HUTANG Malaysia sudahpun melebihi tanda aras RM1 trilion sekiranya pinjaman dijamin Putrajaya diambil kira, kata ahli ekonomi.
Ahli ekonomi itu menjawab kenyataan terbaru dikeluarkan Perdana
Menteri Najib Razak yang hutang Malaysia akan meningkat sehingga RM1.1
trilion sekiranya janji Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan Cukai
Barangan dan Perkhidmatan dan tol ditepati.
Najib mengatakan janji PH akan menyebabkan Malaysia menanggung hutang
tambahan sebanyak RM416 juta disamping hutang semasa negara berjumlah
RM685 bilion, seterusnya menjadikan hutang negara melebihi RM1 trilion.
Bekas ahli ekonomi Bank Dunia Dr Lim Teck Ghee, bagaimanapun,
mengatakan ia hanyalah taktik “kejutan dan kagum” pilihan raya kerana
hutang kerajaan persekutuan setakat September 2017 sudahpun hampir RM700
bilion.
“Dan ini tidak termasuk hutang jaminan kerajaan, termasuklah daripada
1Malaysia Development Bhd yang bernilai lebih RM200 juta,” kata Lim
“Malah jika hutang kerajaan persekutuan BN terus berkembang pada
kadar serupa seperti mana dekad lepas, ia akan mencecah lebih RM1
trilion menjelang 2012; RM2 trilion pada 2028 dan RM3 trilion menjelang
2032 menurut anggaran yang boleh dipercayai,” kata CEO Pusat Inisiatif
Polisi (Invoke) itu lagi.
Lim berkata walaupun perdana menteri dan pemimpin BN mempunyai hak
untuk bertanya kesan kepada kewangan negara sekiranya GST dan sumber
perolehan penting lain dihapuskan PH, beliau seharusnya mengutarakan
kebimbangan itu terlebih dahulu kepada “kepimpinan dan kerajaan”
pimpinannya.
“Memandangkan hutang yang perlu ditanggung generasi akan datang
kerana keborosan, ketirisan dan salah tadbir kerajaan, banyak pihak
merasakan amaran itu sepatutnya ditujukan kepada kepimpinan dan
kerajaannya terlebih dahulu,” kata bekas professor Universiti Sains
Malaysia dan Universiti Malaya itu.
Tanpa mengambil kira pinjaman dijamin kerajaan, hutang kerajaan persekutuan sudahpun berkembang secara puratanya melebihi 10% daripada RM266.7 bilion pada 2007 kepada RM671.5 bilion pada 2017.
Ahli ekonomi bebas dan perunding kewangan Azrul Azwar Ahmad Tajudin
pula mengatakan hutang kerajaan persekutuan sudah menghampiri 70% KDNK
negara.
Malaysia menetapkan 55% had hutang kerajaan persekutuan.
“Jika kita tambah jumlah setakat penghujung suku ketiga 2017, hutang
kerajaan persekutuan dan hutang jaminan kerajaan dalam penyata kewangan
yang dipertanggungjawabkan masing-masing sebanyak RM687.430 bilion dan
RM226.876 bilion, jumlah sebenar adalah RM914.306 bilion, tak jauh
daripada batasan RM1 trilion. Ia menyamai lebih 70% KDNK,” kata Azrul.
Ditanya mengenai sama ada hutang akan melebihi RM1 trilion
dengan penghapusan GST dan tol, bekas ahli ekonomi untuk kerajaan
Selangor itu mengatakan ia hanyalah “hutang hipotetikal” oleh Ketua
Setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar.
“Ia hanyalah menurut kaedah penilaian yang hanya diketahuinya yang
saya rasa adalah jumlah nilai keseluruhan tanpa mengambil kira
penyeimbangan akaun dan mekanisma lain untuk mengekalkan harga yang
rendah.”
Katanya, banyak pihak menimbunkan potensi kehilangan pendapatan
kerana cadangan PH menghapuskan GST (RM45 bilion) dan duti eksais (RM2.4
bilion) dengan jumlah keseluruhan bon yang perlu diambil kerajaan
persekutuan untuk mengambil alih konsensi tol (RM338 bilion menurut
kaedah penilaian Kementerian Kewangan).
“Kerana itu, menurut anggaran ketua setiausaha perbendaharaan,
potensi kehilangan pendapatan tahunan boleh mencecah RM51.3 bilion dan
jumlah hutang boleh naik sebanyak RM338 bilion sedangkan tiada anggaran
potensi pendapatan lain diberikan,” kata Azrul lagi.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan