KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin pembangkang berkata mereka tidak
hairan dengan poster anti-pembangkang yang dinaikkan pada Perhimpunan
Agung Umno (PAU) yang sedang berlangsung sekarang ini, malah menyifatkan
serangan itu bukti kejayaan Pakatan Harapan (PH) yang menggerunkan
Umno.
PPBM menganggap ia semata-mata mahu menimbulkan kemarahan pemimpin parti terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata Umno telah
lama memusuhi DAP dan sudah dijangka ia akan mengaitkan bekas presiden
Umno itu dan PPBM dengan DAP.
“Ia sekaligus mengalih perhatian perwakilan daripada isu kenaikan kos
hidup, rasuah salahguna kuasa 1MDB, Felda, Mara dan lain-lain,” katanya
kepada FMT.
Bagi Amanah, apabila Umno menjadikan kepimpinan PH sebagai fokus, ia
memberikan isyarat “kejayaan besar” kepada gabungan 4 parti itu bahawa
pertembungan pilihan raya umum ke-14 nanti adalah pertembungan satu
lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).
“Itu satu kejayaan besar yang saya tak tahu sama ada sedar atau tidak
sedar, diiktiraf oleh Umno sendiri dalam PAU mereka,” kata Timbalan
Presiden Amanah, Salahuddin Ayub.
“Bagi saya, satu kejayaan besar Pakatan Harapan untuk mengheret
sekali Umno. Bukan sekadar kita berjaya mendidik minda masyarakat
Malaysia untuk memilih seolah-olah sistem 2 parti iaitu antara BN dan
PH, tetapi berjaya mengheret Umno itu sendiri, di mana dalam Perhimpunan
Agung Umno mereka sendiri mengiktiraf tentang begitu besarnya peranan
dan ancaman PH kepada mereka,” katanya.
Ruang pameran di PAU memaparkan poster wajah pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan pelbagai mesej anti-DAP.
Poster menunjukkan PH dipimpin Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin,
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu dan Datuk Seri Azmin
Ali, sambil menuduh mereka menjadi “badut” DAP.
Ia turut mendakwa DAP memecah belahkan pemimpin Melayu dan mencabar hak keistimewaan orang Melayu.
Antara slogan yang dipaparkan termasuk “Pakatan pro-DAP tidak hormat
agamawan”, “Tony Pua, DAP desak keistimewaan diskaun rumah 7% untuk
bumiputera dihapuskan”, “Islam dipinggirkan di Pulau Pinang”, “DAP
perguna parti Melayu”, “Azmin badut DAP” dan “UTun Mahathir”.
Ruang yang diberi nama Koridor Penerangan itu adalah pertama kali
diwujudkan menyerang pembangkang, menurut petugas Umno yang ditemui FMT,
dan disediakan dengan bantuan pelajar dan pegawai penerangan parti.
Kamaruddin, yang pernah mengetuai Umno Pasir Puteh, turut
mempersoalkan bagaimana Dr Mahathir dan lain-lain yang pernah berbakti
kepada nehara kini menjadi badut kepada DAP.
Katanya, Dr Mahathir terkenal sebagai seorang yang lantang dalam isu antarabangsa termasuk Palestin.
“Pemimpin-pemimpin Umno ingat rakyat ini bodoh dan dungu seperti mereka?” soal Kamaruddin.
“Biar rakyat yang berbicara. Rakyat kini telah bersedia untuk membuat
pilihan dalam pilihan raya umum (PRU). Yang tak bersedia ialah Umno dan
Barisan Nasional (BN),” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh turut berkata pihaknya tidak terkejut dengan serangan di PAU.
“Itu saya dah jangka, kita tidak terkejut. Yang terkejutnya kalau
mereka tak buat apa-apa, mereka tak keluarkan poster, mereka tak buat
‘koridor penerangan’, mereka bersikap positif. Itu saya rasa peliklah,”
katanya.
Syed Ibrahim berkata Umno merasakan Dr Mahathir dan pimpinan pembangkang satu ancaman kepada parti itu.
“Dan mereka terpaksa menangkis persepsi masyarakat kepada Umno dengan
cara untuk menunjukkan bahawa pimpinan pembangkang itu bermasalah dan
berpecah, sedangkan sebaliknya yang berlaku,” katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan