Antara cerpen Adibah Amin dan khalwat di PAU

Oleh Faisal Tehrani 

 Entah kenapa, apabila saya terbaca laporan seorang bekas pemimpin Puteri Umno yang menggesa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melakukan operasi cegah maksiat besar-besaran di hotel sekitar ibu negara sepanjang Perhimpunan Agung Umno 2017, saya terkenangkan sebuah cerpen karya Adibah Amin.

Pada 1964, Pustaka Antara, sebuah syarikat penerbitan yang sangat berpengaruh dalam dekad 1960an dan 1970an telah menerbitkan sebuah kumpulan cerpen yang berjudul “Wanita: Antoloji Cherpen-Cherpen Wanita” dan diberikan kata pengantar oleh Asmah Haji Omar.

Apa yang menarik mengenai kumpulan cerpen ini adalah kerana ia dinobatkan oleh Asmah sebagai “…pertama kali-nya dalam sejarah kesusasteraan Melayu, cherpen2 yang merupakan hasil karya sasterawati2 Melayu di-terbitkan…”. Dakwaan ini merupakan satu petunjuk penting bahawa kumpulan cerpen ini merupakan satu dokumen sastera, dan sejarah yang menarik untuk ditekuni.

Asmah menyatakan juga, karya yang dimuatkan dalam “kumpulan cherpen wanita pertama ini” sedia “mempertontonkan kapada kita bermacham2 sifat dan idiosyncracy wanita dari berbagai2 lapangan, mulai dari wanita sa-bagai suri rumah tangga sampai kapada wanita yang mengalamuni saorang pujangga yang belum pernah di-kenalnya.”

Asmah seterusnya dalam prakata tersebut menegaskan genre cerpen memberikan suatu keunikan kerana ia mengandungi hiburan, dan idea: “cherpen tidak saja memberi hiburan tetapi memberi pengalaman yang mendalam tentang buah fikiran yang mungkin menjadi tajok essay.”

Ini merupakan satu isyarat bahawa cerpen pengarang wanita yang termuat dalam antologi tersebut mengandungi “buah fikiran”, “bermacham2 persoalan” dan “tanggapan” yang boleh dirungkai dan dianalisis.

Sejak karya Kate Millet berjudul “Sexual Politics” dalam tahun 1970 menempa nama dan membicarakan sikap terhadap watak-watak wanita dalam kesusasteraan, pendekatan feminisme telah menempuh pelbagai jalan dan berkembang sebagai sebuah teori dan bacaan politik gender.

Salah satu perbincangan yang mendapat tempat dalam feminisme ialah persoalan gender. Gender dalam hal ini bukanlah bermakna bagaimana kedudukan wanita dalam karya semata-mata tetapi ialah bagaimana mereka dikonstruksikan secara budayanya.

Pendekatan ini seterusnya bertujuan untuk mengeluarkan wanita daripada terperangkap dalam kumpulan bisu (muted group). Secara mudahnya pengamal perjuangan feminisme menuntut supaya watak wanita dibentuk dengan adil.

Gagasan feminisme

Untuk melihat wanita sebagai cantik, seksi, memerlukan pergantungan, gila, cabul, hanya tahu berjoget dan perlu dikasihani adalah membentuk peranan untuk mereka.

Wanita, misalnya juga boleh dibentuk sebagai cantik tetapi independen, gigih, beriman, rasional dan berjaya. Kehadiran gagasan feminisme telah membolehkan satu kesedaran dalam kalangan karyawan sastera di Barat bagi memberi tempat yang sewajarnya untuk wanita.

Sebuah cerpen yang menarik minat saya dihasilkan oleh Aida atau Adibah Amin berjudul “Malam Perhitongan”. Pelukisan watak lelaki dalam cerpen ini adalah jahat, tidak budiman, dan serong.

Adibah kelahiran Johor Bahru, dalam cerpen ini membawa pembaca menelusuri emosi dan perasaan watak utamanya, Rohaya, yang menjadi hos majlis tari-menari segolongan Melayu bangsawan. Ketika sedang bersiap-siap, Rohaya diperlihatkan oleh pengarang sebagai baru mengetahui tembelang suaminya Che Yazid yang mempunyai hubungan sulit dengan seorang perempuan bernama Jemiah.

Suaminya dengan mudah menepis keraguan isterinya dan Rohaya terpaksa memendam rasa sepanjang majlis tari-menari tersebut. Karya ini ditulis dengan penuh grafik iaitu adegan dansa, minum-minum arak, gelak ketawa dan disisipkan dengan pemerhatian Rohaya terhadap semua pasangan yang diundang ke majlis tersebut.

Rohaya cuba membandingkan dirinya dengan isteri-isteri yang berusaha menyembunyikan rahsia rumah tangga yang bukan lagi rahsia kerana gosip sudah terbuka.

Che Alias selaku suami Sakinah sebagai contoh digambarkan ada hubungan dengan gadis Tionghua di tempat-tempat peranginan. Che Karim pula dinyatakan sedang menggoda anak-anak gadis kerana isterinya Che Gayah sudah gemuk meski masih mahu berpakaian ketat dan ligat menari. Ternyata setiap lelaki yang hadir dilukiskan sebagai jahat, bernafsu, malah Rohaya memanggil suaminya dalam diam sebagai binatang:

“Suaminya – dengan Jemiah janda lawatan pegawai2. Gambaran2 jelek menari2 di-kepala Rohaya.

Kenangan mesera di-hari lampau berchampor dengan gambaran2 ini, menjadi satu, hingga semua-nya kotor dan menjijekkan – manusia ini sa-rupa binatang – fikir Rohaya. Alang-kah tolol-nya ia menyangka sa-lama ini bahawa perhubungan-nya dengan Che’ Yazid itu suatu perkara yang terasing dan indah. Rasa meluat menjalar2 di-serata kulit Rohaya – meluat kapada suami-nya, kapada semua kejadian yang berdaging dan berkulit dan mempunyai nafsu.”

Meskipun di akhir cerpen, Rohaya menelan sikap suaminya dengan pahit, di puncak naratif Rohaya masih mahu mempersoalkan hak lelaki dan kebebasan seorang wanita secara halus dan tidak membiarkan persoalan ini berlalu begitu sahaja:
“Mari minum, Che’ Ro.”
“Jemput-lah, saya ta’minum.”
“Lelaki baik2?” tanya Rohaya.
Che’Alias tertawa lagi. Jari telunjuk-nya di-angkat, di-goyang2kannya di-hadapan Rohaya. “Lelaki ta’kira-lah,” jawab-nya tersengeh2.

Che’Alias lalu memberi penerangan panjang dan berbelit2 tentang wanita, lelaki, arak dan chinta.
Mula2-nya Rohaya mendengar sa-paroh minat saja, di-layangkan oleh menongan sendiri. Tetapi satu ayat yang berulang2 memakukan perhatian-nya: “Orang lelaki ta’apa, lain kira.”
“Mengapa lain?” tanya Rohaya.

Rasa terpendam wanita

Sukar untuk kita bercakap mengenai Adibah Amin tanpa menyebut mengenai ibunya, Tan Sri Zainon Sulaiman atau lebih dikenali sebagai “Ibu Zain”, seorang pejuang wanita Umno. Jadi apabila ada bekas pemimpin Puteri Umno mendakwa ramai suami dan isteri yang berkhalwat dan bersekedudukan dalam satu bilik sepanjang Perhimpunan Agung Umno, saya membayangkan cerpen Adibah tersebut.

Saya membayangkan rasa terkilan dan terpendam wanita sejak 1964 ke tahun 2017. Mungkinkah cerpen “Malam Perhitongan” dikarang dengan pengetahuan Adibah mengenai hal-hal politikus Melayu daripada ibunya, atau maklumat beliau itu diperolehi sebagai wartawan terbilang satu masa dahulu?

Akan tetapi, saya bukan ingin menulis mengenai kegiatan maksiat lelaki dan wanita anggota Umno. Itu antara mereka dan Tuhan.

Saya ingin menulis darihal Adibah. Terdapat sebuah lagi karya Adibah Amin yang bertajuk “Peristiwa Hujan Gerimis” di dalam antologi tersebut. Di dalam cerpen ini, Adibah dengan cekapnya memanipulasi kehalusan bahasa wanita sehingga lembutnya mengesankan.

Cerpen ini mengisahkan lamunan seorang pelajar perempuan, Hanim, yang jatuh cinta dan asyik dengan karya penyair pujaannya, Zaidi Lara. Penyair tersebut tidaklah tinggal jauh darinya dan hampir setiap hari pulang dari sekolah, Hanim akan melintasi rumah Zaidi.

Suatu hari dalam detik hujan gerimis, Hanim dijemput berteduh di kamar kecil sewaan Zaidi. Dalam detik singkat tersebut, mereka minum kopi panas bersama, berbual tentang hal-hal yang mereka sukai dan ia berakhir apabila Hanim perlu pulang.

Naratif cerpen ini dibangunkan lambat dan perlahan, dengan mulanya pengkisahan mengenai Hanim yang merupakan anak yatim, dan berpindah-randah penjaga. Beliau akhirnya tinggal dengan Mak Long yang ternyata mereka sering bergesel dan bertelingkah. Hanim juga berteman dengan Norlia dan Asmah.

Cerpen ini terus memaparkan bagaimana mendalamnya minat Hanim terhadap puisi Zaidi Lara di sebalik kerja harian rumah yang harus diberesi. Pembaca perlu mengikut sebab dan akibat watak ini untuk ke sekolah bersukan, dan kehilangan payung di dalam bas.

Kelewahan idea berterusan apabila hari hujan, dan Hanim yang tiada pilihan lain harus melalui jalan singkat di hadapan rumah Zaidi Lara.

Seperti yang disangkakan, Zaidi membuka jendela dan berasa simpati dengan Hanim yang kehujanan. Perbualan dengan Zaidi berpanjangan dan meleret-leret sebelum berakhir dengan Hanim yang kegirangan.

Garapan gaya bahasa Adibah yang halus dan lembut dapat dibaca sepanjang cerpen ini. Meskipun tiada satu mesej feminisme yang kuat atau jelas di dalam cerpen ini, kita mendapati Hanim, tidak mempedulikan lingkungan dan berani untuk mendekati penyair pujaannya yang selama ini diintai dari jauh.

Hanim juga berani bersikap dan menyatakan pandangan baik kepada teman-teman, Mak Long mahupun Zaidi. Walaupun tiada cinta sebetulnya dalam cerpen ini, ia adalah sebuah cerpen cinta yang menumbuhkan perhatian, kasih dan keharuan.

Oleh sebab antologi yang saya sebutkan di awal tadi adalah pertama kali dalam kesusasteraan Melayu moden menghimpunkan cerpen-cerpen wanita, ia menjadi satu dokumen sastera dan sejarah yang menarik untuk ditekuni. Daripada 6 penulis wanita yang ditampil dalam antologi ini, hanya Adibah sahaja yang kemudian menyerlah sepanjang karier penulisan beliau.

* Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan