannya hari ini, bila-bila
masa saja usaha ini mampu dieksploitasi musuh perpaduan dan kemanusiaan.
Dalam kita menjustifikasi kemunasabahan orang bukan Melayu dan bukan
Muslim diberi ruang menjadi pemimpin, jangan pula kita lupa melihat
corak kepimpinan yang ditonjolkan kelompok Melayu dan Muslim. Apakah
dengan kita mempertahankan pemimpin Melayu yang korup itu menjadi
jaminan nasib Melayu dan Muslim akan terus terbela?
Pada 9 Januari 1975, New Straits Times melaporkan pendirian Peguam
Negara, Tan Sri Abdul Kadir Yusof berkaitan rasuah yang melibatkan
pegawai kerajaan.
Beliau menyatakan setinggi manapun kejujuran pegawai-pegawai
kerajaan, masih belum mampu memberi jaminan perlakuan rasuah itu tidak
akan berlaku. Kadir berpandangan selagi mana ada yang sanggup memberi
sogokan, kejujuran pegawai kerajaan bila-bila masa saja boleh
“terlebur”.
Sarjana yang menjadi rujukan dunia Islam, Al-Ghazali menyatakan
kerosakan itu merebak dari atas hingga ke bawah. Begitulah bercanggahnya
pandangan dan amalan di antara pemikir hebat dunia dan pemimpin Melayu
Muslim yang dari dulu beriman dengan pandangan seperti bekas peguam
negara itu.
Maka, perdebatan yang kian rancak hari ini adalah perbicaraan andai
berlaku pertembungan antara calon pemimpin Muslim dan bukan Muslim atau
Melayu dan bukan Melayu. Ada yang dari awal naratif politiknya berkisar
tentang Melayu dan Muslim dominan dalam pengertian diktator, pasti
alergi dengan perbincangan seperti di atas.
Ada pihak yang pada awalnya memperkenalkan terma tahaluf siyasi
akhirnya mereka sendiri mencabut akar semata untuk bertaawun atas
prinsip kepentingan agama dan bangsa. Inilah ragam fikir yang harus
didepani untuk melihat karamah insaniah dimartabatkan. Akan ada cabaran
hebat dari gerombolan yang ekstrem dalam hidup bermasyarakat. Itu
bukanlah sesuatu yang mustahil.
Iktibar yang ditunjukkan oleh pelbagai figura sama ada Muslim atau
bukan, sama ada Melayu atau bukan adalah cabaran untuk dipenuhi bersama.
Anjakan pemikiran dan perlakuan tidak bisa statik jika mahu melihat
negara maju dan sejahtera.
Jika tidak kita akan hidup di bawah penindasan ala zaman kolonial,
cuma yang beda watak dan galur penjajah tersebut. Jangan kita hanya
merdeka fizikal, tetapi mental masih terkurung dan terpenjara.
Muhammad Syafiq Azmi adalah Presiden Aspirasi Rakyat Marhaen (ARM)
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan