Oleh Syed Ibrahim Syed Noh
MENURUT laporan Utusan Malaysia 22 Februari lalu, Najib Razak memberi
gambaran kerajaan pimpinannya bersedia untuk memansuhkan lebih banyak
tol di jalan-jalan di negara ini pada masa depan.
Perdana menteri secara peribadi mengakui beliau sendiri tidak suka
kepada sistem bertol, menyifatkannya sebagai “menyakitkan hati” dan
menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas.
Beliau berkata, disebabkan itu, dalam Bajet 2018, kerajaan membuat
keputusan memansuhkan beberapa tol termasuklah tol Batu Tiga, Sungai
Rasau, Bukit Kayu Hitam, Lebuh Raya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL),
selain tol di Cheras yang dihapuskan sebelum itu.
“Saya tidak percaya kalau kita kenakan tol secara harian adalah baik kepada rakyat. Tidak, saya tidak percaya itu.
“Kalau Lebuh Raya Utara-Selatan, Kuala Lumpur ke Karak yang digunakan
sekali sekali tidak apa. Kalau hari-hari bayar tol, dua kali, empat
kali, siapa pun sakit hati,” katanya.
Saya tertanya-tanya apakah sebenarnya polisi atau dasar dalam
penyediaan lebuh raya di Malaysia. Ini kerana saya perhatikan dasar ini
berubah-ubah mengikut masa dan kehendak kerajaan.
Semasa pentadbiran Najib, beberapa lebuh raya telah diluluskan iaitu
Sungai Besi-Ulu Kelang Elevated Expressway (Suke - jangka siap 2020),
Damansara Shah Alam Elevated Expressway (Dash - jangka siap 2020), East
Klang Valley Expressway (EKVE - jangka siap 2018), West Coast Expressway
(WCE - jangka siap 2018) dan Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE -
jangka siap 2020).
Saya juga masih ingat manifesto BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU13) yang menjanjikan penurunan kadar tol dalam bandar secara
beransur-ansur.
Tetapi pada akhir 2015, kadar tol di sebanyak 18 lebuh raya dalam
bandar dinaikkan secara mendadak antara RM0.20 hingga RM2.30. Ini semua
ialah lebuh raya dalam bandar yang sekarang Najib kata sebagai
menyakitkan hati.
Meskipun begitu, PM dikatakan tidak bercakap kosong apabila telah
memansuhkan plaza tol di Batu Tiga, Sungai Rasau, Bukit Kayu Hitam dan
Lebuh Raya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL). Mungkin ini yang
dikatakan turun secara beransur-ansur. Mungkin ada lagi plaza tol yang
akan tutup sebelum PRU.
Tetapi bukankah Najib sudah menjadi PM sejak 2009? Mengapa tol lebuh
raya dalam bandar tidak dihapuskan atau dikajisemula untuk dikurangkan
dalam masa itu?
Betul, turunkan kadar dan tutup plaza tol boleh meringankan beban
rakyat dan wajar disambut baik tetapi pendekatan menutup beberapa tol
dengan membayar pampasan kepada syarikat konsesi dan menambah tempoh
perjanjian konsesi tol-tol PLUS yang lain umpama "kambus satu lubang
besarkan lubang lain". Ia seperti penyelesaian runcitan dan tidak
menyeluruh.
Apa yang mungkin terjadi kepada kadar tol jika BN menang dalam PRU14?
Hampir pasti BN akan membenarkan sekurang-kurangnya satu pusingan
kenaikan kerana terdapat beberapa lebuh raya yang telah ditangguhkan
kenaikan sedangkan perjanjian konsesi melayakkan mereka menaikkan kadar
tol.
Lebuh Raya Plus (NSE, NKVE, Elite, LPT) dan Kesas ialah antaranya.
Dalam tempoh ini, kerajaan terpaksa membayar pampasan kepada mereka.
Dengan tekanan kewangan negara sekarang, besar kemungkinan kerajaan
tidak akan meneruskan bayaran pampasan. Ini bermakna kadar tol terjamin
naik. Pengguna lebuh raya akan menanggung kosnya.
Ini yang menyebabkan saya tertanya-tanya apakah sebenarnya dasar
lebuh raya negara. Bukankah asasnya terletak kepada memastikan rakyat
mendapat manfaat dan capaian kepada prasarana asas seperti jalan raya
yang selamat, terselenggara dan ditadbir urus dengan baik?
Bukankah asasnya terletak di atas tanggungjawab dan amanah kerajaan kepada rakyat?
Bukankah asasnya terletak di atas situasi menang-menang untuk kerajaan dan syarikat konsesi tanpa rakyat terbeban?
Pada pendapat saya, asas ini tidak boleh berubah-ubah dan wajib menjadi panduan. Namun pendekatan boleh berubah-ubah.
Tahukah kita terdapat lebuh raya utama yang telah dibina tanpa tol dalam keadaan kerajaan tidak mampu membinanya?
Pembinaan Lebuh Raya Persekutuan FT2 sebagai lebuh raya ekspres
capaian terkawal pertama di Malaysia hasil naik taraf Jalan Kuala
Lumpur-Klang FT2 sedia ada ialah lebuh raya percuma tanpa tol. Ia
dibiayai secara berhutang kepada Bank Dunia semasa zaman Abdul Razak.
Justeru, meskipun sumber kewangan kerajaan terhad pada masa itu namun
kaedah pembinaan secara berhutang (besar kemungkinan dengan kadar
faedah yang rendah) telah digunakan agar tidak membebankan negara dan
lebih penting lagi tidak membebankan rakyat.
Persoalannya, mengapa kaedah kutipan tol digunakan juga? Ia untuk
membiayai projek-projek prasarana yang mana kerajaan tidak mampu
membinanya kerana sumber kewangan yang terhad tetapi juga oleh kerana
kos yang teramat tinggi maka kutipan tol dilaksanakan dengan perjanjian
tertentu bersama syarikat yang sanggup membinanya.
Contohnya pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2 sebagai lebuh raya
bertol. Idea pembinaannya berakar-umbi pada tahun 1977 semasa zaman
Hussein Onn lagi, sebelum era Dr Mahathir. Ia lebuh raya bertol
disebabkan kosnya yang amat tinggi dan tidak tertanggung oleh kerajaan
sekiranya kutipan tol tidak dilaksanakan.
Kisahnya, Hussein Onn menjemput banyak syarikat-syarikat besar dalam
pembinaan jalan raya, tetapi tiada satu pun yang sudi menerima tawaran
kerajaan untuk membinanya kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu pada
masa itu serta tiada jaminan daripada kerajaan untuk melindungi mereka
daripada kerugian sekiranya kadar tol tidak dinaikkan secara berkala.
Inilah sebab utama yang membawa kepada "perjanjian konsesi berat
sebelah" bagi syarikat-syarikat konsesi generasi pertama seperti Plus.
Saya petik ini daripada Blog Jalan Raya Malaysia.
Dengan kata lain, lebuh raya bertol dibiayai oleh rakyat yang sanggup
membayar lebuh raya premium supaya boleh memandu dengan selamat, selesa
dan pantas. Ini boleh diterima bergantung kepada terma perjanjian yang
seboleh mungkin terbaik untuk semua pihak, kerajaan, syarikat dan
rakyat. Tidak berat sebelah.
Pada masa yang sama, kerajaan masih bertanggungjawab menyediakan
laluan pilihan bebas tol untuk meringankan beban rakyat yang tidak
berkemampuan terutamanya bagi penduduk tempatan yang terpaksa
menggunakan laluan lebuh raya dalam bandar untuk urusan seharian seperti
ke pasar dan menghantar anak ke sekolah.
Saya tahu mungkin ada pihak yang akan mengatakan cakap senanglah…cuba
buat sendiri. Itu benar seperti kata pepatah hanya jauhari mengenal
manikam.
Tetapi saya percaya ia boleh dilakukan jika ada pegangan dasar yang
betul, meletakkan kepakaran pada tempatnya, penelitian segala terma
perjanjian dengan telus, penyelesaian secara menyeluruh dan yang paling
penting, keazaman politik untuk melaksanakan dasar, janji serta amanah.
Pertimbangan asas yang sentiasa perlu diambil ialah ia memberi
manfaat kepada rakyat tanpa terlalu membebankan dan ia tidak memberi
keuntungan melampau kepada syarikat konsesi lebuh raya. Ini tidak
bermakna rakyat dimanjakan tetapi keadilan dan kebajikan rakyat wajib
dijadikan panduan tanpa mengenepikan prasarana yang selamat,
terselenggara dan ditadbir urus dengan baik.
Adakah ini pandangan yang ideal atau terlalu sempurna? Mungkin. Namun
ia tidak mustahil sekiranya semua pihak dididik untuk mengenepikan
kepentingan diri dan politik semata-mata, termasuklah rakyat.
Pakatan Harapan berpegang kepada prinsip bahawa monopoli konsesi yang dimiliki oleh syarikat kroni kerajaan perlu dihentikan.
Pakatan Harapan juga akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi
lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan terma serta harga yang
terbaik untuk mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir
untuk menghapuskan semua tol.
Mungkin kata-kata manis Najib baru-baru ini mempersonakan tetapi
percayalah ia hanya angin lalu sebelum PRU. Hanya satu cara untuk
menghentikan BN menjadikan tol sebagai perkakas iaitu dengan menukar
kerajaan persekutuan kepada Pakatan Harapan dalam PRU14.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan