Oleh AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Awal pagi ini, saya dikirimkan dengan satu kenyataan daripada
seorang Ahli Parlimen dan juga Ketua Penerangan Pas yang menulis darihal
isu “SOP Murtad” di Sarawak.
Sejujurnya saya menjangka hal ini akan berlaku, walau tetap berdoa
ada sedikit kebijakan yang tersisa pada hati budi mereka dalam
menghadapi isu rakyat (Sarawak) ini secara jujur dan berminda
“kerajaan”.
Apalagi bagi yang mengidamkan sangat untuk mereka menjadi “Kerajaan Teknokrat” untuk semua kaum dan agama!
Malangnya, jangkaan saya tepat. Isu seperti ini sekali lagi diambil peluang untuk menjadi Juara.
Juara menyerabutkan masyarakat dengan permainan sentimen agama yang
berapi-api. Bukan itu sahaja, malahan dikaitkan pula dengan RUUP355
walau hakikatnya ia tiada kaitan.
Apa yang sebenarnya?
“SOP Murtad” telah sedia wujud dalam Enakmen Syariah Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain termasuk Perak.
Lalu apa pendirian Pas sebelum ini? Adakah Pas baru terjaga daripada
lena yang panjang? Atau sememangnya jenis Parti Oppurtunis yang akan
sering mempergunakan agama (Islam) untuk dilihat sebagai juara?
Sama seperti kes Indira Ghandi, yang apabila disiasat rupanya
peruntukan yang sama juga telah diluluskan oleh Kerajaan Terengganu
semasa Pas menjadi MB dan Kerajaan!
Dalam kes-kes murtad, Mahkamah Sivil telah menyerahkan kuasa bicara
dan membuat keputusan kepada Mahkamah Syariah. SOPnya ada pelbagai. Lalu
tuntutan PH Sarawak adalah SOP mana yang perlu diikut. Dan yang mereka
minta adalah SOP itu. Diminta juga bukan kepada pihak lain yang tiada
otoriti tetapi kepada Majlis Agama Islam Sarawak. Bukan diminta kepada
Pope John Paul atau Queen Of England!
Perlu diingat, yang timbul di sini adalah SOP bagi menyelesaikan
pelbagai kes rakyat berbangkit darihal murtad yang berpunca juga
daripada pelbagai faktor termasuk pendaftaran yang salah (nama kaum
bumiputera serupa muslim dan ada yang guna “bin” dan “binti”), masuk
Islam semata-mata kerana perkahwinan (bukan kefahaman), anak kepada
saudara baru (muallaf) yang selepas ibu ayahnya meninggal maka anak itu
dipelihara oleh saudara yang bukan Islam berpuluh tahun dan kemudian
hidup sebagai bukan Islam dan bermacam-macam kes lagi yang sememangnya
rumit.
Contohnya si anak itu tadi apabila besar dan ingin berkahwin maka
barulah timbul semula persoalan akan status agamanya.
Lalu bagaimana ia harus diuruskan. Itu semua perlu kepada SOP yang
jelas. Itu yang dituntut dan disarankan oleh PH Sarawak. PH bersiap mahu
menjadi Kerajaan bagi menangani dan menyelesaikan permasalahan rakyat
yang bukan sahaja terkait ekonomi dan kos hidup rakyat, tetapi
menyeluruh.
“SOP Murtad” sama sekali bukan bertujuan bagi menggalakkan sesiapa
sahaja murtad sesuka hati atau memudahkan seseorang itu murtad.
“SOP Murtad” sebenarnya adalah satu kaedah terpimpin yang ditetapkan
oleh cerdik pandai Islam dan pengamal syariah dan diluluskan oleh
kerajaan bagi mempermudahkan urusan hidup masyarakat.
Cuma cadangan saya ke hadapan, kita mungkin boleh berikan nama yang
lebih baik, instead of “SOP Murtad” bagi mengelakkan salah faham dan
ambil kesempatan khususnya oleh politikus-politikus Islam yang
oppurtunis.
Persoalan akhir saya sebagai respon kepada sikap Pas ini, berebut
mahu bertanding dalam Pilihan Raya untuk jadi Kerajaan yang bagaimana?
Kerajaan kepada siapa? Kerajaan yang akan mengurus isu-isu rakyat yang
pelbagai dengan sejujurnya dan adil atau Kerajaan yang hanya
menyerabutkan rakyat dengan pelbagai sentimen dan emosi tanpa berpijak
di bumi nyata?
Kita semua sedang bergerak untuk memimpin “dunia yang masih ada, bukan yang sudah tiada”.
*Penulis adalah Ketua Penerangan Wanita Pakatan Harapan
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan